ULASAN | Esok selepas jam 5.30 petang, kita akan tahu siapa menang, siapa kecundang di Semenyih. Sempurnalah satu lagi PRK di negara ini, selepas beberapa siri PRK sejak berakhirnya PRU ke 14 Mei tahun lalu.
Adat bertanding - yang menang berhak bersorak gembira, yang kalah jangan berduka. Demokrasi dalam pilihan raya memang demikian, walaupun keputusannya kadang kala dianggap orang sedikit kejam.
Selepas ini Semenyih akan kembali sunyi dan aman daripada hingar-bingar. Rutin kehidupan akan kembali kepada asal. Pengundinya akan bertebaran di setiap inci muka bumi untuk mencari rezeki.
Barangkali apa yang tinggal hanya poster janji dan manifesto parti yang bertanding. Parti yang berjanji jangan buat-buat lupa. Pengundi ada hak untuk berharap agar setiap janji yang ditaburkan sepanjang kempen tidak tinggal sebagai janji semata-mata.
Namun ada peringatan penting lain yang mesti diketahui pengundi di Semenyih dan rakyat di seluruh Selangor. Wakil rakyat di kawasan kita bukan bos. Bos sebenarnya adalah kita!
Bermula hari ini, sebagai bos rajin-rajinlah berkunjung ke pejabat wakil rakyat kita. Mari kita lihat apa yang wakil rakyat kita buat dan apa pula kita sebagai bos mesti buat.
Untuk mereka yang tinggal di Selangor, suka diingatkan bahawa di pejabat setiap wakil rakyat tersimpan banyak hak kita yang masih belum dituntut.
Lupakan sekejap janji-janji besar yang diberikan sebelum ini. Janji memang janji, tapi kita tunggu dan tengok dulu. Untuk sedapkan hati, beritahu diri sendiri bahawa Rom tidak dibina dalam masa sehari.
Buat sementara, kita lupakan fasal PTPTN dan impian untuk melihat harga bahan bakar turun separas RM1.50 seliter. Kita lupakan juga cerita kereta terbang atau pemansuhan tol di empat jajaran lebuh raya di Lembah Klang.
Itu semua janji-janji besar yang belum tentu bila agaknya dapat dijadikan realiti. Kalau dapat ditunaikan dalam tempoh singkat, alhamdulillah. Tentu ia akan menyebabkan hilang klimaks kita untuk marah.
Ingat kembali janji kecil
Macam kata orang dulu-dulu, sementara menanti kenduri makan besar, mari kita basahkan tekak kita dengan kudapan.
Kunjungi pejabat wakil rakyat kita dan tuntutlah hak kita yang telah diberikan oleh kerajaan Selangor. Banyak program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah disediakan untuk kita tetapi malangnya masih ramai tidak mengetahuinya. Ayuh, serbu pejabat wakil rakyat di setiap kawasan - tapi serbulah dengan cara beradab.
Kalau ada di kalangan kita baru menyambut kelahiran bayi, tanyakan mengenai Skim TAWAS. Skim ini menyediakan RM1,500 untuk setiap kelahiran anak Selangor. Ini hak kita dan anak kita yang baru dilahirkan. Kerajaan negeri menjamin hak itu. Di pejabat wakil rakyat ada pegawai yang akan memaklumkan kita mengenainya.
Begitu juga dengan skim TUNAS yang menyediakan RM50 kepada anak kita yang menerima pendidikan prasekolah. Jangan malu dan usah khuatir. Ini hak kita. Tanya dan tuntutlah hak itu.
Ada lagi - skim SIKEMBAR. Ini bantuan RM100 untuk anak kita yang dihantar ke tadika. Begitu juga skim bantuan kemasukan pelajar ke universiti bernilai RM1,000.
Jangan buat-buat lupa. Pegawai di pejabat wakil rakyat kita yang bijaksana akan memberi pencerahan mengenainya. Jangan khuatir, sebagai pengundi kita adalah bos. Saya ulangi, wakil rakyat mesti bekerja untuk kita.
Wakil rakyat semestinya membantu kita menuntut hak itu.
Ada lagi - Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang bernilai RM2,500. Ini hak kita yang akan diberikan kerajaan Selangor bagi membantu menguruskan perbelanjaan pengkebumian. Ingatlah, bukan sahaja kelahiran mendapat bantuan, kematian juga menerima bayaran bagi yang tinggal di Selangor.
Selain itu skim pinjaman mikro kredit HIJRAH yang disediakan sehingga RM50,000 tanpa faedah.
Begitu juga bagi pasangan yang baru berkahwin. Pergi sahaja tanyakan di pejabat wakil rakyat. Ada insentif perkahwinan bernilai RM500 menanti.
Ada 26 IPR disediakan untuk kita sebenarnya. Ini termasuk mamogram percuma untuk wanita, tuisyen SPM percuma, Skim Peduli Sihat bernilai RM500 untuk keluarga dan RM200 untuk individu.
Jangan sampai tak nampak
Begitu juga Skim Rumah Selangorku, Skim Bantuan Kesihatan Selangor bernilai RM5,000 - percuma untuk dialisis, pembedahan kecil/katarak mata dan kaki palsu, program Dana Usahawan Mikro dan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin bertujuan membina rumah baru bagi menggantikan kediaman usang dan daif.
Kepada bakal haji, kita akan diberikan insentif bernilai RM500 seorang. Saya bukan mahu menjadi batu api. Tapi hakikatnya, itu hak kita.
Jangan sampai ada yang tertinggal. Pengundi di Semenyih yang mungkin sedang membara semangat untuk mengundi pun ada hak. Tuntutlah hak itu. Sekarang kita adalah bos. Wakil rakyat bekerja untuk kita.
Jangan sampai kita tidak nampak apa yang telah diberikan sebaliknya terus berharap dan terkinja-kinja menjulang tangan ke langit menunggu buah yang masih belum gugur.
Kata orang sementara menanti janji-janji besar ditunaikan, ambil dulu janji-janji kecil yang telah disediakan. Kunjungilah pejabat wakil rakyat kita. Kita datang sebagai bos menuntut hak kita yang tersenarai dalam program IPR itu.
Kepada pengundi di Semenyih, sekali lagi diucapkan selamat menjalankan tanggungjawab. Dalam erti kata lain, anda tanggung dan anda jawab. Pilihan di tangan anda - di kanan madu, di kiri racun. Di depan adalah masa depan kita.
A HAMID KARIM ialah bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan