HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Jun 2018

'Zahid, Hisham tiada kelebihan dalam pemilihan Umno'

 
   
WAWANCARA | Bagi bakal ketua pembangkang DUN Johor Datuk Hasni Mohammad, pemimpin Umno kini tidak lagi menikmati kelebihan seperti pemimpin terdahulu, selepas kekalahan bersejarah parti itu pada PRU ke-14.

Beliau berkata padang persaingan dalam pemilihan Umno akan datang sudah menjadi sama rata - dan satu-satunya faktor penentu mungkin 'beban' yang digalas seseorang pemimpin ketika era pentadbiran BN.

"Anda perlu faham perkara ini. Umno sememangnya mahu kepimpinan parti terpisah dengan kepimpinan kerajaan.

"Jadi tidak penting sama ada kita pembangkang atau kerajaan, terutama sekarang. Persepsi itu tidak timbul," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

"Semua kami pun bukan dalam kerajaan, malah (pemangku timbalan presiden) Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau (pemangku presiden) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (pun sama).




"Dari sisi Umno, ia tidak memberikan kelebihan kepada Zahid dan Hishammuddin berbanding orang lain untuk menjadi presiden atau timbalan presiden," katanya (gambar).

Terbuka untuk semua

Seperti yang dibangkitkan Hasni, satu lagi faktor yang perlu ditimbangkan adalah Datuk Seri Najib Razak tidak menamakan atau mendidik sesiapa untuk menjadi penggantinya.

"Pada masa lalu, faktor kekananan sentiasa penting. Najib perlu melalui proses - daripada ketua pemuda kepada naib dan timbalan presiden, sebelum menjadi presiden.

"Apabila Najib diminta letak jawatan, beliau tidak membentuk Zahid untuk jadi penggantinya, beliau tidak membentuk Hishammuddin untuk menjadi timbalan. Zahid menjadi pemangku hanya kerana perlembagaan parti...bukan atas kemahuan anggota.




"Jadi kini ia terbuka untuk semua, padang sudah jadi sama rata," katanya lagi.

Pada masa lalu, katanya, sudah menjadi tradisi apabila presiden Umno menamakan penggantinya sebelum pemilihan - seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tun Abdullah Badawi.

Kanan atau popular

Ditanya tentang siapa yang paling layak menjadi presiden, Hasni berkata ia sepatutnya dipegang pemimpin yang paling kurang 'isu'.

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata jika Zahid mahu memimpin Umno, beliau mungkin tiada peluang untuk menjelaskan isu yang dihadapinya - Hasni bagaimanapun tidak mengulas lanjut 'isu' yang dimaksudkannya.

"Saya fikir dia tiada peluang untuk menjelaskannya. Anda tidak lagi boleh berkempen seperti dulu - hanya tawarkan diri dan biarkan anggota mengundi.

"Kita tidak boleh menafikan keputusan rakyat (memilih HARAPAN) ketika merangka barisan pimpinan Umno. Ia perlu diambil kira - keputusan pilihan raya, isu individu."




Keadaan itu, katanya lagi, menjadikan tidak mustahil bagi "calon popular" seperti Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin atau Ketua Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (gambar) untuk menjadi presiden.

Bagi dirinya sendiri, ekoran keterbukaan pada pemilihan kali ini, Hasni berkata beliau akan menawarkan diri sebagai calon untuk Majlis Tertinggi Umno.

Hasni juga menyuarakan harapannya agar bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

"Saya yakin anggota Umno Johor telah memberi sokongan penuh kepadanya selama ini.

"Melihat rekodnya sebagai menteri besar, saya juga percaya beliau boleh memberi banyak sumbangan kepada negara," katanya.

Bukan tandingan Khaled

Mengulas tentang negerinya sendiri, Hasni berkata menteri besar baru Datuk Osman Sapian tidak boleh dibandingkan dengan Khaled.

"Saya tidak fikir Osman (gambar) boleh dibandingkan dengan menteri besar sebelumnya - dari segi pengalaman dan rekod.




"Saya harap beliau dapat bekerja dengan rapat dengan anggota gabungannya. Itulah rahsia meningkatkan Johor ke tahap lebih tinggi," katanya.

Khaled sememangnya popular di kalangan anggota Umno Johor dan penduduk negeri itu. Namun PRU ke-14 menyaksikan Khaled gagal menang di peringkat parlimen mahupun DUN.

Beliau bagaimanapun pantas bertindak di sebalik kekalahan dan suasana politik baru, dengan mengumumkan Hasni sebagai ketua pembangkang Johor - Umno negeri pertama yang berbuat demikian.

Hasni bagaimanapun berharap Osman dapat menunjukkan prestasi yang baik, di sebalik kritikan yang diterima sebelum ini seperti isu peruntukan kerajaan negeri kepada ADUN pembangkang.

"Jika Mahathir anggap beliau sebagai tiada harapan, itu tidak baik untuk Johor. Osman perlu menjadikan Mahathir yakin dengannya.

"Saya tidak mahu menteri besar saya dilihat sebagai tidak berkebolehan di mata kepimpinan persekutuan," katanya lagi.


Tiada ulasan: