HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Januari 2018

Masa kian suntuk, Pakatan di Selangor belum mula runding kerusi DUN

AKHBAR RAKYAT

 
Oleh

PAKATAN Harapan (PH) Selangor masih belum memulakan secara rasmi rundingan untuk agihan kerusi negeri walau tempoh yang ditetapkan hanya berbaki tujuh hari.

Bahkan, Jawatankuasa Khas Rundingan Agihan Kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor yang sepatutnya dianggotai oleh wakil dari empat parti komponen juga masih belum dibentuk.

Antara punca yang dikenalpasti adalah tindakan PKR yang masih cuba menarik PAS bersama dengan keyakinan bahawa PH akan kalah, hatta di Selangor tanpa penyertaan parti Islam itu.

Menurut Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani, Amanah Selangor telah menghantar surat kepada pengerusi PH Selangor mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut dengan segera.

"Setakat ini masih belum ada sebarang maklumbalas dari Pengerusi PH Selangor," kata Jamzuri.

Pengerusi PH Selangor adalah Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, yang juga pengarah pilihan raya PH.

Jamzuri mengesahkan, sudah ada beberapa perbincangan antara parti tertentu dalam komponen PH, tetapi rundingan rasmi yang melibatkan keempat-empat parti masih belum berlaku.

Tarikh akhir rundingan peringkat negeri seperti yang ditetapkan oleh PH Nasional ialah pada 31 Januari 2018.

"Jikalau tiada penyelesaian maka perbincangan kerusi ini mungkin akan dibuat di peringkat PH pusat," katanya.

Difahamkan, Bersatu, Amanah dan DAP telah melakukan rundingan pembahagian kerusi antara mereka tanpa penglibatan PKR.

Ini berikutan jangkaan awal PKR untuk bertanding sehingga 30 dari 56 kerusi negeri di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti sebagaimana yang diumumkan dalam mesyuarat bersama PH di Selangor sebelum ini.

Sedangkan dalam Pilihan Raya 2013 lalu, PKR hanya bertanding 20 kerusi sahaja, manakala PAS bertanding di 20 DUN dan DAP (15), manakala kerusi Kota Damansara ditandingi oleh PAS dan PKR.

Dalam rundingan tiga parti itu, DAP akan kekal di 15 kerusi yang ditandinginya seperti mana PRU2013 lalu manakala 20 kerusi PAS akan diagihkan antara Amanah dan Bersatu.
Bersatu pula dicadangkan agar menuntut sebahagian kerusi yang tidak berjaya dimenangi PKR dalam pilihan raya yang lalu.

Sumber memberitahu , mesyuarat jentera pilihan raya PH Selangor yang dipanggil oleh Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Xevier Jayakumar minggu lalu gagal merundingkan sebarang pembahagian kerusi.

Ini kerana wakil ketiga-tiga parti, Amanah, DAP dan Bersatu, berkata mereka tidak ada mandat untuk membuat perundingan kerusi.

Sumber mendedahkan, wakil ketiga-tiga parti itu memberitahu Xavier bahawa mereka hanya datang ke mesyuarat untuk membuat persiapan jentera pilihan raya dan bukan untuk rundingan kerusi.

Ekoran itu, mesyuarat itu hanya berakhir selama setengah jam sahaja, kata sumber.

Sementara itu, semakan dengan satu lagi sumber dalam PKR Selangor mendapati parti itu mensasar untuk bertanding di 21 kerusi negeri sahaja di Selangor.

"Kami sasarkan untuk bertanding 21 kerusi dengan jangkaan akan menang 19 kerusi negeri," kata sumber.

Namun begitu, oleh kerana PKR berpecah kepada dua kem, angka 21 kerusi itu dipersetujui oleh satu kem sahaja bukan oleh semua pemimpin PKR, kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan: