HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Mac 2019

Lelaki bawa dadah 'serah diri' di pejabat MP Kepong


   

Seorang lelaki diberkas pihak polis apabila hadir ke pejabat anggota parlimen Kepong di ibu negara semalam kononnya bagi membuat aduan dengan membawa dadah dipercayai jenis syabu.

"Lelaki berkenaan datang membuat aduan kononnya dia diugut oleh pihak polis dan terpaksa membayar sebanyak RM15,000 bagi menutup kesnya.

"Dia mendakwa laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil, kita bertanya kalau dia tiada kes (tidak bersalah) mengapa perlu bayar RM15,000.

"Lelaki berkenaan berkata disebabkan ini, sambil membawa keluar sepaket dadah 'ice' (syabu) dan meletakkannya di atas meja.

"Sangsi dengan tindakan lelaki itu, kami membuat laporan polis," kata setiausaha politik kepada anggota Parlimen Kepong, Yew Jia Haur pada sidang media di Kepong, hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku petang semalam kira-kira jam 6 petang sebelum pihak polis datang dan menahan lelaki berkenaan setengah jam kemudian.

Jelas Yew lagi, lelaki berkenaan datang ke pejabat wakil rakyat itu dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Malah, lelaki berkenaan juga tidak menyedari kehadiran pihak polis, sebaliknya hanya menangis apabila tangannya digari.

"Kita buat laporan polis kerana bimbang ia merupakan satu sabotaj terhadap kami dengan membawa dadah masuk pejabat anggota Parlimen.

"Oleh itu saya menasihati orang ramai di luar sana supaya berhati-hati dan jika ada sebarang perkara mencurigakan sila lapor kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul telah diarahkan ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong dan telah menahan lelaki tersebut serta merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 19 gram.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 .

"Suspek direman selama dua hari sehingga esok," katanya dalam satu kenyataan.


Tiada ulasan: