Ia dianggap sekadar terapi sampingan bagi meredakan tekanan dan memberi keyakinan kepada penampilan diri.
PETALING JAYA: Amalan mandi bunga yang dilakukan terhadap pemain dan ketua jurulatih pasukan bola sepak Kelantan bukanlah penentu kemenangan dalam sesuatu perlawanan.
Sebaliknya, ia dianggap sekadar terapi sampingan bagi meredakan tekanan dan memberi keyakinan kepada penampilan diri, kata Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin.
Mengulas mengenai langkah Penaja utama The Red Warriors, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida yang mahu agar pemain skuad Kijang itu mandi bunga, Zamihan berkata, perbuatan itu tidak salah dari segi hukum syarak.
“Hukum mandi bunga dengan niat untuk menyegarkan tubuh badan adalah harus. Ini kerana tiada sebarang dalil yg menyuruh atau menegahnya sama sekali. Justeru cadangan DS Vida adalah dibenarkan dan ia tidak salah dari segi hukum syarak.
Terdahulu, sebuah laman portal melaporkan, Datuk Vida berhasrat mahu membawa semua pemain termasuk ketua jurulatih pasukan itu `mandi bunga’ sebelum pasukan tajaannya itu bertemu dengan skuad Helang Merah pada aksi Liga Super dan Piala FA, minggu ini.
Katanya, inisiatif itu diambil bagi membangkitkan aura positif dalam kalangan pemain selepas pasukan itu masih gagal mengutip tiga mata penuh serta menamatkan kemarau kemenangan.
“Bagaimanapun aktiviti mandi bunga tidak sepatutnya ditokok tambah dengan unsur-unsur khurafat, tahyul dan perbomohan untuk semata kelihatan kuat dan cantik atau untuk membuang sial.
“Ia jelas bertentangan dengan hukum syarak. Pelakunya dikira telah melakukan amalan syirik dan wajib bertaubat kepada Allah serta-merta. Namun begitu, amalan begini sudah tidak diamalkan lagi dan sudah ketinggalan zaman,” tambah Zamihan.
Sementara itu bagi Ultras Kelantan, mereka melihat kenyataan yang dibuat Datuk Vida lebih kepada gurauan tehadap pemain dan tidak perlu dipandang serius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan