HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Januari 2018

Guru mengamuk dipindahkan ke PPD Kulim Bandar Baru

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Guru wanita sebuah sekolah di Kulim yang mengamuk dalam satu mesyuarat guru dan videonya tular di media sosial telah ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baru hari ini.
 
Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan guru tersebut didapati tidak melambangkan profesionalisme seorang guru.
 
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari dan telah menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan keresahan awam.
 
"Sehubungan itu Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk menempatkan dengan kadar segera guru berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baru bermula 26 Januari sementara siasatan punca guru berkenaan bertindak sedemikian selesai.
 
"Tindakan ini adalah bagi mententeramkan keadaan emosi guru berkenaan serta menjaga ketenteraman proses pengajaran yang berlangsung di sekolah berkenaan," kata kenyataan tersebut.
 
KPM turut mengingatkan semua guru serta pentadbir sekolah perlu sentiasa berkelakuan serta bertindak secara profesional pada setiap masa khususnya dalam konteks hubungan sesama rakan sekerja, murid-murid serta masyarakat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
 
KPM turut menegaskan sebagai penjawat awam guru hendaklah pada setiap masa menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat.
 
 

Tiada ulasan: