KUALA LUMPUR: Pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat korporat akan
diberikan sekiranya mereka bersedia mengambil banduan kembali bekerja
menerusi sistem parol yang diperkenalkan Jabatan Penjara Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu
perbincangan lanjut akan diadakan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia
dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menarik lebih banyak sektor
korporat dalam program itu.
Malah pasar raya juga menjadi tumpuan kerajaan dalam program berkenaan.
"Setakat ini sistem ini menarik minat ramai tokoh perbankan, Pengerusi
Kumpulan Ambank , Tan Sri Azman Hashim yang begitu aktif memulihkan
banduan di luar penjara ini. Kita harap lebih ramai tokoh masyarakat dan
NGO tampil membantu program ini," katanya selepas melancarkan Program
U-Turn, semalam.
Sistem parol merupakan pelepasan secara perintah parol yang membolehkan banduan yang layak memohon pelepasan secara parol.
Tegas Zahid lagi, sistem parol ini juga terbukti menurunkan kadar
jenayah berulang dari 38 peratus kepada 7.6 peratus dan ia dijangka akan
terus menurun.
Melalui sistem ini Jabatan Penjara bekerjasama dengan Jabatan
Pencegahan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimana menyaksikan
statistik jenayah terancang menurun sebanyak 52 peratus.
"Kita lihat 42 peratus penurunan kesalahan berhubung kes dadah
dicatatkan. Ini satu pencapaian yang baik dan dalam hal ini kita
bekerjasama dnegan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan