HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Oktober 2017

Langkah bendung denggi bukan di bahu kerajaan negeri semata-mata, kata Azmin

Oleh Afiqah Mat Rozi
Post Pic
 
 
BANDAR SERI PUTRA: Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata langkah untuk membendung isu denggi bukan terletak di tangan kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya patut digalas secara bersama dengan kerajaan persekutuan. 
 
'Menyambut baik' kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu menawarkan bantuan kepada Selangor bagi menangani isu itu, Azmin berkata, ia memang wajar memandangkan negeri itu merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
 
“Itu adalah tanggungjawab mereka (Kerajaan Persekutuan) untuk membantu.
 
“Sudah tentulah harapan kita daripada jumlah 23 peratus (sumbangan kepada KDNK) ini sebahagiannya dikembalikan kepada rakyat Selangor dalam bentuk pembangunan dan program lain.
 
“Malangnya sehingga hari ini, peruntukan yang diterima oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan amat kecil berbanding dengan sumbangan (Kerajaan Negeri) yang begitu besar,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini, hari ini.
 
Najib baru-baru ini menawarkan kepada kerajaan negeri Selangor bantuan pengurusan pelupusan sampah dan sistem perparitan bagi mengurangkan kes denggi di negeri itu yang mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain.
 
Menurutnya, Selangor mencatatkan kira-kira 40,000 kes denggi setahun atau kira-kira seratus sehari, dan ia bukan satu rekod yang patut dibanggakan.
 
Najib berkata beliau tidak terkejut dengan jumlah itu sekiranya tiada usaha pembersihan dilakukan kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas kawasan berkenaan.
 
Dalam pada itu Azmin mengakui sebagai sebuah negeri  maju, Selangor juga tidak terkecuali terdedah kepada semua kemungkinan itu. 
 
Namun menurut beliau, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu itu dapat dibendung dan ditangani secara baik.
 
Azmin berkata beliau juga pernah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk melihat bagaimana kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan dapat menangani masalah ini.
 
“Tapi ada isu perundangan yang harus ditangani kerana pegawai PBT tidak boleh sewenang-wenangnya masuk ke dalam premis atau kediaman kerana kita tidak ada kuasa untuk lakukan demikian.
 
“Jika ada kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain, saya yakin isu denggi ini dapat ditangani secara baik dan bijaksana,”jelasnya. 
 
Untuk rekod, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan Selangor merekodkan jumlah kes denggi tertinggi, dengan 39,158 kes dalam tempoh Januari tahun ini sehingga awal Oktober lalu.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak 59 kes kematian dicatatkan.
 
 

Tiada ulasan: