Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor Dr
Xavier Jayakumar membayangkan rundingan kerusi bagi Pakatan Harapan (PH)
di Selangor mungkin terpaksa dilanjutkan untuk seketika lagi.
Beliau dalam pada itu enggan mengulas lanjut masalah yang dihadapi
dalam menyelesaikan rundingan agihan kerusi untuk gabungan berkenaan,
namun secara ringkas berkata mereka masih mempunyai masa sehingga
pembubaran parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"(Rundingan) masih berjalan.
"Tarikh tamat rundingan (kerusi) apabila Najib umumkan waktu untuk
Pilihan Raya," ujarnya ringkas kepada media di pejabatnya, pagi tadi.
Sebelum ini Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani
mendakwa PH Selangor masih belum mengadakan perbincangan rundingan
pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan,
walaupun tarikh akhir penyerahan adalah 31 Januari.
Selain itu dakwanya, jawatankuasa khas untuk berunding pembahagian
kerusi untuk empat parti komponen gabungan pembangkang itu juga belum
ditubuhkan.
Ia selepas PKR dikatakan masih berusaha untuk mendapatkan sokongan PAS dan mempercayai mereka akan gagal tanpa bantuan PAS.
Menurut Jamzuri, pihaknya telah menghantar surat kepada pengerusi PH
Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi meminta sebuah jawatankuasa
khas ditubuhkan segera untuk membincangkan pembahagian kerusi, namun
masih belum mendapat maklum balas daripada beliau.
Semalam, Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamarudin menyangkal
kenyataan Jamzuri sambil menambah, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh
Xavier Jeyakumar telah dilangsungkan empat kali.
Sementara itu dalam sidang media yang sama, Xavier memberitahu
gabungan itu sepakat untuk membuat bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) berhubung syor kedua persempadanan semula di negeri pimpinan
Azmin itu.
Malah beliau yakin PH akan berjaya mengumpul 500 bantahan walaupun
hanya berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum tarikh akhir yang perlu
dikemukakan kepada SPR.
Ujarnya, bantahan itu dibuat bagi menuntut kesamarataan kaum terhadap
pengundi-pengundi di kesemua kawasan di Selangor bagi PRU14 nanti.
"PH Selangor telah bermesyuarat pada hari ini dan kita bersetuju untuk
membuat bantahan di atas pameran kedua dan kali ini kita akan bekerja
kuat untuk mendapatkan minima 500 bantahan yang akan dihantar kepada SPR
sebelum 14 Februari ini.
"Kita akan bantah 22 parlimen dan 56 kerusi DUN, sebab masih lagi ada ketidak-samarataan jadi tidak adil dan kita akan bantah.
"Sempat (kumpul bantahan), sebab kita ambil isu ini sebagai satu isu
yang serius dan juga satu isu yang penting untuk PH di Selangor dan
sebab itu hari ini saya panggil mesyuarat untuk semua parti untuk
memulakan gerak kerja mereka.
"Satu bantahan, 100 orang kena tandatangan dan ada tiga jurucakap," jelasnya lagi.
Hari terakhir untuk menghantar bantahan adalah 14 Febuari sebelum SPR
melancarkan siasatan untuk membincangkan bantahan diterima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan