Kerajaan akan menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengkaji dakwaan berhubung amalan monopoli, termasuk ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu diputuskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat kabinet di Putrajaya pagi tadi.
Katanya, pasukan petugas khas itu akan diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.
Selain Kementerian Kesihatan, menurut Dzulkefly tiga kementerian ialah ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
"Satu kajian akan dibuat secara menyeluruh tentang isu monopoli pada sesetengah penyedia perkhidmatan di negara ini bagi mencari pendekatan terbaik dan mengelak penambahan kos kepada kaedah perolehan.
"Dr Mahathir mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin kerana ia selalu berbangkit," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dzulkefly yang juga anggota parlimen Kuala Selangor memberitahu dalam isu perolehan ubat-ubatan ada tiga kaedah yang digunakan, iaitu melalui tender terbuka, rundingan terus dan perjanjian konsesi.
Tiada lagi MySihat
Katanya pendekatan terbaik perlu diambil hasil daripada kajian semula pasukan petugas terbabit supaya setiap wang yang dibelanjakan memberikan pulangan setimpal.
“Ia juga bagi mengelakkan pertambahan kos kepada kaedah perolehan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal mendedahkan ada syarikat mendapat hak eksklusif bagi membekalkan ubat-ubatan bernilai berbilion ringgit.
Syarikat itu didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik tertentu.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli dimiliki syarikat terbabit mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.
Ekoran itu, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly bagaimanapun berkata ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai perkara yang harus diperincikan dalam isu tersebut, selain melibatkan dasar kerajaan.
“Cuma perkara ini kami akan teliti secara menyeluruh termasuk kesan baik dan buruknya,” kata Dzulkefly.
Sementara itu, beliau juga menyatakan kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan yang akan dianggotai antara lima hingga tujuh tokoh yang arif dalam pelbagai bidang.
Katanya nama anggota majlis terbabit akan diumumkan minggu hadapan selepas proses pemilihan selesai dibuat.
Menurut Dzulkefly tokoh yang terpilih adalah diiktiraf sebagai orang yang mempunyai kepakaran bertaraf antarabangsa.
"Mereka akan menganggotai majlis itu selama dua tahun bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan," katanya.
Dr Dzulkefly turut berkata kerajaan membuat keputusan muktamad membubarkan skim MySihat yang sebelum ini diwujudkan bagi mempromosikan kesihatan di negara ini.
"Ia merupakan satu langkah rasionalisasi dan langkah-langkah lain turut akan menyusul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan