HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Oktober 2017

Dr Mahathir dan bayang-bayang Operasi Lalang



Tanggal 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu, 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik.

 Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia.

 Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.
DALAM tempoh 12 bulan yang lalu, Dr Mahathir Mohamad terpaksa menghadam beberapa soalan tidak nyaman yang disorongkan kepadanya tentang tindakan beliau pada masa lampau terhadap seteru politiknya dahulu yang kini menjadi sekutu.

Ada ketikanya jawapan beliau terdengar jujur. Ada ketikanya jawapan itu terdengar begitu mempertahankan diri. Ada ketikanya pula bekas perdana menteri itu terdengar seperti mahu masa silam itu tidak diungkit lagi.

Tetapi penganalisis politik percaya ada banyak yang perlu dilakukan oleh Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpinnya untuk membuktikan kepada umum yang beliau dahulu bukanlah beliau yang sekarang.

Menjelang peringatan ulang tahun ke-30 Operasi Lalang, atau Ops Lalang, Jumaat ini, penganalisis berkata insiden tiga dekad lalu itu harus jadi sempadan yang tidak harus ditempuh lagi sekiranya Dr Mahathir berjaya memimpin pembangkang menang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Lalang adalah nama kod yang diberikan kepada operasi polis itu yang bermaksud pengacau yang mesti ditebas buang seperti lalang di kebun.

Pada 1987, polis melancarkan operasi besar-besaran menangkap 106 aktivis politik, hak sivil, pendidik dan pemimpin agama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sejumlah 40 orang — termasuk kebanyakan rakan-rakan Dr Mahathir dalam PH — kemudiannya diperosok ke dalam penjara tanpa bicara untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Banyak yang menghabiskan masa beberapa tahun dalam tahanan di Kamunting.

Penganalisis politik yang juga ahli sains politik, Profesor Dr Mohamad Agus Yusof berkata 22 tahun Dr Mahathir di puncak kuasa penuh dengan masa-masa pahit dan manis, tetapi Ops Lalang kekal jadi titik hitam sepanjang tempoh pentadbirannya.

Katanya, Ops Lalang meninggalkan kesan yang besar kepada kebebasan untuk berbincang, keberanian untuk memberikan pendapat berbeza dan membantutkan percambahan pemikiran dalam masyarakat khasnya di universiti-universiti.

"Titik hitam di sini adalah apabila kerajaan di bawah beliau mencabul hak-hak politik dan sivil rakyat. Mencabul sistem kehakiman, alergik kepada kritikan kepada sesiapa sahaja yang mengkritik awak, apabila awak mula memberi tekanan kepada golongan yang tidak sehaluan. Itu kesilapan-kesilapan politik beliau," kata Agus.

Selain penangkapan 106 orang awam itu, pihak berkuasa menarik balik lesen tiga buah akhbar iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Dalam Kertas Putih menjelaskan penangkapan aktivis dan penutupan akhbar tersebut, kerajaan berkata tindakan itu perlu bagi mengawal ketegangan kaum yang dicetuskan oleh individu tertentu.

Ketegangan kaum itu muncul selepas keputusan Kementerian Pendidikan melantik lebih kurang 100 penyelia bukan berbahasa Mandarin ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Langkah itu dibantah oleh wakil rakyat pembangkang, pelajar dan pertubuhan pendidikan Cina.

Pada 11 Oktober, lebih kurang 2,000 penyokong Dong Jiao Zong, sebuah persatuan guru-guru dan pemegang amanah sekolah Cina, berhimpun di Kuala Lumpur menggesa tindakan pulau di sekolah-sekolah Cina.

Perhimpunan itu disertai oleh Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai; pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin Gerakan.

Biarpun tindakan pulau itu dibatalkan, 57 buah sekolah meneruskan tindakan boikot.
Pemuda Umno kemudian bertindak balas dengan menganjurkan perhimpunan yang disertai oleh hampir 10,000 orang di Stadium TPCA di Kampung Baru, diketuai oleh Najib Razak yang ketika itu ketua Pemuda Umno.

Pengkritik bagaimanapun sejak sekian lama mendakwa Ops Lalang sebenarnya lebih bermotifkan politik untuk menangani penentangan terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata biarpun tidak ada wartawan yang ditangkap dalam operasi itu, penutupan tiga buah akhbar meninggalkan bekas pada media sehingga ke hari ini.

"Ia berjaya menanam bibit ketakutan pada wartawan dan rakyat Malaysia amnya untuk menyekat diri sendiri," kata Wong.

Keluar daripada bayang-bayang

Agus berkata walaupun kesan Ops Lalang masih dapat dirasai tiga dekad kemudian, Dr Mahathir masih ada peluang kedua untuk membetulkan kesilapan lampau yang beliau buat.

"Dr Mahathir perlu menggunakan peluang kedua ini, jika PH menang, untuk memperbetulkan kesilapan yang beliau buat masa dia perintah dahulu," kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Katanya, Dr Mahathir harus memimpin rakyat untuk "maju dari segi politik ke peringkat yang lain" dan meninggalkan politik masa lalu yang ditandai dengan budaya ketakutan.

"Kita kena letak negara kita setaraf dengan dunia antarabangsa di mana kita meraikan globalisasi, meraikan demokrasi," katanya.

Tambah Agus, melalui kepimpinannya Dr Mahathir harus menggalakkan pandangan yang berbeza agar kesilapan dalam pentadbiran dapat dibetulkan.

"Walaupun kerajaan buat salah, dan kita hendak pertahankan kesalahan itu kerana kita anggap ini institusi yang perlu dijaga. Maka kita tidak akan berkembanglah.

"Apabila institusi salah kita pertahankan. Jadi bagaimana kita mahu melangkah ke depan.
"Bagi saya kita perlu tegur perkara yang salah itu sebagai salah dan angkat benda yang betul itu sebagai betul. Ini masyarakat yang perlu kita bina," katanya.

Menurut Agus, pemimpin masa depan harus menerima yang masyarakat Malaysia hari ini tidak lagi sama dengan masyarakat tiga dekad yang lalu.

"Masyarakat sudah cerdik, mereka tahu bagaimana mahu menjaga negara. Awak mungkin pensyarah, jurutera, tukang sapu tetapi semuanya sayangkan negara.

"Jadi saya kira kalau kita mahu maju ke depan, mahu jaga keselamatan negara, tidak mahu perang, kita hormati hak sivil rakyat.

"Insya-Allah itu asas bagaimana kita harus bergerak ke depan," katanya

Tiada ulasan: