Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta akar umbi parti menilai dirinya berdasarkan kejayaan dicapai parti itu di Melaka.
Beliau yang mempertahankan kemenangan kerusi parlimen Hang Tuah Jaya (sebelum ini dikenali sebagai Bukit Katil) menjelaskan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya merampas Melaka daripada kerajaan BN pada 9 Mei lalu.
“Saya harap anggota menilai, apabila saya memimpin Melaka (sebagai) pengerusi PKR negeri, kita bermuafakat dan berjaya merampas Melaka daripada BN," katanya seperti dipetik Sinar Online.
Menurut Shamsul Iskandar pada awalnya Melaka tidak termasuk dalam senarai yang dianggap berpotensi untuk dimenangi HARAPAN pada PRU ke-14 lalu.
“Itulah sedikit sumbangan yang boleh saya berikan dan kongsikan,” katanya lagi.
PKR akan mengadakan pemilihan untuk semua jawatan dalam parti itu mulai 22 Sept ini sehingga 28 Okt.
Proses pengundian akan dijalankan secara dalam talian bermula di Kedan dan Pulau Pinang.
Negeri terakhir yang akan mengadakan undian ialah Sabah.
Anwar, Azmin gandingan terbaik
Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memenangi jawatan presiden apabila tiada nama lain dicalonkan untuk kerusi itu. Bagaimanapun pengesahan rasmi mengenainya akan dibuat kemudian.
Shamsul Iskandar akan mempertahankan jawatannya itu dan ada 11 calon lain yang turut bertanding, termasuk penyandang, Tian Chua, Dr A Xavier Jeyakumar dan Nurul Izzah Anwar.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pula dicabar oleh Rafizi Ramli yang sebelum ini dipilih anggota parti terbabit menjadi naib presiden.

Sementara itu mengenai persaingan calon timbalan presiden, Shamsul Iskandar melihat PKR mampu terus berkembang maju jika ia dipimpin bersama oleh Anwar dan Azmin.
Katanya, gabungan kedua-dua tokoh terbabit mampu meyakinkan rakyat sekali gus dapat memberikan perkhidmatan terbaik.
“Saya mengambil keputusan untuk berada di lapisan kedua selepas timbalan presiden untuk memberi sokongan kepada gabungan kedua-dua yang saya sebutkan tadi (Anwar dan Azmin),” katanya.
Katanya, pemimpin yang lahir daripada perjuangan reformasi sejak 1998 sewajarnya diberikan kedudukan dan peluang.
Bagaimanapun timbalan menteri Industri Utama itu menegaskan tidak tepat untuk seseorang menganggap beliau berada dalam kem Azmin.
“Untuk mengatakan saya menyokong Azmin dan tidak berada dalam kem lain, itu bukan bahasa baru dalam proses demokrasi PKR,” katanya yang menambah beliau tidak boleh menghalang persepsi awam mengenai kewujudan kem di dalam PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan