HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Oktober 2015

Istilah ‘pendatang’ hanya untuk bukan warganegara

Khoo Kay Kim
Prof Emeratus Tan Sri Khoo Kay Kim
 
 
KUALA LUMPUR - Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, istilah ‘pendatang’ hanya dapat diberikan kepada mereka yang tidak mendapat kewarganegaraan.

“Pendatang hanya untuk yang bukan warganegara. Kalau sudah dapat kewarganegaraan dia bukan lagi pendatang,” katanya dalam Forum Mempertahankan Maruah Melayu, di sini, malam tadi.

Kay Kim, yang merupakan pakar sejarah Malaysia berkata, seharusnya dalam kad pengenalan Malaysia ditulis ‘warganegara Malaysia’ dan bukannya bangsa seseorang itu, lapor Malaysiakini.

“Bangsa menunjukkan nationaliti kita sepatutnya Malaysia, kalau (dalam kad pengenalan) tulis bangsa Cina, maknanya warganegara Cina lah.

“Itu istilah bukan makna. istilah hanya bawa satu makna,” katanya yang turut menyifatkan pemerintah melakukan kesilapan dengan meletakkan bangsa di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.

Beliau berkata semasa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), badan itu tidak digelar sebagai United Race termasuk juga 1Malaysia pula bermakna satu bangsa iaitu Malaysia.

“1Malaysia maksudnya satu bangsa dan ini difahami oleh orang-orang lama,” katanya.

Menurut Kay Kim lagi, dengan menghayati nilai sejarah lampau, ia boleh menjadikan negara ini hebat seperti dahulu.

“Kita kena kenal kekuatan kita. Dulu pertanian kita nombor satu di dunia tapi sekarang sudah hilang, saya tidak tahu golongan muda nak ke mana sekarang?

“Zaman saya digalakkan bersaing dengan yang terbaik. Yang sedihnya mereka (generasi sekarang) tidak tahu mengapa mereka kalah (dalam apa-apa bidang) sekarang.

“(Sebab) bagi mereka sejarah tidak penting. kalau kaji masyarakat Melayu, pada masa keadaan mula berubah, banyak boleh kita belajar tapi sekarang pemerintah kata sejarah tidak penting,” katanya.


Tiada ulasan: