HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 September 2018

MAHATHIR PERTAHAN GUAN ENG




Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan keputusan pengguguran kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng oleh Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

Sambil menyifatkan kes berkenaan tidak sama dengan pertuduhan yang dihadapi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

“Ramai orang sebenarnya melakukan apa yang Guan Eng buat tetapi mereka tidak dijadikan sasaran. Mereka (kerajaan terdahulu) pilih Guan Eng kerana ada motif tertentu.

“Mereka nak singkirkan beliau. Kes ini tidak sama dengan (bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad) Khir Toyo,” katanya di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sementara itu mengulas mengenai khabar angin Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan, Mahathir berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Terima kasih memaklumkannya kepada saya. Saya tidak tahu,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini memetik sumber pegawai kerajaan bahawa Tommy dilaporkan meletak jawatan sebagai Peguam Negara selepas tiga bulan dilantik kerajaan menyandang tugas tertinggi dalam badan perundangan Malaysia.

Bagaimanapun, portal berita itu menurunkan penerbitan artikel berkenaan di web rasminya selepas mendakwa sumber pegawai kerajaan terbabit menarik balik pengesahan isu peletakan jawatan Tommy.

Mengulas pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Tommy, Mahathir berkata, kerajaan terdahulu diterajui Barisan Nasional (BN) mendalangi banyak gerakan untuk menjadikan pembangkang sebagai mangsa keadaan.

Katanya, antara mangsa perbuatan jahat itu ialah Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.


Tiada ulasan: