SHAH ALAM: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor, Zuraida Kamarudin
menyangkal kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani
yang mendakwa tiada jawatankuasa yang dibentuk untuk rundingan kerusi
pilihan raya antara gabungan itu di negeri berkenaan.
Sebaliknya, kata Zuraida, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh
Pengarah Pilihan Raya PH negeri Dr Xavier Jeyakumar telah dilangsungkan
empat kali.
“Pakatan Harapan Selangor yang diterajui oleh PKR kini sedang dalam
proses rundingan kerusi bagi peringkat Dewan Undangan Negeri untuk
menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang,” katanya
dipetik Malaysiakini.
Zuraida juga menafikan terdapat rundingan sulit antara PKR-PAS bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.
Semalam, Jamzuri mendakwa PH Selangor masih tidak mengadakan
perbincangan rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor, walaupun tarikh
akhir penyerahan adalah 31 Januari.
Selain itu dakwanya, jawatankuasa khas untuk berunding pembahagian
kerusi untuk empat parti komponen pakatan itu turut belum ditubuhkan.
Menurut Jamzuri, keadaan ini akan berterusan kerana PKR masih gigih
ingin mendapatkan sokongan PAS dan mempercayai mereka akan gagal tanpa
bantuan PAS.
Jamzuri berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Pengerusi PH
negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta bahawa jawatankuasa khas
ditubuhkan segera untuk membincangkan pembahagian kerusi.
Bagaimanapun ujarnya tiada sebarang maklum balas dari Azmin.
Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad turut menegaskan
kepemimpinan PAS Selangor tidak pernah berunding dengan kerajaan negeri
PKR sejak kerjasama politik antara kedua-dua parti itu dibatalkan.
Untuk rekod, tahaluf siyasi antara PAS dan PKR terbatal secara rasmi
pada Mei tahun lalu selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat ketetapan
berkenaan atas alasan terdapat pelanggaran syarat kerjasama oleh parti
pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan