HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Mac 2019

Tutup kilang gagal patuhi peraturan alam sekitar - Sultan Ibrahim

MALAYSIAKINI

   

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya kerajaan negeri segera melaksanakan tindakan kawalan serta penguatkuasaan yang bersepadu terhadap semua kilang yang menggunakan bahan kimia beracun.

Ini bagi memastikan kejadian seperti pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu tidak berulang.

Titah baginda, mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar hendaklah diarah tutup serta merta.

“Dan untuk jangka masa panjang, saya mahu kerajaan mengkaji semula jenis-jenis industri yang terdapat di Pasir Gudang dengan menutup atau memindahkan industri gas dan bahan kimia mudah meletup serta membahayakan penduduk sekitarnya.

“Ambillah pengajaran daripada peristiwa letupan kilang gas di Bhopal, India pada tahun 1984 yang telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan lebih 500,000 orang sakit akibat terhidu gas kimia yang beracun,” titah baginda pada Istiadat Hari Keputeraan Rasmi baginda di Dewan Singgahsana Istana Besar, di Johor Bahru, hari ini.

Titah baginda itu turut dikongsikan oleh Royal Press Office (RPO) dalam laman Facebook dan Instagram rasmi baginda.

Sultan Ibrahim bertitah melihat kepada insiden Sungai Kim Kim itu yang turut menjejaskan ramai penduduk, baginda merasakan terdapat keperluan mendesak untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan berdekatan.

“Saya dengar perkara ini telah pun ada dalam perancangan kerajaan. Oleh itu, saya harap pembinaannya akan dapat segera dilaksanakan.

“Saya percaya bahawa negeri Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan kerajaan persekutuan. Oleh itu, adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada negeri Johor, terutamanya untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuhraya,” titah baginda.- Bernama


Tiada ulasan: