HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Februari 2022

Laungan retorik, manifesto bukan penentu kemenangan – Anwar

MALAYSIA POST

PRN Johor: Laungan retorik, manifesto bukan penentu kemenangan – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jentera parti itu diperkukuhkan serta berperanan dengan berkesan bagi menarik sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Anwar mengingatkan walaupun parti itu mempunyai idealisme dan perjuangan lebih baik, namun ia boleh dikalahkan oleh parti yang mempunyai sejarah ‘rompakan’ jika jentera tidak berperanan dengan berkesan.

“Kita boleh ada idealisme perjuangan menegakkan hak dan jalur yang baik, tapi jika strategi jentera lemah dan malap, kita mampu dikalahkan oleh kelompok yang tak punyai idealisme dan ada sejarah rompakan serta penindasan kepada rakyat bawahan.

“Tetapi kalau ada strategi yang sangat berkesan, dia (parti lawan) mampu mengalahkan (parti) yang lebih baik (PKR),” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra di ibu pejabat PKR negeri di Johor Bahru malam tadi.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut mengingatkan bahawa kemenangan pada PRN Johor bukan ditentukan oleh laungan retorik serta manifesto, sebaliknya gerak kerja dan muafakat sesama jentera parti.

“Jadi saya rasa itu peringatan yang sangat penting kepada kita… bukan laungan, retorik dan jeritan yang akan menangkan kita, bukan manifesto malah bukan sejarah lampau, tapi gerak kerja dan muafakat dalam kalangan kita,” katanya.

Dalam PRN Johor ini, PKR akan bertanding menggunakan logo sendiri manakala sekutunya DAP dan Amanah bakal menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

DISYORKAN UNTUK ANDA:

    BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT    

Wan Saiful ulangi cabaran, mahu 3 pemimpin Umno Johor namakan Zahid calon PM

MALAYSIA POST

Wan Saiful ulangi cabaran, mahu 3 pemimpin Umno Johor namakan Zahid calon PM

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi mencabar tiga pemimpin Umno Johor untuk menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

Selepas kali pertama cabaran dibuat di Sembrong, Wan Saiful sekali lagi meminta Datuk Mohd Puad Zarkashi, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menamakan Presiden Umno sebagai calon Perdana Menteri.

“Dua hari lalu, saya mencabar tiga pemimpin Umno Johor untuk menamakan presiden mereka sebagai calon PM. Langsung diam dan senyap.

“Malam tadi di Benut, saya cabar mereka sekali lagi. Ini cabaran kedua untuk mereka. Takut ke?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dua hari lalu, Wan Saiful dilaporkan berkata sekiranya mereka tidak berani menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri, jangan pula menyerang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ada orang Johor cabar Muhyiddin jadi ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ini saya cabar balik Puad Zarkashi, Nur Jazlan Dan Khaled Nordin, kalau kamu berani cuba sebut siapa kamu nak namakan sebagai calon Perdana Menteri dari Umno selepas PRU15.

“Saya cabar namakan Zahid jadi calon PM Umno. Kalau pengecut sebut Zahid, jangan sebut Presiden Bersatu,” katanya.

Sebelum itu Puad mengulangi cabaran supaya Muhyiddin dijadikan ‘poster boy’ PN di PRN Johor seperti dilakukan parti itu di Melaka. – Malaysiapost

Syed Saddiq kata Adun PKR tak buat kerja?

MALAYSIA POST

Syed Saddiq kata Adun PKR tak buat kerja?

KETIKA Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijangka bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini soalah-olah ‘menyerang’ seorang wakil rakyat PKR di negeri itu.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Presiden Muda itu bagaikan membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ulu Tiram dari PKR, S Gopalakrishnan.

“Komuniti India di Ulu Tiram mengadu, pimpinan di sini tak ambil endah kebajikan rakyat. Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.

Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab.

“Rakyat di Ulu Tiram dah muak. Nak perubahan, nak pimpinan yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sehubungan itu Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, MUDA akan membawa perubahan di Ulu Tiram.

“Kami nak bawa pimpinan yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi. – Malaysiapost

Puad: Muhyiddin nak jadi poster boy di Johor, tetapi malu kalah lagi

MALAYSIA POST

Puad: Muhyiddin nak jadi poster boy di Johor, tetapi malu kalah lagi

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa tidak timbul Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menjadi ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Negeri Johor kerana parti itu sudah memilih Datuk Hasni Mohammad.

Puad berkata beliau hairan mengapa Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabarnya menamakan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebagai ‘poster boy’.

“Yang beriya-iya mahu jadi poster boy ialah Presiden Bersatu (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin). Di Sabah dia poster boy. Di Melaka dia juga poster boy. Maka kenapa di Johor dia bukan poster boy? Itu sebab saya cabar.

“Pendirian UMNO cukup jelas, di Melaka Dato’ Sulaiman poster boy. Di Johor, Dato Hasni poster boy,” tulisnya di Facebook hari ini.

Menurutnya, Wan Saiful sering memuji dan ‘melangitkan’ Muhyiddin sebagai perdana menteri terbaik dan Muhyiddin pula mendakwa dirinya perdana menteri paling popular.

“Maka jadilah poster boy kali ke 3. Sebenarnya Muhyiddin malu nak jadi poster boy di negeri kelahirannya. Malu terkubur di negeri sendiri.

“Sebab itu tidak berani pertahankan DUN Gambir. Tunggu penjelasan Ketua Penerangan (Bersatu),” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful sekali lagi mencabar tiga pemimpin Umno Johor untuk menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri.

Selepas kali pertama cabaran dibuat di Sembrong, Wan Saiful sekali lagi meminta Datuk Mohd Puad Zarkashi, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menamakan Presiden Umno sebagai calon Perdana Menteri.

Adik MB Selangor lawan MB Johor di DUN Benut?

MALAYSIA POT

Adik MB Selangor lawan MB Johor di DUN Benut?

ADIK Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dikatakan sudah mendapat ‘restu’ pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Aziz Shari, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian bakal mencabar Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga penyandang DUN Benut dan dijangka mempertahankan kerusinya itu.

Aziz dalam hantarannya di Facebook seolah-olah mengesahkan dirinya sudah dipilih oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakili di kerusi berkenaan.

“Terima kasih Anwar Ibrahim dan Pengerusi MPN (PKR Johor), Syed Ibrahim Syed Noh,” tulis Aziz di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut memuat naik gambarnya bersama Anwar dan Syed Ibrahim.

DUN Benut adalah antara dua kerusi DUN yang terletak di dalam Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO adalah penyandang kerusi DUN Benut selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan calon BERSATU, Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS) dengan majoriti 4,447 undi.

Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan berpengalaman berkhidmat di Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) – Malaysiapost

Siapa calon MB dari PH belum dibincang – Anwar

Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran jentera AMK sempena PRN Johor di Johor Bahru hari ini./ Gambar FB Anwar Ibrahim

PAKATAN Harapan (PH) belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon Menteri Besar, sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH yang juga Presiden PKR itu berkata apa yang lebih penting pada masa ini adalah untuk membincangkan soal memastikan kemenangan PH pada pilihan raya itu.

“Soal calon (untuk bertanding) pun belum putus…calon-calon setakat ini orang Johor dan yang ada keluarga di Johor, saya pun ada keluarga di Johor…tapi saya tidak (bertanding),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) PRN Johor hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin mengenai kemungkinan PH akan meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, yang juga bekas Menteri Pendidikan sebagai calon Menteri Besar Johor.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Anwar berkata rundingan kerjasama itu kini dibuat di peringkat kepimpinan negeri dan setakat ini MUDA belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Semalam, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata perbincangan dan rundingan antara MUDA dengan PH berhubung kerjasama dalam PRN Johor, disifatkan berjalan lancar.

Sementara itu pada majlis berasingan, Anwar berkata rakyat seharusnya menolak wakil rakyat yang melompat parti dan menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat parti.

“Masa berkempen orang bekerja (jentera) setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat… jangan maafkan orang begini.

“Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip, ini maruah dan integriti serta nilai etika (yang) kita tidak boleh ketepikan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, di sini hari ini.— BERNAMA

“Saya kini guna Myvi, pulangkan Vellfire selepas berhenti jadi menteri” – Maszlee

AHLI Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima sebuah kereta Toyota Vellfire berkata, kereta tersebut telah dipulangkannya sebaik sahaja berhenti menjadi menteri.

Katanya, beliau telah menyerahkan kembali kenderaan Toyota Vellfire yang sebelum ini dikatakan diterimanya dari sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) semasa menjadi menteri.

“Saya telah serahkan kereta yang mereka sebutkan itu pada hari saya berhenti,” katanya dalam Facebook miliknya.

“Kenderaan itu milik EMGS, yang merupakan agensi KPM, atau sekarang di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya hanya gunakan kenderaan itu sewaktu saya masih seorang menteri. Kereta itu dipulangkan dan terus digunakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif EMGS.”

Kata Maszlee, beliau kini menggunakan sebuah Perodua Myvi sebagai kenderaan rasminya.

Beberapa media memetik sumber sebelum ini melaporkan, Maszlee didakwa menerima Vellfire tersebut serta sejumlah wang dari sebuah syarikat semasa beliau menjadi menteri.

SPRM memaklumkan dua aduan telah diterimanya berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan membabitkan Maszlee dan siasatan sedang dijalankan.

BN ada strategi tersendiri, tunggu masa sesuai umum calon – Shahril Sufian

Shahril Sufian (dua dari kiri) meluangkan masa berdialog dengan golongan mahasiswa Johor di Johor Bahru, hari ini.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan terikut-ikut dan tergesa untuk mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, parti terbesar orang Melayu itu menunggu masa yang sesuai serta mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum berbuat demikian.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Johor mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengumumkan senarai calon dan masa terbaik untuk berbuat demikian. 

“Dalam konteks penamaan calon ini, kita tidak terlalu terkesan terhadap apa yang pihak lain buat. Saya yakin apa Presiden UMNO dan Timbalannya serta Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Hasni Mohammad ada pendekatan dan strategi mereka.

“Soal kita nak namakan calon ini biarlah kepimpinan parti putuskan siapa dan ‘timing’ kerana UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain,” katanya selepas mengadakan Sesi Dialog Santai Bersama Mahasiswa Johor di Johor Bahru hari ini. 

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Rabu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, parti sedang meneliti calon yang akan diketengahkan pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Beliau sudah meminta Hasni untuk berunding dengan semua Ketua UMNO Bahagian kerana perlembagaan UMNO menentukan bahawa senarai calon mestilah selepas berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian.

Mengenai pertemuan dengan golongan mahasiswa Johor, Shahril Sufian memberitahu, banyak percambahan idea dan pertukaran maklumat mengenai PRN serta kehendak golongan muda yang diharap diterjemahkan oleh parti.

“Ini adalah usaha berterusan parti yang sentiasa mendampingi orang muda serta mendengar suara mahasiswa untuk pastikan perjuangan, hujah dan penyampaian serta pengisian kita adalah serasi dan relevan.

“Tidak boleh nafikan dalam konteks PRN Johor, keperluan jadi lebih mendesak dan penting supaya kita benar-benar memahami aspirasi Undi18. Ini antara usaha awal dalam tempoh PRN ini untuk kita perhalusi konteks Undi18 ini,” katanya.

Sabtu, 5 Februari 2022

BN jangan terlalu yakin menang

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun menang besar dalam PRN Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PRN Johor bukan pilihan raya yang biasa, namun amat istimewa untuk menjulang semula nama BN, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ramai musuh politik BN yang berdepan dengan kekalahan sebelum ini, sudah tentu akan menjadikan Johor sebagai gelanggang untuk mereka menebus malu.

"Saya lihat berpusu-pusu jentera kita dengan penuh semangat datang malam ini. Dalam hal ini, kita pula jangan terlampau yakin walaupun kita menang banyak PRK (pilihan raya kecil), PRN Melaka dan rakan kita di Sarawak.

"Jangan pandang ringan strategi dan langkah yang akan dilakukan oleh mereka. Tetapi, saya yakin jentera BN amat tersusun dengan komitmen tinggi, semangat perkasa. Maka, tiada sebab BN tak boleh menang dan jadi kerajaan semula di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan Hasni akan dilantik semula sebagai Menteri Besar, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri nanti.

"Saya juga ingin pesan, tidak penting calon dari parti mana kerana apa yang penting mereka mewakili BN yang kesemua parti wajib menyokong. Tak kira dari mana.

"Selain itu, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbeza pendapat dan berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan tidak kira ia bersifat peribadi atau rasmi, demi menjaga hati rakan-rakan dalam komponen," katanya.

Siapa Wan Saiful mahu ulas kemelut dalam UMNO? – Shahril

MGF04022022_SHAHRIL-HAMDAN-BERSAMA-MEDIA20211216_0010
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan bercakap pada media ketika hadir pada minum petang dan beramah mesra bersama media di Banefee Village, Johor Bharu. Foto AMIRUL SHAUFIQ

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak layak mengulas kemelut dalaman UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal.

“Dia (Wan Saiful) tidak duduk dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dia juga tidak menghadiri mesyuarat kita, bagaimana dia boleh cakap begitu?

“Orang begini, saya rasa lebih baik dia cerita mengenai Bersatu sahaja, hal dalam UMNO dia tidak tahu. Lebih baik jaga tepi kain sendiri,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Penerangan UMNO Bersama Media di Restoran Banafee di sini hari ini.

Sebelum ini, Wan Saiful dalam satu kenyataannya mendakwa UMNO kini dalam kucar kacir kerana mempunyai kemelut dalaman.

Selain itu, Wan Saiful juga menyifatkan ahli UMNO tidak yakin untuk membawa nama presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

Mengulas mengenai persiapan Penerangan UMNO menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor, Shahril berkata, mereka akan melihat garis panduan berkempen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu.

“Macam di Melaka kita sudah pelajari sesuatu dan untuk PRN kali ini situasinya ada sedikit berbeza. Sudah tentu kita akan fokuskan kepada penerangan mengenai isu-isu semasa dan bagaimana untuk memenangi semula pengundi atas pagar.

“Kita juga akan tunggu prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kita tidak boleh ketepikan mereka dan mendahului KKM dan walaupun seperti di Malaka agak ketat, Melaka tetap peroleh kemenangan, cuma kalau boleh memang kita mahu ada kelonggaran (berkempen) untuk kali ini,” katanya.-MalaysiaGazette

Pas tak boleh paksa UMNO ubah pendirian – Shahril

MGF04022022_SHAHRIL-HAMDAN-BERSAMA-MEDIA20211216_0006
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hadir pada minum petang dan beramah mesra bersama media di Banefee Village, Johor Bharu. Foto AMIRUL SHAUFIQ

JOHOR BAHRU – Pas tidak boleh memaksa UMNO supaya mengubah pendirian untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, partinya berpegang teguh dengan prinsip yang ditetapkan dan menekankan perkara itu mustahil boleh berlaku.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Khairul Nizam berkata, partinya mempunyai cara untuk memujuk UMNO dalam melaksanakan hasrat berkenaan.

“Kalau dia ada strategi taktikal, kita tunggulah cumanya saya dan pemimpin UMNO lain sudah lama tegur kita tidak menutupi rundingan cuma Pas kalau boleh tidak boleh asyik memaksa UMNO untuk mengubah pendirian.

“Dasar kami untuk pimpinan tidak boleh bersama Bersatu dalam pilihan raya.

“Jadi melainkan strategi Pas cukup hebat untuk mengubah pendirian dasar UMNO saya rasa perkara itu tidak boleh berlaku. Saya rasa itu sahaja saya boleh sebut tentang UMNO dan Pas,” katanya semasa Program Santai Penerangan UMNO Bersama Media di Restoran Banafee di sini hari ini.

Terdahulu, menurut Khairil Nizam berkata, Pas tidak akan berputus asa untuk mengikat kerjasama parti itu dengan UMNO dan Bersatu walaupun di luar kerangka Muafakat Nasional (MN).

Sebelum itu, hubungan Pas dan UMNO agak terjejas ekoran dakwaan Pas bahawa UMNO mungkir janji untuk menerima Bersatu dalam MN.- MalaysiaGazette

Rundingan MUDA dengan PH lancar namun belum tentukan kerusi – Syed Saddiq

MUDA Melaka state election wasted opportunity #KerajaanGagalLagi #KerajaanGagal2.0 #KabinetGagal2.0 UMNO Ismail Sabri Yaakob new cabinet Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

JOHOR BAHRU – Perbincangan dan rundingan antara parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan berjalan lancar, kata Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata bagaimanapun, bentuk kerjasama itu belum diperincikan lagi termasuk pembahagian kerusi juga belum dimuktamadkan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak apabila tiba masa yang tepat.

“Berjaya atau gagal (rundingan), media akan dimaklumkan tetapi komitmen saya dan fokus MUDA bukan sekadar politik percaturan kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Jelajah Mendengar di sini hari ini.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata MUDA kini rancak mengadakan Kempen Jelajah Mendengar bersempena PRN yang menyasarkan kira-kira satu juta rakyat Johor dalam tempoh dua minggu bermula semalam.

Beliau berkata menerusi kempen berkenaan, parti itu mahu mendekati rakyat Johor secara dalam talian atau bersemuka untuk mendengar pandangan dan masalah yang dihadapi masyarakat termasuk isu alam sekitar, pekerjaan, rumah dan sebagainya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengundian bagi rakyat Johor di Singapura dan juga pelajar terutama di Sabah dan Sarawak, Syed Saddiq berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharapkan dapat menjadi pemudah cara bagi memastikan rakyat Johor dapat balik mengundi pada PRN nanti.- BERNAMA

Sheikh Umar jadi calon PH pertahan DUN Paloh

Bernama
Sheikh Umar Bagharib Ali

KLUANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali daripada DAP dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pengumuman tersebut dilakukan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di pejabat Harapan DUN Paloh, sekali gus menjadi calon pertama yang diumumkan untuk PRN Johor.

Lim berkata keputusan untuk mengekalkan penyandang kerusi DUN berkenaan dibuat berdasarkan integriti dan kredibiliti Sheikh Umar yang tidak diragui serta mewakili pelbagai golongan.

“Untuk Sheikh Umar, ia berdasarkan rekod selama ini dan yang penting adalah, apakah bentuk kerajaan yang kita (mahukan)…pentingnya kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang dipandukan oleh rakyat bukan oleh kepentingan pihak tertentu.

“Saya rasa dengan adanya Undi18 itu faktor penentu yang kita tak boleh cam apakah bentuk kecenderungan mereka tapi saya yakin mereka mahukan satu kerajaan yang boleh memberikan masa depan yang cerah kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman tersebut.

Lim berkata reputasi Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor itu ketika menjadi Exco kerajaan negeri memegang portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi, Ekonomi, Penerangan Belia dan Sukan Johor itu turut menjadi antara kekuatan selain disenangi pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sheikh Umar, 36, graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya itu menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN) Teoh Yap Kun dengan meraih majoriti 783 undi pada penampilan pertama beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. – BERNAMA

BN akan rampas kerusi DUN Paloh – Hasni

Ernalisa Othman
Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor Bharu. Foto AMIRUL SHAUFIQ

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yakin kerusi milik DAP itu akan tumbang tidak lama lagi.

“Kita akan pastikan calon itu (Sheikh Umar Bagharib Ali) akan mendengar paluan gendang terakhir buat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat di sini malam tadi.

Pelancaran dilakukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“Apa yang diumumkan itu paluan gendang pertama dan menyifatkan akan mendengar gendang paluan terakhir buat DAP bila saya diminta menyelaras kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, PRN Johor dilakukan bukan kerana apa yang berlaku di PRN Melaka mahu pun di PRN Sarawak sebaliknya demi mahu menjadikan Johor lebih baik daripada apa yang ada ketika ini.

Menurutnya, BN perlu membentuk kerajaan yang lebih stabil dan bukan berterusan mengharapkan ihsan pembangkang.

Beliau dalam ucapannya juga turut mengingatkan dirinya dan ahli-ahli parti lain agar tidak bongkak dengan apa yang dimiliki hari ini.

“Johor bukan negeri biasa-biasa. Johor bukan negeri yang perlu dirujuk kepada pembangkang sekiranya mahu melakukan sesuatu,” katanya.- MalaysiaGazette

Jumaat, 4 Februari 2022

DAP kekalkan Sheikh Umar pertahan DUN Paloh

Sheikh Umar Bagharib Ali (depan tiga dari kanan) bersama Lim Guan Eng (depan tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya dan Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) N 30 DUN Paloh di Kluang, Johor, hari ini. - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Sheikh Umar Bagharib Ali (depan tiga dari kanan) bersama Lim Guan Eng (depan tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya dan Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) N 30 DUN Paloh di Kluang, Johor, hari ini. - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT

KLUANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali kekal menjadi taruhan DAP bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya dan Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) N 30 DUN Paloh, hari ini.

Guan Eng berkata, pemilihan semula Naib Pengerusi DAP Johor yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri itu bukan sahaja kerana beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, tetapi juga berdasarkan prestasi sebagai EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH sebelum ini.

Katanya, DAP akan mengunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor nanti dengan manifesto bersama butirannya akan diumumkan selepas proses penamaan calon.

"Sebagai calon mewakili PH, Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor, di mana kita umumkan niat berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan yang lebih baik," katanya.

Pada PRU-14, Sheikh Umar menang dengan majoriti 783 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Teoh Yap Kun dan calon Bebas, M Shamugam.

PRN Johor: ARMADA harap PN tampil 30 peratus calon muda

Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (duduk tengah) pada sidang media di Pagoh, Muar, Johor, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (duduk tengah) pada sidang media di Pagoh, Muar, Johor, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

PAGOH: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mencadangkan 30 peratus calon Perikatan Nasional (PN) yang akan dinamakan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, ditampilkan dari kalangan orang muda yang berkaliber dan dekat dengan hati pengundi.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata jumlah 30 peratus berkenaan meliputi 17 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat boleh memberi impak bagi menarik undi golongan muda di negeri berkenaan.

"Bagi ARMADA sahaja, kita cadang lima kerusi, bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan PN. ARMADA sebahagian daripada komponen Pemuda PN, maka calon anak muda tidak semestinya daripada ARMADA sahaja, mungkin Pemuda PAS, GERAKAN dan sayap-sayap bersekutu," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat ARMADA Pusat bersama ARMADA bahagian, di sini hari ini, beliau berkata, calon-calon yang akan diketengahkan ARMADA terdiri daripada pemimpin belia yang berpengalaman luas dalam menyantuni penduduk dan telah berbakti di kawasan mereka.

"Di peringkat ARMADA Pusat, kami sudah menerima cadangan-cadangan daripada ARMADA bahagian di seluruh Johor untuk dipertimbangkan Biro Politik BERSATU. Selain itu, terdapat tiga isu utama yang menjadi perhatian ARMADA yang dilihat menjadi tumpuan golongan muda, iaitu pekerjaan yang bermaruah, pendidikan dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Ditanya kemungkinan ARMADA sukar untuk mendekati anak muda jika prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka digunakan di Johor, beliau mengakui perkara itu dan menyifatkan SOP konservatif seperti tidak boleh memakai baju parti dan sebagainya menyukarkan anak muda mengenali PN.

"Ia menyukarkan kita untuk menyantuni orang muda, mereka yang pertama kali mengundi dan mungkin belum begitu kenal dengan PN," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata, ARMADA berharap agar saluran rasmi turut membenarkan pemimpin muda, tidak kira parti untuk berdebat mengenai isu semasa, khususnya melibatkan orang muda, manakala pemimpin senior yang enggan berdebat disyorkan memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk berkongsi pentas.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang pemimpin muda membicarakan masalah rakyat Johor, masa depan anak muda dalam demokrasi Malaysia, masalah integriti dan sebagainya. Sudah tiba masanya demokrasi di Malaysia ini diberi ruang yang luas untuk kita berkongsi pandangan secara sihat dan itulah semangat demokrasi sebenarnya," katanya.

Integriti, kredibiliti tidak diragui kriteria calon PN – Wan Saiful

Perang Facebook Muhyiddin – Najib

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PERANG Facebook antara dua bekas Perdana Menteri berterusan seiring dengan bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab tuduhan pengkhianatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika PRN Sabah termasuk isu calon Ketua Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula memberi respons balas.

Tidak sampai 24 jam kemudian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu terus mempertahankan hantarannya semalam berhubung isu menamakan calon Ketua Menteri yang baginya jelas disebut bayangan.

“Semasa saya hadir mengumumkan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sulaman, saya beri bayangan “manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah”.

“Saya ulang, saya beri bayangan kalau rakan-rakan lain bersetuju.

“Saya cakap secara berhemah. Kalau Datuk Seri Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Tambah Muhyiddin, apabila beliau maklumkan UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen, itu adalag fakta.

“Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya.

“Bila saya kata UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta.

“Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak dinamakan calon,” jelasnya.

Najib dalam respons balasnya berhubung kenyataan Muhyiddin malam tadi membangkitkan Hajiji dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sebelum kempen PRN Sabah tamat.

“Awal-awal lagi dia (Muhyiddin) sudah rancang – bukan sehingga tempoh kempen tamat seperti dalam kenyataan dia tadi,” dakwa Najib.

Bekas Presiden UMNO itu juga dalam hantaran terbarunya petang ini terus membangkitkan isu masa yang dipilih bagi menamakan calon Ketua Menteri Sabah.

PRN Johor: Annuar Musa ingatkan pihak tertentu kenang jasa, jangan takbur

Firdaus Azil
PRN Johor: Annuar Musa ingatkan pihak tertentu kenang jasa, jangan takbur
ANNUAR: Janganlah kita mudah membaling dan membuang tongkat dgn mencampak tongkat melalui tingkap, atau membakar tongkat kita.
 
JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa memberi peringatan untuk pihak tertentu agar mengenang ‘jasa’ orang yang membantu di kala mengalami kesusahan.
 
Menerusi catatan di Facebooknya, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pihak yang berkenaan harus berhenti mengamalkan sikap sombong, riak, dan takbur.
 
Biarpun tidak menamakan mana-mana pihak, perkongsian itu dipercayai berhubung kait dengan hubungan yang semakin dingin antara UMNO dan Pas, biarpun kedua-dua parti itu meraih keuntungan politik sewaktu mereka bersama-sama dalam Muafakat Nasional.
 
“Sewaktu kita jatuh dan tercedera, ada orang membantu kita, memberi tongkat di kiri, ada yang memberi tongkat di kanan. Perlahan-lahan kita beransur pulih, dan mungkin semakin kuat sehingga berasa yakin dan teringin berjalan tanpa tongkat.
 
“Namun janganlah kita mudah membaling dan membuang tongkat dgn mencampak tongkat melalui tingkap, atau membakar tongkat kita.
 
“Tiada siapa yang tahu. Suatu hari kita mungkin teraba-raba mencari tongkat lagi. Elak kesombongan, elak riak dan elak takabbur,” katanya lagi.
 
Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan, kedua-dua pimpinan kanan UMNO dan Pas saling berbalas kenyataan, sehingga menggambarkan kerjasama Muafakat Nasional bakal berakhir begitu saja.
 
Pada 2 Februari, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti pimpinannya itu tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan ‘politik sempit’ UMNO.
 
Menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebooknya pada Rabu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu yang hanya melibatkan dua parti sahaja dan meminggirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
 
Awal hari ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membalas kenyataan itu, dan bertegas bahawa UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan terus mara ke hadapan
 
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada faedah untuk terus melayan Pas, kerana parti itu secara berterusan melemparkan segala ugutan, tohmahan, dan sanggahan terhadap UMNO.
 
Mengulas lanjut, Annuar berkata, ".. bersederhana itu baik, bersahabat itu lebih baik".
 
“Muafakat dan tolong-menolong itu Taawun... dan bijak hidup bersama itu Taayush. Taawun dan Taayush membina kekuatan ummah, dan asas untuk memimpin.

“Bermain sentimen biarlah bersulamkan kebijaksanaan,” katanya lagi