HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 September 2018

Rakyat pilih klinik kerajaan walau terpaksa tunggu 3 jam

Nur Syamila Kamarul Arefin
 
Kelihatan pesakit beratur panjang di sebuah klinik kerajaan di Lembah Klang.



KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa menunggu selama 3 jam, rakyat Malaysia lebih memilih untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan kerana dikatakan kualiti dan yuran konsultasinya yang murah.

FMT melakukan tinjaun di klinik kesihatan sekitar Lembah Klang untuk mengetahui mengapa rakyat lebih gemar mendapatkan khidmat kesihatan kerajaan.

Hasil tinjauaan mendapati seawal jam 7.30 pagi ramai pesakit sudah beratur untuk mendaftar di klinik kerajaan terbabit.

Seorang pesara swasta, Norizam Gor Yaman, 55, berkata yuran konsultasi klinik kerajaan murah dan perkhidmatan yang diberikan juga amat bagus berbanding dahulu.
Norizam Gor Yaman.
“Sebelum ini, saya menghidapi penyakit strok. Keluarga terus hantar ke hospital swasta kerana berdekatan dengan rumah.

“Pendaftaran bagi hospital swasta bagi rawatan strok mereka mahu deposit RM10,000.

“Macam saya ni dahulu kerja swasta, ada insurans kesihatan. Menyesal tidak ambil insurans kesihatan sendiri kerana sekarang nak masuk hospital swasta nak kena deposit awal sebanyak RM10,000, belum masuk rawatan lain.

Norizam berkata, semasa mendapatkan rawatan strok di hospital kerajaan, doktor terus merujuknya ke wad kecemasan untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar dilapor berkata kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35 bagi pengamal perubatan dan doktor bagi klinik dan hospital swasta.

Cadangan itu bagaimanapun tidak disokong beberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), badan penyelidik dan pemimpin politik yang bimbang dengan kesan terhadap pengguna.
Zakiah Yaacob.
Manakala, pekerja swasta, Zakiah Yaacob, 23 berkata dia mendapatkan rawatan gigi di klinik kerajaan kerana caj rawatan di klinik gigi swasta terlalu mahal dan konsultasi yang diberikan klinik swasta tidak sama dengan klinik kerajaan.

“Klinik kerajaan tidak memberikan rawatan yang tergesa-gesa seperti klinik swasta.

“Sebelum ini pergi klinik swasta mereka terus sahaja cabut gigi saya tanpa lihat punca dan rawatan apa yang perlu dilakukan dahulu.

“Di klinik kerajaan kalau gigi berlubang, baru RM1 hingga RM2,” katanya yang mendapatkan rawatan “crowning” bagi 2 batang gigi dengan caj RM500 berbanding swasta sebanyak RM2,000.

Bagaimanapun dia mengakui waktu menunggu bagi rawatan gigi di klinik kerajaan agak lama tetapi perkhidmatannya bergerak dengan cepat dan memadai dengan harga kosnya.
Rosalind.
Sementara, Rosalind, 58, berkata terdapat lebih ramai doktor pakar di hospital kerajaan berbanding swasta menyebabkan beliau memilih untuk mendapatkan khidmat kesihatan kerajaan.

“Jika saya pergi ke hospital swasta untuk dapatkan rawatan, pihak hospital berkenaan menyuruh saya pergi hospital kerajaan kerana pakar yang spesifik dalam sesuatu penyakit ada di sana.”

Tiada ulasan: