Cadangan mengangkat sumpah simpan rahsia itu
dipersetujui tetapi untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen bercakap
mengenai PAC ia adalah sesuatu yang tidak wajar.
PETALING JAYA: Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baru dilantik bersetuju dengan cadangan agar semua anggotanya mengangkat sumpah simpan rahsia.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan tindakan itu perlu bagi memastikan semua maklumat dalam jawatankuasa itu kekal rahsia.
“Saya setuju anggota PAC angkat sumpah tapi bukan bermakna anggota jawatankuasa langsung tidak boleh bercakap,” katanya di lobi Dewan Rakyat pada Isnin.
Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan anggota PAC mengangkat sumpah simpan rahsia bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan dokumen siasatan jawatankuasa itu sentiasa terpelihara.
Jawatankuasa Pemilihan melantik lima Ahli Parlimen bagi menganggotai jawatankuasa PAC yang dipengerusikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin.
PAS melantik Takiyuddin sebagai wakilnya dalam PAC bagi menggantikan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.
Selain Takiyuddin, empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut dilantik sebagai anggota baharu PAC iaitu, Datuk Marcus Mojigoh (Putatan), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi) dan Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah).
Dalam pada itu, Nawawi pula berpendapat anggota PAC tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu yang dibincangkan dalam PAC.
“Jika ada kenyataan apa-apa biar pengerusi yang bertanggungjawab sahaja mengulasnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan