SHAH ALAM,  Jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini, menyebabkan bilangan pesakit di hospital kerajaan turut meningkat berbanding biasa.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, peningkatan itu bagaimanapun tidak membimbangkan.

“Ada peningkatan pada bilangan pesakit akibat jerebu, namun ianya tidak begitu teruk.

“Mereka ini dilaporkan mengalami batuk, sakit kerongkong dan penyakit lelah yang teruk,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2015 di Hospital Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, Selangor mencatat peningkatan jumlah pesakit tertinggi akibat jerebu, susulan kepadatan penduduk.

Subramanian turut berseloroh, dengan mengatakan Selangor sering dilanda “penyakit”, termasuk dalam bidang politik.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, seramai 43,000 individu di negara ini buta akibat katarak.

Menurutnya, seramai 1.3 juta rakyat berusia 50 tahun ke atas, mengalami katarak pada tahap serius yang akhirnya akan menjejaskan penglihatan mereka dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

“Kementerian Kesihatan mewujudkan Program Klinik Katarak 1Malaysia melalui tiga strategi, iaitu statik, mobil dan transit bagi menguruskan beban katarak dengan kaedah paling efisien.

“Program ini bertujuan membasmi kebutaan, disebabkan masalah katarak di seluruh negara, khususnya di pedalaman,” katanya