Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menerima
keputusan PAS yang enggan mencalonkan dirinya pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14) dengan 'sujud syukur'.
Malah ujar Mahfuz, sekiranya dicalonkan, beliau akan menolak kerana
parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu didakwa tidak mempamerkan
komitmen yang 'bersungguh' untuk menakluk Putrajaya.
Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden
PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengesahkan PAS tidak akan
mengetengahkan dirinya sebagai calon mewakili parti itu dalam PRU akan
datang.
"Saya sujud syukur kerana tidak dicalonkan sebagai calon PAS pada
pilihan raya akan datang. Malah, sebaliknya kalau dicalonkan pun pasti
saya akan menolak.
"Bila dah diberitahu saya tidak dicalonkan maka saya sujud syukur yang
teramat sangat kerana saya tidak mahu dilihat menjadi calon yang
akhirnya mengkhianati negara dan rakyat. Saya tidak mahu menjadi calon
yang mewakili PAS yang tidak dilihat (bersungguh) untuk mengambil alih
negara," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Dalam pada itu ujarnya, soal sama ada beliau akan bertanding atas
'tiket' blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang,
tidak berbangkit.
Terdahulu Mohd Amar dalam kenyataannya malam tadi berkata Mahfuz tidak
akan diketengahkan sebagai calon mewakili PAS pada PRU nanti, selain
meminta pemimpin itu supaya keluar daripada PAS berikutan tindak
tanduknya yang 'mesra' PH.
Ia susulan tindakan Mahfuz yang hadir dalam Konvensyen Nasional Amanah di Alor Setar, Kedah, semalam.
Mahfuz yang ditemui pemberita di konvensyen berkenaan turut dilaporkan
berkata, mana-mana ahli PAS termasuk dirinya tidak perlu keluar daripada
parti walaupun menyatakan sokongan kepada PH.
Turut hadir bersama beliau dalam konvensyen itu adalah tiga lagi
pemimpin PAS iaitu ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah; ADUN Kubang
Rotan, Mohd Nasir Mustapa dan ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman.
Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan beliau tidak akan keluar daripada
PAS ekoran mahu membawa mesej kepada ahli yang lain bahawa mereka tetap
boleh memberi sokongan kepada PH sekalipun bergelar ahli PAS.
"Saya takkan keluar daripada PAS kerana saya nak berikan mesej pada
ahli PAS bahawa mereka boleh terus berada dalam parti tetapi boleh
sokong PH.
"Tidak. Saya nak berikan mesej kepada ahli PAS. Ahli PAS ada yang
berasa takut nak keluar PAS kerana mereka takut dipulau oleh ahli PAS
yang lain di peringkat kampung dan bawah ini. Saya nak beritahu bahawa
mereka tidak perlu keluar parti tetapi mereka boleh berikan 'undi' pada
PH untuk membolehkan supaya negara dan rakyat dapat diselamatkan dan
beban terpaksa ditanggung oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat
diatasi," jelasnya.
Mahfuz, yang menyandang kerusi Parlimen Pokok Sena sejak PRU12 (2008)
pernah menyatakan kesediaan untuk namanya digugurkan daripada mewakili
PAS, selain terbuka untuk bertanding atas tiket PH pada PRU akan datang
walaupun masih bergelar ahli parti pimpinan Hadi itu.
Sejak tewas dalam pemilihan parti 2015, Mahfuz dilihat kerap mengkritik
PAS, ekoran keengganan parti itu bergabung dengan PH bagi menumbangkan
Umno-BN pada pilihan raya kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan