PETALING JAYA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif,
Malaysia Airlines Bhd., Peter Bellew mengesahkan telah menghantar surat
peletakan jawatan kepada pengerusi syarikat penerbangan tersebut pada 8
Oktober lalu.
“Surat tersebut telah dihantar tepat dua minggu daripada
tarikh hari ini kepada Pengerusi Malaysia Airlines dan berita mengenai
peletakan jawatan saya mula tersebar apabila akhbar UK Times menyiarkan
satu berita mengenainya.
“Ryanair pula bertindak membuat pengumuman di Bursa London pada Selasa lalu.
“Mengapa Malaysia Airlines dan Khazanah tidak membuat
pengumuman rasmi selepas menerima surat peletakan jawatan tersebut?
Mungkin mereka masih berusaha dengan segala kuasa yang mereka ada untuk
mempertahankan saya di syarikat ini.
“Lagi pula, pengerusi Malaysia Airlines yang membuatkan
saya hadir di syarikat ini,” katanya semasa sidang media khas di sini
hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui belum menerima tawaran kerja daripada Ryanair semasa meletakkan jawatan tersebut.
Peter juga enggan menjawab soalan pemberita mengenai tarikh
sebenar beliau menerima tawaran sebagai ketua pegawai operasi syarikat
penerbangan tambang murah itu serta penalti yang perlu dibayar kepada
majikannya kerana telah melanggar kontrak.
Kontrak lelaki berbangsa Irish itu sepatutnya tamat pada 31 Disember ini.
Sambil berulang kali menegaskan peletakan jawatannya
hanyalah kerana mahu ‘balik kampung’ sekali gus menafikan dakwaan
sesetengah pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad yang menuduh tindakannya itu adalah kerana campur tangan
kerajaan dan Khazanah Nasional semasa menjalankan tugas.
“Tiada siapa yang berjumpa saya untuk memeriksa fakta
sebelum membuat kenyataan. Saya pernah membuat kenyataan yang sama
sebelum ini dan saya mahu jadikannya yang terakhir.
“Tiada campur tangan dari sesiapa sama ada kerajaan atau
Khazanah Nasional. Sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya susah
hendak dengar cakap orang.
“Saya mendapat kerjasama yang baik di Malaysia dan
satu-satunya sebab saya meninggalkan negara ini adalah kerana mahu balik
kampung.
“Ryanair sedang tenat dan mereka perlukan saya. Sama
seperti orang Malaysia sayangkan Malaysia Airlines dan mahukan ia terus
menjadi kebanggaan negara, begitu jugalah saya,” tegasnya.
Menyentuh mengenai pelantikan Kapten Izham Ismail yang
menggantikan tempatnya, Peter berkata, beliau adalah individu terbaik
untuk menerajui Malaysia Airlines ketika ini.
Selain ‘orang dalam’, Izham juga, katanya, merupakan
seorang yang berkarisma tinggi dan memahami selok-belok perniagaan dan
operasi syarikat penerbangan itu terutama daripada segi penjimatan kos.
“Beliau (Kapten Izham) merupakan orang pertama yang saya
jumpa di hari pertama menyertai Malaysia Airlines. Beliau sangat cekap
dan disayangi oleh kakitangan kami. Saya rasa tiada masalah besar untuk
Kapten Izham untuk menerajui Malaysia Airlines,”
ujarnya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan