HALAMAN SANTAI
Ahad, 22 Oktober 2017
Naib Presiden Indonesia Tersinggung Bugis Dihina
ISTANBUL – Tindakan biadab tokoh pembangkang terkenal, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutuk keturunan Bugis sebagai lanun turut mendapat perhatian serius pihak kerajaan Indonesia sendiri.
Meskipun Pengerusi Pakatan Harapan itu mendakwa kononnya ayat penghinaan tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ucapan beliau memang jelas merujuk kepada imej bangsa berkenaan.
Terbaharu Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengakui secara peribadi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau berasa amat tersinggung dengan kenyataan celupar tersebut.
Perasaan kesal itu dinyatakan beliau yang juga memang berketurunan Bugis kepada Ahmad Zahid ketika kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi negara masing-masing berada bandar raya utama Turki berkenaan di sini semalam.
Mereka berdua menghadiri Persidangan Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) dan turut menyertai acara jamuan makan tengah hari yang dihoskan sendiri oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
“Walaupun bukan secara rasmi tetapi Jusuf memberitahu saya bahawa beliau amat tersinggung dengan ungkapan yang menghina orang Bugis sama ada di Malaysia atau di Indonesia khususnya Sulawesi,” kata Ahmad Zahid.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita Malaysia di sini hari ini. Untuk rekod, ramai pemimpin Indonesia selain tokoh agama, korporat dan akademik adalah berketurunan Bugis.
Ini termasuk bekas presidennya, Bacharuddin Jusuf Habibie sendiri. Bahkan di Malaysia, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain Sultan Johor dan Sultan Selangor juga diketahui sebagai berdarah Bugis dari Sulawesi.
Malah Presiden Indonesia, Joko Widodo yang berketurunan Jawa turut bangga mengenakan busana kaum itu ketika menghadiri sidang tahunan Majelis Permusyawaratan Rakyat di Kompleks Parlimen, Jakarta, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, dari sudut sejarah, panggilan lanun terhadap orang Bugis sebenarnya sengaja diletakkan penjajah walhal sebenarnya mereka adalah pahlawan yang gagah menentang kolonial Belanda.
Ucapan kurang ajar Mahathir melabel Najib yang berketurunan Bugis sebagai lanun serta patut dihalau balik turut mendapat perhatian luas media dan netizen Indonesia sehingga mencetuskan perasaan marah di negara tersebut.
“Mungkin kerana dia (Najib) asal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis!” katanya dalam himpunan haram di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu yang gagal dapat sambutan.
Ternyata kebiadaban Mahathir ketika berucap pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi yang jelas tiada permit pihak polis dan cuma dihadiri 4,000 peserta itu, juga amat dikesali warga Indonesia sendiri.
Ramai penganalisis politik antarabangsa melihat ungkapan itu bagi mengalih perhatian penyokong pembangkang yang sebelum ini pernah ejeknya sebagai Mamak Madey Kutty dari Kerala, India. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan