HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Januari 2018

Thaipusam: Kurangkan pecah kelapa elak pembaziran – CAP


THE MALAYSIAN TIMES
 


GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa penganut agama Hindu yang bakal membayar nazar dengan memecahkan kelapa untuk mengurangkan perbuatan tersebut kerana disifatkan sebagai membazir.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata wang yang digunakan untuk memecahkan kelapa itu boleh disalurkan untuk memenuhi pelbagai keperluan sebahagian daripada masyarakat India yang masih hidup di bawah paras kemiskinan.

“Memecah kelapa ketika Thaipusam adalah upacara pembersihan yang diamalkan oleh penganut Hindu. Apa sahaja barangan makanan yang ditawarkan kepada Tuhan perlu dilayan sebagai ‘prasadam’ (makanan suci) serta dimakan oleh penganutnya dan bukannya dibuang sebagai sisa makanan,” katanya pada sidang media, di sini.

Turut hadir Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang V. Palanisamy, Pengerusi Pertubuhan Hindhudharma Malaysia (Pulau Pinang) V. Nanda Kumar dan Naib Pengerusi Pertubuhan Hindu Sangam Malaysia (Pulau Pinang) A. Tharman.

Subbarow berkata dianggarkan 350,000 biji kelapa dipecahkan pada tahun lepas dan ia merupakan satu jumlah yang besar.

Beliau berkata upacara itu sepatutnya dilakukan dengan betul iaitu memecahkan sebiji kelapa sahaja dan disertakan dengan kasih sayang selain mengambil kira pasaran kelapa yang kian meningkat saban tahun.

“Perlu diketahui juga bahawa bekalan kelapa yang kita dapat dari Bagan Datoh, Perak semakin berkurangan disebabkan oleh kekurangan tenaga pekerja pemetik kelapa di samping perubahan cuaca yang tidak menentu sehingga memberi kesan kepada produktiviti tanaman kelapa.

“Jadi, saya menyeru semua penganut supaya lebih berjimat dan mengikut amalan agama yang betul supaya menjadi contoh yang baik kepada generasi muda penganut agama Hindu,” katanya.

Subbarow turut meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengawal harga kelapa kerana ia dijangka meningkat setiap kali perayaan Thaipusam iaitu daripada RM1.50 sebiji kepada RM4.50 sebiji.– Bernama

Tiada ulasan: