Sebuah syarikat perladangan durian Musang King sekali lagi cuba merobohkan sekatan yang dibina masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang, kata Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along.
Menurut Mustafa, kira-kira 10 pekerja syarikat itu cuba merobohkan sekatan yang dibina di Kaleg, berhampiran Pos Tohoi, kira-kira jam 3.20 petang hari ini apabila mereka dihalang masuk untuk menghantar barang.
"Perkerja syarikat Musang King cuba masuk ke dalam tapi kami halang, jadi mereka cuba robohkan halangan kami dengan mengikat wayar besi (dari kenderaan pacuan empat roda) ke blockade (penghadang).
"Tapi mereka tidak dapat menarik blockade tersebut kerana kami sudah berdiri di atas halangan, "katanya kepada Malaysiakini.
Mustafa berkata salah seorang pekerja syarikat itu mengancam untuk menghantar lebih banyak "samseng" pada malam ini.
Dia mendakwa syarikat ladang durian Musang King itu telah mengupah penduduk tempatan dari Kampung Kuala Betis untuk menakut-nakutkan mereka.
Sejak awal tahun 2012, Orang Asli di Gua Musang giat mempertahankan tanah mereka dengan membina sekatan untuk menghalang pekerja daripada syarikat pembalakan, perlombongan dan perladangan memasuki kawasan berkenaan.

Aktivis Temiar telah membina tiga halangan sejak 15 Februari.
Walaupun Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berjanji menyelesaikan pertikaian antara penduduk Orang Asli dan syarikat perladangan itu, sekatan di Kaleg di Pos Tohoi telah dirobohkan oleh syarikat berkenaan pada 4 Ogos, sejurus selepas lawatan menteri.
Pada 10 Ogos, selepas bertemu dengan pemimpin masyarakat Temiar yang datang ke Putrajaya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga berjanji menyelesaikan masalah itu tetapi mengakui isu tanah di bawah bidang kuasa kerajaan Kelantan yang diterajui PAS.
Jabatan Perhutanan negeri Kelantan merobohkan ketiga-tiga penghalang itu pada 27 Ogos. Namun setiap kali dirobohkan, Orang Asli membina semula sekatan berkenaan.
Syarikat berkenaan sebelum ini mendakwa ia menjadi mangsa sekatan "haram" masyarakat Temiar dan merayu kepada perdana menteri untuk campur tangan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan