Rosmah seorang dominan dan karakternya senang dilukis seperti Donald Trump, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Adolf Hitler.
PETALING JAYA: Kartunis Zunar mengakui sebagai kartunis, beliau akan merindui Datin Seri Rosmah Mansor berbanding bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata Rosmah sangat ‘cartoonable’ dan memberi banyak inspirasi untuknya melukis.
“Sangat banyak kartun yang boleh dibuat dengan karakter Rosmah, tetapi tidak banyak untuk Najib.
“Kalau diberi pilihan, saya mahu Najib letak jawatan, tapi Rosmah kekal. Itu untuk kepentingan kartun saya. Tetapi kalau untuk kepentingan negara, dua-dua kena pergi,” katanya dalam satu wawancara bersama FMT baru-baru ini.
Zunar berkata Rosmah seorang dominan dan karakternya senang dilukis seperti Donald Trump, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Adolf Hitler.
Katanya, sukar untuk beliau melukis karakter Najib sebab dia bukan seorang dominan.
“Watak dominan yang cipta karakter. Bila buat kartun bukan sahaja kita lukis karakter fizikal, tetapi melibatkan emosi karakter.
“Manakala untuk Najib tidak begitu sebab dia bukan karakter dominan. Karakternya tidak ‘bercakap’. Dia bercakap pasal makanan dan isu besar seperti 1MDB dan Jho Low.
“Dia cakap sekali sekala pasal coklat dia kena curi, quinoa dan kangkung. Benda-benda macam itu macam mana nak lukis,” katanya.
Zunar berkata karakter Rosmah senang dilukis sebab beliau banyak bercakap tanpa berfikir.
“Jadi banyaklah idea. Tetapi dia bercakap dia pertahan apa dia cakap.
“Jadi selain fizikalnya memberi inspirasi. Beg tangan dia, cincin, itu semua bahan bagus bagi seorang kartunis,” katanya.
Dalam pada itu, Zunar berkata sementara kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui proses pembersihan rasuah pimpinan kerajaan lama, beliau masih boleh melukis kartun Rosmah.
Bagaimanapun, selepas proses pembersihan itu berlaku, beliau akan terus mengkritik kerajaan.
“Misalnya saya lukis orang datang bawa beg tangan, dia (Rosmah) gembira tapi ingat beg Gucci rupanya kunci. Kunci itu merujuk kepada penjara.
“Proses itu akan reda, jadi saya kena tetap jalankan tugas sebagai kartunis dan fikir tentang tanggungjawab kartunis kena kritik kerajaan,” katanya.
Kerajaan BN sebelum ini mengharamkan 9 karya Zunar, termasuk 3 buah tahun lepas.
Beliau juga dilarang ke Singapura untuk menghadiri sebuah forum pada Oktober 2016.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mengkritik pentadbiran Najib berkaitan pertuduhan hasutan terhadap Zunar dan perintah larangan keluar negara.
November lalu, beliau gagal dalam percubaan membatalkan sekatan ke luar negara di Mahkamah Tinggi. Beliau kini mencabar kesahihan undang-undang imigresen di Mahkamah Persekutuan.
Selepas kerajaan PH mengambil alih pentadibiran negara selepas pilihan raya 9 Mei lepas, larangan perjalanannya Zunar ditarik balik, tetapi masalah beliau dengan undang-undang belum berakhir.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan