HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Jun 2018

ANIAYA : TIDAK UBAH SEPERTI KRISIS ANWAR DI ZAMAN MAHATHIR – JAMAL

Oleh Hazierra Lukman




Perubahan angin menerusi penakhlukan kerajaan baharu kini merupakan satu titik permulaan bagi menterjemahkan erti keadilan buat rakyat yang digambarkan Pakatan Harapan (PH).

Namun begitu, kerajaan baharu PH diharap tidak menyalahgunakan kuasa kini bagi membalas dendam politik terhadap kerajaan sebelum ini khususnya kepada pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN).

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan pemerhatiannya terhadap kerajaan kini yang dilihat seolah olah cuba menekan pihak lawan berasaskan dendam politik yang disimpan sejak sekian lama.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat perlu memakmurkan, memajukan dan mensejahterakan rakyat bukannya menindas pihak lawan.

“Contoh seperti saya, saya bukanlah penjenayah atau pengganas tetapi saya adalah pemimpin politik, pemimpin masyarakat yang ingin mendedahkan apa yang berlaku di dalam kawasan kita yang dibimbangkan oleh masyarakat,” kata Jamal seperti yang dilaporkan melalui portal KitaiKini pada Ahad.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO 1 Malaysia turut merasakan penekanan terhadap dirinya kini tidak ubah seperti kezaliman yang berlaku terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaharu, Jamal telah dikenakan tindakan hukuman lebih daripada 9 kes termasuk di dalam perhatian (KIV), tiada tindakan lanjut dan fail sudah ditutup (NFA) kini telah dibuka semula untuk siasatan.

Begitu juga laporan polis mengenai foto yang telah disunting dimana telah mencipta isu baharu yang tiada henti dan kian berlarutan.

“Bagi saya perkara tersebut adalah tidak masuk akal dan saya percaya mereka diberikan tekanan oleh pihak atasan untuk memberikan tekanan politik terhadap saya.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang tetapi apabila melihat apa yang telah berlaku terhadap saya pada hari ini seperti nama saya yang telah disenarai hitam dan diletakkan dibawah langkah keselamatan khas oleh pihak PDRM, serta beberapa penguatkuasaan, saya percaya pihak kerajaan telah memberi arahan kepada mereka untuk membuat perkara-perkara berkenaan bagi memberi tekanan kepada saya,”luah Jamal.

Dalam pada itu, Jamal menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia ekoran apa yang berlaku kepada dirinya semata-mata demi dendam politik kerajaan PH untuk menjatuhkan kredibilitinya sebagai pemimpin masyarakat.

Jamal turut mengajak natizen untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini yang dilihat seolah telah dikhianati kepimpinan kerajaan PH melalui sistem kuku besi.

Tiada ulasan: