PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan beliau tidak membelanjakan apa-apa wang atau mengeluarkan dana awam bagi resepsi perkahwinan anak lelakinya di Indonesia.
Ahmad Zahid berkata, resepsi itu dianjurkan oleh besan beliau, seorang ahli perniagaan, sebaik mengetahui bahawa beliau (Zahid) akan melakukan lawatan rasmi ke negara berjiran itu dari 18 hingga 21 September.
"Anak lelaki saya berkahwin dengan seorang gadis Indonesia di Kuala Lumpur sebelum itu. Kemudian, besan saya, yang mendapat tahu tentang lawatan rasmi saya, menganjurkan resepsi bagi anak perempuannya untuk diadakan pada petang 19 September.
"Saya tidak membelanjakan apa-apa wang dalam penganjuran resepsi perkahwinan itu sebab ia bukan majlis saya. Ia (majlis) besan saya," katanya.
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita ketika diminta mengulas komen seorang penulis blog, Shahbudin Husin, yang mempersoalkan pengaturan masa lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia, yang berbetulan dengan resepsi itu.
"Saya tidak menggunakan atau menyalahgunakan dana awam," kata Ahmad Zahid dan menambah, Shahbudin, yang dikenalinya sejak 1987, sepatutnya berjumpa beliau untuk mendapatkan penjelasan, bukan mempersoalkannya secara terbuka.
Semalam, Shahbudin dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya untuk dirakam keterangannya berhubung tulisan dalam blognya itu.
Dia disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang meliputi penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, dan selanjutnya denda RM1,000 bagi setiap hari apabila kesalahan itu terus dilakukan selepas individu terbabit disabitkan kesalahan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan