MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjalankan ujian asid
deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat yang didakwa militan Malaysia Dr
Mahmud Ahmad jika diminta oleh pihak berkuasa Filipina.
Malah kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan
Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya telah membuat
persiapan awal dengan mengambil sampel DNA anggota keluarga bekas
pensyarah itu yang kini menetap di Selayang, Selangor.
“Kita perlu lihat mayat dahulu jika beliau terbunuh dan jika mayat
hancur kita perlu jalani ujian DNA terlebih dahulu,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri program Wacana Kelestarian dan kehormatan
Negara peringkat Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada
Sabtu yang dirasmikan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali
Rustam.
Ayob Khan mengulas laporan media yang berkata Presiden Filipina Rodrigo
Duterte mengesahkan bekas pensyarah rakyat Malaysia itu antara
pemimpin kumpulan militan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera
Filipina di Marawi pada Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata pihak berkuasa Malaysia juga masih
menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Filipina berhubung kematian
bekas pensyarah itu.
“Kita tidak boleh mengambil kenyataan yang dilaporkan oleh media
antarabangsa sebagai kenyataan rasmi sebelum dapat membuat pengesahan
mayat ataupun melakukan ujian DNA terhadap mayat terlebih dahulu,”
katanya.
Bagaimanapun Ayob Khan berkata pihaknya percaya, jika benar Mahmud
terbunuh, situasi itu sedikit-sebanyak akan melemahkan pergerakan
kumpulan penganas di rantau ini yang memerlukan masa untuk mencari
pemimpin baharu.
Pada Jumaat, Bernama melaporkan Kementerian Pertahanan masih menunggu
pengesahan daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) berhubung laporan kematian militan Malaysia itu.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun pihak
berkuasa tertinggi Filipina telah mengesahkan kematian Mahmud, BSPP ATM
masih belum menerima laporan berhubung perkara ini.
Mengulas perkembangan berkaitan, Ayob Khan berkata usaha membanteras
kegiatan kumpulan pengganas Daesh tidak wajar diletakkan pada bahu pihak
polis semata-mata sebaliknya perlu dipikul oleh semua pihak termasuk
ibu bapa.
“Kesedaran masyarakat untuk melakukan pemerhatian terhadap perkara ini
masih kurang dan ia perlu ditingkatkan agar perkembangan idelogi
songsang ini (Daesh) mampu disekat pada peringkat awal sebelum ia
mempengaruhi generasi muda di negara ini,” katanya.
Beliau juga berpandangan jabatan agama perlu berada di barisan depan
dan pihak polis hanya boleh mengambil tindakan jika ada anggota
masyarakat yang melangkaui garisan keselamatan.
“Dalam perkara ini jabatan agama perlu memainkan peranan mengikut
bidang kuasa yang ada dan tidak boleh teragak-agak mengambil tindakan,“
katanya yang mengusulkan agar jabatan agama bekerjasama dengan polis
bagi menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.
Ayob Khan turut mencadangkan jabatan agama memantau kemasukan
penceramah agama dari luar negara bagi mengelakkan merebaknya idelogi
dan ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang
menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia.
Mengulas satu lagi isu, Ayob Khan berkata polis akan memperhebat
pemantauan keselamatan terhadap kecenderungan sebilangan etnik Rohingya
di negara ini menyertai The Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) yang
dikhuatiri mampu menjejaskan keselamatan negara.
“Mereka (Rohingya) mungkin tidak mampu pergi berjuang ke Myanmar namun
kita perlu mempunyai kerisauan jika mereka melakukan tindakan melanggar
peraturan kea tas kepentingan Myanmar di Kuala Lumpur dan tidak boleh
mengambil mudah dalam perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan