Rakyat Malaysia bersalah kerana tidak memperakui betapa liberal dan inklusifnya Najib. Pakatan Harapan pula bersalah kerana menjatuhkan Najib menggunakan Rosmah.
Lokman adalah pembantu kanan Najib di Kementerian Kewangan dan pandangannya adalah petunjuk pandangan tertutup dunia Najib menjelang PRU14 sehinggalah sekarang.
Ia juga menggambarkan betapa sukarnya untuk parti itu merangka jalan pemulihan apabila sebahagian pemimpin dan aktivisnya masih dalam mood penafian.
Lokman yang bertanding kerusi ahli Majlis Tertinggi Umno mengatakan PH menakluk Putrajaya dengan mengenakan Rosmah.
Kerana mereka tak jumpa salah Najib, mereka serang Rosmah dan strategi itu berjaya, katanya.
“Pada 2013, adakah anda dengan sesiapa cakap buruk tentang Najib? Bila pembangkang serang, mereka tak serang Najib kerana mereka tak jumpa apa-apa untuk serang dia.
“Mereka cari benda untuk jejaskan dia, jadi mereka mula serang Rosmah. Ini sebenarnya pembunuhan karakter,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Pemerhatiannya mungkin benar pada 2013 sebelum PRU12 tetapi Najib dan skandal 1MDB adalah isu digunakan PH pada PRU14.
Lokman juga masih menggunakan naratif Umno yang Najib sudah “dibebaskan” daripada sebarang salah laku berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengatakan serbuan polis di kediaman Najib hanya akan mewujudkan pertuduhan rekaan.
“Saya sangat pasti dan percaya yang mereka tak akan dakwa Najib kerana masalah 1MDB. Mereka akan cari benda lain. Percaya cakap saya,” tambahnya.
Bekas pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan itu menekankan yang Najib teruk dikecam PH, bekas perdana menteri itu sebenarnya banyak berjasa kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Berbeza dengan kepercayaan ramai, Lokman mengatakan Najib banyak berjasa kepada masyarakat Cina sehingga menyebabkan beliau hilang sokongan dalam Umno.
“Awak perlu faham mengapa kami hilang sokongan Melayu sekarang. Kami beri muka kepada sekolah Cina, kami beri mereka peruntukan.
“Orang Melayu sangat marah, mereka kata ‘Najib mereka tak akan undi awak, tapi awak beri mereka semua benda’.
“Tapi, sebenarnya Najib juga beri banyak benda kepada Melayu. Awak tak boleh puaskan semua orang. Akan ada orang yang tak akan pernah puas,” katanya.
Di masa hadapan, rakyat Malaysia akan menyesal menolak Najib, kata Lokman yang juga bekas orang PKR itu.
“Awak buang pemimpin terbaik, yang sangat toleran dan sangat liberal. Awak buang dia. Apa pilihan yang awak rasa Umno ada sekarang?”
Pada 1998, Lokman mempertahankan Anwar Ibrahim yang dipecat daripada kerajaan. Sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri dan semangatnya menentang ketidakadilan menyebabkan beliau dipuja ramai.
Dua puluh tahun selepas itu, kesetiaannya kepada Najib dan Rosmah pula menyebabkan beliau dikecam hebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan