HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Jun 2018

Selepas PRU, tiba musim Ashabul Doyok

 
Mereka tidur di dalam gua. Mereka tiada peduli dengan apa yang berlaku sekeliling. Mereka lelap selelap-lelapnya. Bukan tidur biasa, malah mereka berdengkur, bermimpi.
 
 
 




Kata minion di dalam bahasa Melayu adalah doyok. Jika ditambah “wak doyok” ia akan menjadi lebih seru.

Minion dan doyok mempunyai maksud yang sama iaitu seseorang yang kerjanya membodek, mengampu dan ibarat lalang yang mudah terliuk ke kiri atau ke kanan, tidak mempertikaikan, menyanggup, mengiyakan, bahkan pergi lebih jauh menjadi tukang karut.

Apakah asas mudah mengenal si wak doyok?

Seandainya orang yang dibodek itu sebagai misalan mengatakan begini: “Gajah. Botol.”

Doyok kebiasaan akan mara tampil untuk mengatakan beria-ia: “Memang boleh gajah masuk dalam botol, memang tempat gajah ialah di dalam botol. Gajah habitatnya adalah botol. Botol serta gajah tidak boleh dipisahkan.”

Begitu kesanggupan doyok untuk mengarut dan merepek untuk mereka yang ingin dijilatnya.

Kombinasi doyok ini ada pada satu lagi makhluk aneh yang merupakan kumpulan masyarakat yang selama ini tidak jaga. Mereka tidur di dalam gua selama beratus tahun (dalam konteks Malaysia, katakan 60 tahun) dan tiada peduli dengan apa yang berlaku sekeliling.

Hiruk pikuk apa pun mereka tidak terkesan. Mereka lelap selelap-lelapnya. Bukan tidur biasa, malah mereka berdengkur dan di dalam lena panjang dan nyaman itu mereka juga sedang bermimpi yang seronok-seronok. Ada mimpi kering. Ada mimpi basah. Pokoknya mereka bermimpi diulit terulit mengulit keindahan yang tidak nyata.

Akan tetapi, 9 Mei adalah tarikh sakti dalam sejarah negara kita. Kaum doyok yang memang ramai ini tercegat dan kaget dengan keputusan pilihan rakyat secara besar-besaran.

Setelah PRU14 berakhir, golongan yang pernah tidur di dalam gua ibaratnya Ashabul Kahfi ini, ditakdirkan Tuhan Yang Maha Esa, tersedar. Dalam pisat mereka bangun, mereka turun ke bawah dan melihat dunia telah sama sekali berbeza sebelum mereka dihambat mimpi tersebut. Mereka terpinga-pinga dan terlongo-longo dungu.

Akan tetapi tidak memerlukan masa yang banyak, doyok dan kaki buaian mimpi ini bersatu dan menjadi seekor malah berekor-ekor makhluk yang saya namakan “Ashabul Doyok”.

Hibrid doyok dan manusia mamai linglung ini menjadi manusia yang luar biasa bentuknya.

Ashabul Doyok ini kerana yang satu memang jenis meloncat menjilat dengan rakus, sementara yang satu lagi baru bangkit dari khayal fantasi di negeri berantah; dengan segera meluru menjadi mereka yang di baris depan.

Doyok di semua peringkat

Ashabul Doyok ini kita dapat kesani di setiap lapangan. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan profesor.

Ada Ashabul Doyok dalam kalangan sasterawan. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan saudagar. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan orang kenamaan.

Ada Ashabul Doyok dalam kalangan bangsawan. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan agamawan. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan pegawai dan penggawa.

Ada Ashabul Doyok dalam dunia kewartawanan. Ada Ashabul Doyok dalam kalangan penguatkuasa undang-undang.

Ashabul Doyok tiba-tiba keluar barisan menyerbu pakatan, seperti zombie menggila rimau menerpa barang-barangan dapur di Jusco Tebrau City tidak lama dulu.

Manusia sedar seperti kita tentu tergamam dan kehairanan dengan tingkah laku Ashabul Doyok ini.

Watak Ashabul Doyok ini sangat berbahaya. Merekalah yang akan merosakkan aspirasi dan kebangkitan rakyat. Mereka bukan jenis mengkritik dan semenggah, sebab mereka memang DNA kaki ampu. Yang jaga dari tidur pula masih mamai-mamai. Dan akan terus mamai. Oleh sebab itu mereka tidak bertindak dengan rasio.

PH dikepung doyok

Pemimpin Pakatan Harapan yang berada di atas, sesegar-sesegar dan secerdas cerdas juga sekacak-kacak di kota seperti Fahmi Fadzil pun mungkin tidak dapat membezakan Ashabul Doyok ini.

Atau yang sebudiman, segagah, sebersih dan sediam Ong Kian Ming pun mungkin terpana dengan Ashabul Doyok ini.

Seayu-ayu, segigih-gigih dan sedesa-desa Young Syefura juga boleh diratah mentah-mentah Ashabul Doyok jika tidak kewaspadaan.

Boleh jadi, hatta, Bang Mat yang setahan, semasyhur dan seramai peminat itu pun belum tentu dapat membezakan jantan betinanya Ashabul Doyok ini.

Ashabul Doyok ini ganas dan dengan gabungan hibrid golongan kaki lelap dan kaki sangap mimpi ini, mereka menjadi spesis yang sukar diungkapkan.

Ashabul Doyok akan menempel, menempek, melekat, melekap, melutut, melutu, menghurung, mengasak, merimas, melengser, melampias sepenuh nafsu serakahnya tanpa segan silu.

Kumpulan pemimpin PH akan nampak mereka sahaja balik-balik. Yang ikhlas-ikhlas suka berdiri jauh melihat, kadang tersenyum, dan acap kali kecemasan. Hendak ditolongkan pemimpin itu mereka masih kecungapan ekoran kemenangan bergaya. Hendak dileraikan, yang ikhlas ini tidak pula dipanggil dan diundang untuk ke tengah.

Justeru, Ashabul Doyok berpakat-pakat membuat harapan palsu untuk mereka. Harapan palsu ini boleh turun ke rakyat jelata dan mengenai kita semua lambat laun jika tidak dibanteras. Ini adalah hakikat.

Pemimpin kesayangan rakyat dalam PH sedang dikepung Ashabul Doyok. Mereka, para pemimpin, belum habis mengah ekoran kemenangan selepas lelah berjuang. Ashabul Doyok kelihatan menawar pertolongan.

Tangan Ashabul Doyok dijulur-julur, kepala mereka terjengah-jengah, bontot mereka terhegeh-hegeh, dan badan mereka terbunjal tunjal ke depan sehingga sukar untuk melihat yang lain kerana hanya ada mereka di keliling.

Demikianlah bermula Umno dan Barisan Nasional dengan Ashabul Doyok. 60 tahun digayuti Ashabul Doyok mereka tidak lagi nampak realiti. Mereka duduk dalam buih. Yang duduk dalam buih itu yang bangang-bangang. Yang penuh muslihat kerana licik sedikit, mereka duduk dalam kancah lecak mewah.

Al-Mutalawwin

Apakah ciri jelas Ashabul Doyok ini? Pertama, mereka adalah yang dinamakan oleh Saidina Ali Abi Talib: “Sesungguhnya Allah membenci al-mutalawwin. Janganlah kalian meninggalkan kebenaran dan membela kebenaran.”

Kelompok al-mutalawwin ini adalah penukar warna. Mereka seperti sesumpah demi mencari keselamatan.

Di era Yunani lama dahulu, kelompok al-mutalawwin ini dinamai kaum Sophist kerana mereka terlatih secara unik. Cara latihan untuk mereka ini ialah mula-mula mereka disuruh menyusun pidato untuk membela keyakinan tertentu.

Misalnya, Tuhan itu ada. Atau GST itu bermanfaat. Setelah mereka membentang fakta dan orang yakin, mereka diarahkan pula menyampaikan pidato yang bertentangan, yakni sebaliknya. Misalnya mereka kini berhujah bahawa Tuhan itu tiada. Atau GST itu tiada manfaat.

Hanya setelah mereka berjaya meyakinkan dalam kedua-dua argumen itu barulah mereka dapat graduat. Socrates dan Plato, kaum yang ikhlas dari jauh selalu mengecam kelompok Sophist ini.

Dari situ, kita tahu, Ashabul Doyok ini bukan semberono menjilat. Mereka ini cekap, lagi cekatan.

Mereka ini menguasai seni, dan terlatih. Keupayaan mereka merengek membujuk memintal menyangkal dan berhujah untuk berubah warna tidak boleh dipandang ringan.

Kedua, mereka ini kerana sifat akur seorang doyok atau minion akan sentiasa menyanggup apa sahaja. Jadi mereka ini boleh diuji untuk diketahui doyok atau tidak. Perintahkan mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akal, jika mereka sanggup melakukannya, malah berlebihan pula; maka itu adalah gejala ia seekor Ashabul Doyok yang ekornya bergoyang-goyang di belakang.

Sebagai misalan, doyok yang paling berjasa bergaya dan banyak mendapatkan keuntungan dalam sejarah bangsa Melayu, tidak lain tidak bukan adalah Hang Tuah. Selaku laksamana ia sanggup terjun telaga tahi untuk mendapatkan kuda tezi milik raja:

“Hatta maka sekali persetua, kuda kenaikan Sultan Mansur Syah jatuh ke pelindungan tahi, seorang pun tiada hendak menambatkan tali kepada kuda itu. Setelah dilihat oleh Laksamana Hang Tuah orang yang beratus-ratus itu seorang pun tiada mahu turun mengambil kuda itu, maka Hang Tuah pun segera terjun ke dalam pelindungan itu, ditambatkannya tali pada kuda itu. Maka diudar oranglah ke aras. Setelah kuda itu naik, maka Hang Tuah pun naik.” (Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu).

Sudah tentu kesanggupan dan kedoyokan Hang Tuah itu akan diberi warna atau hujahan baru agar tidak nampak kedoyokannya. Ia dinamakan kesetiaan. Padahal ia dilihat orang yang ikhlas sebagai ketaksuban, dan kedunguan.

Setelah demam PRU14 reda, dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa, iaitu setelah pemimpin PH juga akan kembali melemau, karat-karat bahaya akan menjelma untuk menjadikan PH sebagai BN 2.0.

Ia sudah berlaku perlahan-lahan. Karat dari seberang dialu-alukan masuk misalnya.

Proses karat berlaku tanpa disedari. Karat berlaku diam. Ia proses senyap. Bila ia sudah menjadi, sukar sekali mengikisnya. Barangkali memerlukan 60 tahun lagi.

Dan jangan risau, Ashabul Doyok tetap ada, sejak zaman Yunani, menganjur ke era Kesultanan Melayu Melaka, Ashabul Doyok menempuh zaman gemilangnya selama 60 tahun di Tanah Melayu dan tiada mustahil kekal bernyawa panjang.

*Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Barisan Nasional

Tiada ulasan: