HALAMAN SANTAI
Ahad, 22 Oktober 2017
Media perlu terus diberi kebebasan tanpa belenggu parti politik
SAYA menegur Khairy Jamaluddin dalam artikel terbaru yang disiarkan oleh Malaysiakini kerana tindakan menghalau wartawan dan atas nama kebebasan media.
Tindakan Khairy yang mewakili golongan pemuda ini mencerminkan betapa malapnya tahap kebebasan media di negara ini di masa depan.
Saya tidak menduga sama sekali teguran saya itu akan disanggah dan dikecam oleh Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii.
Teguran saya berkisar mengenai kebebasan media dan masa depannya jika dicerminkan oleh tindakan Khairy itu tetapi dua orang kuat Pemuda Umno itu mengheret Dr Mahathir Mohamad dan DAP ke dalam isu ini.
Justeru, saya ingin menyeru atau mencabar mana-mana orang kuat Pemuda Umno ini, sama ada Armand atau Razlan untuk berdebat secara terbuka dalam isu kebebasan media negara, dengan syarat ia berkisar hanya dalam isu tersebut, tidak dipolitikkan dengan agenda tertentu dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya.
Perdebatan ini boleh dianjurkan bertujuan membuka mata dan memberi pencerahan yang lebih terhadap isu kebebasan media dan kesannya kepada masyarakat dalam hak mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat, adil dan saksama terutama ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Saya terbuka di mana-mana ia untuk diadakan dan pada bila-bila masa asalkan masyarakat negara ini akan terus disajikan dengan media yang lebih bebas dan tidak dibelenggu oleh mana-mana parti politik.
Atau, pilihan kedua, jika pihak Pemuda Umno keberatan untuk berdebat, kita anjurkan forum bagi memberi peluang kepada Dr Mahathir membela diri setelah didakwa menyekat kebebasan media di negara ini kerana seingat saya, pada zaman Dr Mahathir, Malaysiakini dan beberapa portal lain ditubuhkan manakala di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak pula, beberapa portal ditutup selain digeledah oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
* Amran Ahmad adalah bekas pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan