HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 September 2018

'Rafizi guna Langkah PD modal kempen pemilihan PKR'

MALAYSIAKINI

   

Naib Presiden PKR Tian Chua membidas Rafizi Ramli dengan mendakwa bekas anggota parlimen Pandan itu menggunakan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson sebagai modal kempen bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR akan datang.

New Straits Times memetik Tian Chua menafikan bahawa pengosongan kerusi Port Dickson dilakukan melalui mesyuarat biro politik seperti didakwa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution semalam.

"Tiada sesiapa dalam biro politik boleh beritahu bahawa perkara itu sudah dibincangkan dan diputuskan.

"Satu-satunya perkara yang Saifuddin katakan dalam mesyuarat biro politik Selasa lalu adalah beberapa kerusi sedang diteliti (untuk dikosongkan), dan sidang media akan diadakan esok (Rabu).

"Kemudian (setelah apa yang diumumkan dalam sidang media itu), jelas perkara ini (pengosongan kerusi Port Dickson) sudah dibincangkan terlebih dahulu (tanpa biro politik)," katanya.

Bekas anggota parlimen Batu itu berkata meskipun beliau tidak membantah hasrat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke parlimen, Tian Chua membantah pendekatan yang diambil dalam memutuskan perkara itu.

"Jelas Rafizi menggunakan perkara ini sebagai modal kempennya," katanya.

Tian Chua malah mendakwa Rafizi yang menyerahkan surat peletakan jawatan Danyal kepada Dewan Rakyat semalam.

Penyandang kerusi parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah semalam mengumumkan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan seterusnya kembali ke parlimen.

Pengumuman itu mendapat kritikan dari kalangan pemimpin PKR sendiri, dengan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin menggesa Anwar menyatakan pendirian dalam perkara itu memandangkan ia, menurutnya, tidak melalui saluran yang betul.

Zuraida dan Tian Chua dikaitkan dengan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Al yang akan berdepan dengan Rafizi bagi mempertahankan jawatannya.

Saifuddin pula mendakwa Zuraida dan Tian Chua maklum dengan keputusan itu kerana kedua-dua pemimpin PKR itu merupakan anggota biro politik.

Tiada ulasan: