Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, meluluskan usul untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal.
Berita Harian Online memetik Ketua Menteri, Adly Zahari, sebagai berkata, tindakan itu bagi menerapkan amalan tadbir urus yang baik dan telus dalam kalangan Adun yang dilantik untuk memegang jawatan berkenaan kelak.
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) negeri sudah menyatakan hasrat membawa pembaharuan dan reformasi dalam sistem politik negara ini jika diberi mandat oleh rakyat.
“Satu daripada pembaharuan dan reformasi politik yang dijanjikan adalah mengehadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan tertinggi pada peringkat negeri seperti jawatan Ketua Menteri.
“Kami percaya dengan mengehadkan tempoh lantikan ini kepada dua penggal akan dapat meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang, sekali gus mencegah penyalahgunaan kuasa,” katanya yang dipetik oleh portal itu.
Selain itu, menurut Adly, tindakan itu juga bakal membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mewajibkan pembaharuan dibuat khususnya dalam kalangan pemimpin kerajaan dilantik sebagai ketua pentadbir kerajaan.
Beliau berkata, pada masa sama, langkah itu juga bagi meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pentadbir.
Selain Melaka, DUN Pulau Pinang turut meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh lantikan ketua menteri selama dua penggal.
Bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan