KOTA BHARU,  Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).


Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, kedua mangsa kini dipantau oleh Pakar Kesihatan Kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Nasiruddin Nik Leh.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kekurangan zat makanan menyebabkan mereka hilang 10kg dan psikologi mereka tidak stabil dan pasif.

“Noreen Yaacob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, sekarang dalam keadaan trauma dan cuba menjauhkan diri daripada orang ramai.

“Mereka akan diberi kaunseling oleh pakar psikologi dan diet yang terkawal untu mengembalikan berat badan mereka,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Wad 5 HRPZ II, di sini, hari ini.
Dr Nik Nasiruddin memantau kesihatan dua kanak-kanak Orang Asli di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Foto TRP/ Mohd Zulhairie
Dr Nik Nasiruddin memantau kesihatan dua kanak-kanak Orang Asli di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Foto TRP/ Mohd Zulhairie
Sementar itu, Dr Nik Nasiruddin berkata, kanak-kanak tersebut akan mengambil masa yang lama kembali ke berat badan asal mereka.

Katanya, sesi rawatan pemulihan mungkin akan mengambil masa selama tiga hingga enam bulan bergantung pada keadaan mereka.

“Kedua mereka kini stabil dan buat masa ini pakar pemakanan kita mainkan peranan. Buat permulaan ini, mereka diberi makanan lembut seperti bubur nasi, bijirin dan lain-lain selama beberapa hari sebelum kita sediakan makan pejal.

“Seterusnya kita akan rujuk mereka kepada pakar psikologi bagi mengembalikan semangat mereka.

“Selepas keadaan mereka stabil sepenuhnya, kita akan hantar mereka ke Hospital Gua Musang dan mendapatkan rawatan di sana,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli, iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia 7 hingga 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, melarikan diri dari asrama sekolah, kerana takut dikenakan tindakan oleh guru, selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, yang kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.