Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: MIC menyambut baik saranan Pengerusi Barisan Nasional (BN),
Datuk Seri Najib Razak agar parti komponen gabungan itu mengamalkan
toleransi dalam isu pembahagian kerusi dalam mendepani pilihan raya
kelak.
Perkara itu dinyatakan Naib Presidennya, Datuk T. Mohan sambil menambah perkara itu perlu dilakukan secara saksama.
"Itu bukanlah perkara yang baru. Tetapi, pada saya, ia perlu dilakukan
oleh semua, bukan satu parti sahaja. Contohnya, sesuatu kerusi itu oleh
Umno sahaja, parti lain tak dapat," katanya kepada Antarapos.
Mohan menjelaskan pembahagian kerusi sesama parti komponen telah lama
diamalkan, dengan merujuk bagaimana MIC memberi kerusi DUN Pasir Panjang
dan DUN Behrang di Perak pada PRU13 yang lalu kepada Umno.
Menerusi langkah itu, BN akhirnya menang di dua kerusi berkenaan, dan
sebagai ganti kepada pertukaran itu, MIC mendapat jawatan Senator di
Dewan Negara.
"Cuma kena adil kepada semua parti. MIC tidak mempunyai pengundi yang
ramai seperti parti-parti Melayu, jadi kita perlu ada formula yang
terbaik," tegas Mohan.
Terdahulu, Najib ketika berucap di Taklimat Pemukiman Jentera BN PRU14
yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) pagi tadi mengingatkan parti-parti komponen gabungan itu
untuk mengamalkan toleransi dalam soal pembahagian kerusi.
Langkah itu disifatkan penting supaya BN kekal menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Dalam isu berkaitan, Mohan dalam masa yang sama bertegas kerusi Cameron
Highland yang menjadi perebutan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) tetap
akan dipertahankan MIC.
"Kerusi Cameron Highland mesti dikekalkan kepada MIC, kerana mereka (MyPPP) tidak layak minta kerusi tersebut," ujarnya.
Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas telah beberapa kali menyatakan
hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU14 akan datang,
malah memaklumkan telah menjalankan kerja-kerjanya bersama masyarakat di
sana.
MIC bagaimanapun enggan menyerahkan kerusi itu dan tetap mahu meletakkan calonnya pada PRU14.
Kerusi Parlimen Cameron Highland kini disandang Datuk Seri G. Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan