SHAH ALAM: Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali
menyarankan partinya menyambut cadangan rundingan yang pernah disuarakan
Umno sebelum ini.
Mustafa berkata, saranan itu wajar disambut oleh PAS demi kepentingan negara ini.
Memetik laporan Malaysian Insight, veteran PAS itu juga berkata, PAS
tidak semestinya perlu masuk Barisan Nasional (BN) selepas berunding
tetapi perlu berunding secara rasmi untuk bekerjasama dengan Umno.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.
Menurut Mustafa, cadangan itu diberikan selepas presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS dan Pakatan Harapan (PH) tidak ada
'chemistry' lagi.
Mustafa berpandangan, pendekatan PAS yang mahu menjadi 'king maker'
sebelum ini tidak sesuai kerana sistem pilihan raya di negara ini tidak
akan membolehkan PAS berjaya.
"King maker hanya boleh berperanan apabila negara dalam keadaan 'hung
parliament' (parlimen tergantung) tetapi kita sekarang mahu menyertai
pilihan raya yang ada kerajaan dan pembangkang," katanya dalam sidang
media di Terengganu hari ini.
Annuar baru-baru ini berkata kedua-dua parti itu perlu “duduk semeja”
bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.
Annuar juga membayangkan bahawa Umno dan PAS akan bekerjasama, kerana
menurutnya kedua-dua parti itu mempunyai "DNA yang sama", iaitu
memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Malah Annuar juga memaklumkan, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak
dikatakan telah mendapat lampu hijau daripada kepimpinan parti dalam
mengadakan rundingan pakatan pilihan raya dengan PAS.
Dalam pada itu Mustafa juga yakin PAS boleh menambahkan undi popular
dalam pilihan raya kali ini, namun ia tidak semestinya bermaksud
penambahan kerusi untuk PAS.
Justeru katanya, melalui kerjasama dengan Umno, PAS boleh menambahkan kerusi dalam pilihan raya nanti.
"Atas dasar itu, saya mahu lihat PAS bekerjasama dengan Umno kerana
kedua-dua parti ini mewakili undi Melayu yang menjadi pengundi tunggak
dalam negara ini," katanya.
Menurut Mustafa, beliau akan memberikan kenyataan kedua selepas ini
apabila kedua-dua parti memberikan maklum balas bersabit pendirian
masing-masing.
Mustafa turut bersetuju apabila dikatakan hanya Umno yang kelihatan
beriya-iya mahukan kerjasama ini, sedangkan PAS sebaliknya dan konsisten
untuk bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
"Sebab itu bagi saya PAS perlu jelaskan perkara ini," katanya sambil
menambah, jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding, orang tengah
tidak diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan