PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan Ahli
Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi yang mengeluarkan perintah injunksi sementara menghalang beliau
daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa
memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang
bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam
menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.
Hakim Abang Iskandar memaklumkan bahawa kuorum berkenaan akan
mengumumkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak kerana
mereka memerlukan masa bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan dalam
rayuan.
Najib diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Pua diwakili Gobind Singh Deo.
Pua pada 4 Ogos lalu merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengeluarkan
perintah injunksi sementara sebelah pihak yang menghalang beliau
daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa
memfitnah Najib.
Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib atas alasan
terdapat isu serius yang perlu dipelihara sehingga perbicaraan kes saman
selesai dan injunksi itu perlu dikekalkan agar isu dapat dibicarakan
tanpa mengganggu kedudukan plaintif.
Perdana Menteri memfailkan permohonan injunksi itu bagi menghalang Pua
yang didakwa memfinahnya menerusi kenyataan pada 6 April tahun lalu
berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, yang juga dimuat naik dalam Facebook
rasminya, ‘Tony Pua’.
Najib memohon perintah injunksi sebelah pihak berasaskan kebimbangan
peribadinya dan betapa seriusnya kenyataan memfitnah itu yang boleh
menjejaskan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan serta
pemimpin sebuah parti politik.
Najib pada 21 April tahun lalu atas kapasiti peribadinya menyaman Pua
atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan dalam “live video” berkaitan
pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 atau RUU 355.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan