HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Oktober 2017

Penahanan Shafie : Mimpi ngeri BN di Sabah

DETIK DAILY


Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan rahmat tersembunyi (blessing in disguise) untuk rakyat Sabah dan Pakatan Harapan (HARAPAN), kata perwakilan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Konvensyen Nasional parti itu hari ini.

Perwakilan Sabah Hamzah Abdullah, dalam perbahasan ucapan dasar Presiden AMANAH Mohamad Sabu, mengingatkan siri tangkapan oleh SPRM ke atas Shafie dan WARISAN akan menyebabkan reaksi balas terhadap BN di negeri itu.

“Percayalah bila saya kata, rakyat di Sabah tidak asing dengan perubahan kerajaan.

“Dan kali ini 25 kerusi (parlimen) BN yang mereka anggap simpanan tetap akan menjadi mimpi ngeri mereka,” katanya.

Hamzah sebelumnya mengingatkan bagaimana Parti Bersatu Sabah (PBS) ditubuhkan pada 1985 oleh Joseph Pairin Kitingan yang keluar dari Parti Berjaya dan melawan presiden Parti Berjaya dan ketua menteri Harris Salleh.

“Pemimpin ini (Joseph) dianayai, dizalimi, sehingga ke tahap pergi ke pejabat ketua menteri ditahan di tengah jalan, macam tak ada tempat lain untuk disoasat dan sengaja dihina di tengah jalan.

“Jadi dia (Joseph) akhirnya keluar dan tubuhkan PBS dengan slogan “Sabah For Sabahan” dan rakyat beri kepercayaan dan tumbanglah parti yang dia bersama (dulu),” katanya.

PBS seterusnya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1985 dan kekal berkuasa sehingga 1994.

“Apa yang terjadi di Sabah kini pernah terjadi sebelumnya pada 1985,” kata Hamzah merujuk pemecatan Shafie daripada Umno ekoran kritikannya ke atas presiden parti dan Perdana Menteri Najib Razak yang seterusnya membawa kepada penubuhan WARISAN setelah meninggalkan Umno.

Shafie pernah menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sejak 2009 namun dipecat pada 2015 selepas mengkritik Najib berkenaan skandal 1MDB.

SPRM baru-baru ini menahan dua adik Shafie, Hamid dan Yusof berhubung dakwaan kes penyalahgunaan dana kementerian itu yang melibatkan RM1.5 bilion.

SPRM turut menyiasat 60 syarikat yang diberikan projek menyediakan bekalan air, elektrik dan jalan raya d pedalaman Sabah selain beberapa pemimpin WARISAN yang lain.

Tiada ulasan: