HALAMAN SANTAI
Isnin, 1 Februari 2010
Selcat: Ronnie Ditegur Perbaikai Pengurusan Peruntukan
Pendengaran Awam Selcat yang berakhir hari ini mendedahkan dana awam Adun Pandamaran, Ronnie Liu Tian Khiew didapati habis digunakan dalam tempoh 6 bulan tahun lalu kira-kira RM611,930 atau 99.01 peratus.
Ronnie Liu juga menegaskan hampir keseluruhan perbelanjaan dibuat untuk tujuan sumbangan kepada beberapa persatuan dan badan agama khususnya di Klang.
Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim mendapati 40 permohonan daripada 168 keseluruhannya adalah sumbangan kepada persatuan dan badan keagamaan.
Bagaimanapun Ronnie menjelaskan sehingga kini dia tidak menerima sebarang aduan mengenai peruntukan yang diluluskan tidak diterima oleh pemohon.
"Hanya persatuan yang benar-benar memerlukan bantuan minta daripada saya. Mungkin ada di antara persatuan-persatuan ini meminta kepada lain-lain Adun, tapi ini tidak bermakna saya akan tolak mana-mana permohonan. Saya akan terus memberi sumbangan," katanya kepada pemberita selepas dihadapkan ke Pendengaran Awam Selcat di Bangunan Annex, Shah Alam hari ini.
Beliau menegaskan perkhidmatannya mungkin terjejas sekiranya dia menolak mana-mana permohonan yang layak tanpa alasan yang munasabah.
Dalam pada itu, pengurusan kewangan tidak berhemah yang diamalkan Ronnie turut ditegur Jawatankuasa Selcat hari ini kerana tidak peka baki semasa dana awam kawasannya.
"Setiap ringgit dan sen yang saya janji kepada persatuan, badan agama ataupun individu memang mereka terima. Buktinya sampai hari ini saya tak terima apa-apa aduan yang katakan wang tak sampai.
"Saya memang berhasrat untuk menambahbaikan cara pengagihan peruntukan tetapi saya perlu beritahu media bahawa tekanan kepada saya sebagai Exco di kawasan Klang ini memang agak luar biasa," katanya.
Walaupun Ronnie agak agresif ketika sesi soal jawab namun beliau berpuas hati dengan pertanyaan panel Selcat hari ini dan berharap jawapanya itu dapat membantu mereka menyediakan laporan lengkap keseluruhan perjalanan Selcat ini sejak tahun lalu.
"Pada keseluruhannya saya berpuas hati dan Selcat adalah satu-satunya jawatankuasa yang Exco kita sendiri beri kelulusan. Saya harap Selcat menjalankan tugas dengan ketelusan, kebertanggungjawaban dan cekap. Saya harap Selcat berpuashati dengan jawapan yang saya berikan," katanya.
Ronnie juga sudah mendedahkan dokumen kepenggunaan peruntukan dalam blognya.
Apa ke Jadahnya ! Gadis Remaja Berpeleseran Sehingga 3 pagi
KUALA TERENGGANU – Sungguh mengejutkan! Pada jam 3 pagi, masih ada anak-anak gadis remaja, mundar mandir di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu?
Mereka dapat ditemui di sekitar dataran Shahbandar dan pantai Batu Burok pada malam-malam tertentu, terutama dihujung minggu.
Aksi mereka pula, persis anak-anak jalanan di kota-kota besar, seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu, dan bukan seperti anak-anak sebuah negeri yang digelar Darul Iman.
Adakah ini menandakan bahawa Kuala Terengganu kini semakin ‘maju’ atau sebenarnya ia sedang mundur ke belakang, menjadi sebuah kota jahiliyyah moden?
Di dataran Shahbandar, kehadiran ‘kumpulan peleseran’ itu boleh diperhatikan, tiba secara berpasang-pasangan menaiki kereta atau membonceng motosikal.
Yang berkereta mungkin akan keluar berdua-duaan, menghirup angin malam sambil duduk-duduk dibangku-bangku batu yang disediakan.
Atau, mereka boleh sahaja terus tinggal didalam kereta, meneruskan apa jua ‘adegan’ tanpa takut sebarang teguran atau tindakan serbuan dari Penguatkuasa.
Gelagak bersosial serta ‘bersahaja’ anak-anak muda tersebut amat memalukan dan menjadi ‘semakin hangat’ apabila tiba waktu dinihari.
Ada anak-anak gadis belasan tahun, yang berpakaian umpama orang puteh yang ‘tinggal di Eropah’, dengan ber‘mini’ skirt dan memakai ‘singlet’ sahaja.
Bahkan di Batu Burok, apabila di perhatikan dengan teliti, gerak geri dan tingkah laku mereka membuktikan, mungkin ada aktiviti yang ‘lebih berat’ sedang berlaku.
Tinjauan Buletinonline ke lokasi dapat menyaksikan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah menjadi pemandangan biasa, tanpa batasan.
Ketika warga kota lain dibuai mimpi, sekitar jam melewati 2.30 pagi, beberapa gadis remaja dilihat berkeliaran, samada di taman permainan atau di pantai.
Mereka kelihatan, seolah-olah menunggu-nunggu kedatangan seseorang.
Selang beberapa minit, gadis itu dilihat menuruti kumpulan pemuda tersebut, samada berkereta atau dengan menaiki motosikal
Persoalannya, apakah benar wujud golongan remaja yang ‘tidak berumah’ dan ‘mencari makan’ di Bandaraya KT sebagaimana yang hangat diperbualkan?
Jika tidak, apa ke jadahnya, mereka berpeleseran tanpa arah tujuan, pada dinihari jam 3 pagi !
Zahrain keseorangan dalam menilai Lim Guan Eng
| Ali Hashim |
|
Bahkan, Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim (GAMBAR) menasihatkan bekas Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang itu tidak terperangkap dan terjebak dengan rentak tari Barisan Nasional (BN). Sementara itu, konflik antara Zahrain dengan Lim Guan Eng, diharap dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan kontroversi ini berlarutan. |
Royalti minyak: Ku Li sentiasa konsisten, kata Setiausaha Agung PAS
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sentiasa konsisten dalam isu royalti minyak Petronas, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini.
Ini berdasarkan pengalaman beliau sebagai Exco kerajaan negeri Terengganu yang turut memperjuangkan royalti minyak untuk Terengganu sebelum ini, katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin Umno menghentikan tohmahan kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kerana menyokong pendirian Kelantan mendesak royalti minyak dari kerajaan pusat.
"Saya bertanggungjawab meletak fakta yang tepat (supaya) dan tak timbul Tengku Razaleigh tidak konsistan atau tidak," jelasnya.
"Saya nak nasihat kerajaan (Persekutuan) berhentilah mengkritik Tengku Razaleigh, hormatilah fakta (perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dan Petronas)."
Menurut beliau, Tengku Razaleigh sebenarnya konsistan memperjuangkan hak rakyat sejak PAS mewakili kerajaan Terengganu memfailkan tuntutan minyak ke atas mahkamah di mahkamah pada 2001 lagi.
"Sewaktu kita (PAS) buat tuntutan minyak di Terengganu di mahkamah, Tengku Razaleigh sangup menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri ke atas Pusat dan Petronas," jelasnya.
"Sewaktu itu, tak timbul lagi kes Tengku Razaleigh tidak konsisten atau konsisten seperti yang Umno BN tohmah sekarang."
Jelasnya lagi, kerajaan Persekutuan telah membuat rayuan di mahkamah supaya menghalang Tengku Razaleigh dari menjadi saksi dalam perbicaraan tersebut.
"Macam mana kerajaan (Persekutuan) sanggup menerima saksi seperti Tengku Razaleigh, sedangkan beliau sendiri antara yang menandatangani perjanjian persefahaman antara kerajaan Terengganu dan Petronas."
Tambahnya lagi, Tengku Razaleigh sendiri sanggup duduk sepentas dengan beliau bersama-sama Pakar Perlembagaan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari (UiAM) dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas enam tahun yang lalu.
Jangan ke mahkamah
Beliau turut menasihatkan kerajaan negeri Kelantan supaya tidak memfailkan saman, sebagaimana yang dilakukan oleh PAS sewaktu memerintah kerajaan negeri Terengganu.
"Apabila kita memfailkan saman, kita tidak lagi bebas mempersoal tuntutan hak (royalti minyak) itu dan hanya perlu menunggu perbicaraan seperti yang berlaku di Terengganu," jelasnya.
Ditanya tentang pendirian kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan Pusat bersedia memberikan wang royalti melalui Tengku Razaleigh sendiri, Mustafa menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu konsisten hanya menerima royalti minyak sahaja.
"Kalau wang ehsan, kerajaan persekutuan boleh beri atau tidak, boleh beri sedikit atau yang sepatutnya...saya fikir kerajaan (pimpinan) Tok Guru konsisten menuntut royalti minyak."
"Tengku Razaleigh pernah tawar menjadi saksi dalam kes tuntutan royalti minyak (oleh) Kerajaan Terengganu sebelum ini, saya tak fikir kerajaan Pusat akan membenarkan Tengku Razaleigh menguruskan royalti minyak rakyat Kelantan."
Khamis lalu, Tengku Razaleigh mencadangkan kerajaan Kelantan menilai semula kedudukannya dalam kerajaan Persekutuan kerana rakyat Kelantan dinafikan hak menikmati royalti minyak sejak beberapa tahun lalu.
Disebabkan pidato tersebut, beberapa pemimpin Umno sanggup menuduh Tengku Razaleigh 'tidak konsisten' memperjuangkan kepentingan kepentingan parti Umno.
Musa Hassan Akui Syor Kenaikan Gaji Polis Sedang Diperhalusi
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan perbincangan mengenai cadangan kenaikan gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan dan ke atas sedang dijalankan.
Beliau ketika dihubungi mStar Online di sini berkata, syor berkenaan sedang diperhalusi bersama pegawai-pegawai atasan PDRM dan butiran mengenainya masih terlalu awal untuk dimaklumkan.
"Saya tiada komen lanjut mengenai perkara itu kerana perkara ini sedang dalam peringkat perbincangan bersama pegawai-pegawai saya," katanya.
Laporan muka depan The Star hari ini menyebut, anggota polis yang berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan akan menikmati kenaikan imbuhan dan elaun di bawah skim pembayaran gaji baru.
Cadangan pembayaran gaji dan insentif baru ini bakal dinikmati selepas tiga tahun dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja bagi penambahbaikan pihak berkuasa itu untuk meningkatkan prestasi pasukan polis.
Kenaikan terbesar adalah kepada inspektor baru yang akan menerima gaji permulaan sebanyak RM2,060 berbanding RM1,492 pada sebelumnya disamping kenaikan dalam imbuhan lain seperti elaun rumah, elaun sara hidup dan sebagainya.
Pemegang diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga akan dibenarkan memasuki PDRM dengan pangkat sarjan dan akan menikmati gaji permulaan RM1,500. Gaji pangkat sarjan sebelum ini ialah RM890.
Skim baru itu telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam selepas dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja untuk meningkatkan pengurusan dan operasi pasukan polis.
Dalam pada itu, Musa enggan mengulas lanjut kemungkinan kenaikan itu akan menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai PDRM pada masa depan.
Sebaliknya, beliau memberitahu satu sidang media akan diadakan bagi memaklumkan mengenai perkara itu setelah semuanya selesai.
"Sekarang saya tidak boleh komen, jika benar dakwaan laporan itu, Insya-Allah kita akan buat sidang media untuk menjelaskannya," katanya.
Lawatan Banduan Sempena Tahun Baru Cina
KUALA LUMPUR: Lawatan keluarga ke atas penghuni penjara, pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney sempena perayaan Tahun Baru Cina boleh dibuat pada 16 dan 17 Februari ini.
Lawatan bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tempat tahanan perlindungan Kamunting, Taiping pula ditetapkan pada hari perayaan iaitu 14 dan 15 Februari.
Ketua Unit Urusetia Bahagian Kepenjaraan, PP Abdul Rahman Taib berkata, waktu perjumpaan ditetapkan antara pukul 8.15 pagi dan 4.15 petang untuk memberi peluang kepada keluarga banduan meraikan Tahun Baru Cina bersama penghuni penjara.
"Pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Para pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman semasa bertemu banduan dan juadah boleh dibeli di kantin penjara.
Abdul Rahman juga berkata, keluarga banduan tidak digalakkan memberi wang kepada banduan semasa lawatan memandangkan segala kemudahan asas disediakan oleh Jabatan Penjara.
"Sekiranya pelawat hendak berbuat demikian tetapi atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi daripada penjara sebagai akuan penerimaan," katanya.
Katanya, keutamaan lawatan diberi kepada banduan, tahanan atau juvana dari kaum Cina.
Wakil DAP Gesa Pemimpin PKR Diambil Tindakan Tegas
PULAU PINANG: Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya, yang beliau dakwa cuba memecah-belahkan kerjasama pakatan pembangkang di negeri itu.
Ooi, yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, beliau berharap PKR mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu membabitkan anggotanya yang melakukan serangan peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Saya berharap mereka (PKR) akan membuat penghakiman segera terhadap isu ini supaya seluruh negeri Pulau Pinang boleh meneruskan agenda pembangunan di bawah pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan hari ini bahawa pertelagahan DAP-PKR Pulau Pinang semakin serius selepas seorang lagi Ahli Parlimen PKR, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), menyokong pemimpin parti itu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) dengan melabelkan Lim sebagai pemimpin tidak ada kelas.
Ooi berkata, Tan dan Zahrain berkongsi masalah kekecewaan politik dengan mengeluarkan kenyataan negatif melalui media.
"Ini merupakan kes klasik kekecewaan politik. Apabila mereka tidak dapat apa yang mereka inginkan, mereka mula buat bising," katanya.
Beliau mendakwa Tan kecewa kerana cadangan partinya bagi dirinya menjadi pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan campur tangan beliau dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) bagi mendapatkan lot rumah kedai bagi seorang saudara maranya tidak dipenuhi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy menyambut baik keputusan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk Zahrain ke jawatankuasa disiplin parti.
"Ini merupakan forum yang betul untuk membincangkan isu itu, khususnya semasa mesyuarat Pakatan, dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka bukan idea Pakatan," katanya.
Minggu lepas, Zahrain berkata, Lim merupakan seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis manakala semalam Tan menyatakan sokongan terhadap Zahrain.
Tan lebih lantang lagi dengan menyelar pemimpin PKR di Pulau Pinang yang didakwanya gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat negeri.
Beliau malahan memberi amaran bahawa PKR akan berputih mata jika pemimpin lemah dan terus tunduk kepada telunjuk Lim.
SU PAS: JK tatatertib hanya memandu
Jawatankuasa tatatertib Pakatan Rakyat hanya berfungsi menasihatkan dan memberi panduan kepada parti-parti pembangkang yang bergabung dalamnya, kata setiausaha agung PAS.
mustafa ali"Kita hanya ada jawatankuasa tatatertib yang menasihatkan jawatankuasa disiplin parti komponen sebab dalam Pakatan tidak ada badan rasmi (tersebut)," kata Datuk Mustafa Ali.
"Jawatankuasa tatatertib ni hanya beri pandangan kepada parti yang berkenaan. Matlamatnya hanya untuk beri panduan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Beliau diminta mengulas keperluan diwujudkan sebuah jawatankuasa disiplin bersama PKR-PAS-DAP bagi menangani aduan-aduan disiplin terhadap pemimpin masing-masing.
Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Pakatan akan mengaktifkan jawatankuasa tatatertib bagi menangani perkembangan tidak sihat yang melibatkan parti gabungannya.
Kebelakangan ini berlaku pertikaian terbuka antara pemimpim Pakatan, antaranya melibatkan dua ahli parlimennya Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Khalid Samad (Shah Alam).
Sementara ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim pula mengkritik keras Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis.
Zulkifli dan Zahrain kini dirujuk kepada lembaga disiplin PKR.
Sementara itu, mengulas ketidakpuasan hati seorang exco Pemuda PAS yang mempertikaikan kewajaran setiausaha agung parti menapis aduan terhadap jawatankuasa disiplin, Mustafa berkata, perkara itu merupakan haknya.
"Setiausaha agung berhak menilai aduan berdasarkan merit dan memberitahu kepada pengadu sama ada aduan itu perlu dibawa ke jawatankuasa disiplin atau boleh diselesaikan pada tahap pentadbiran," katanya.
Wang ehsan: Tawaran pada Kelantan masih terbuka
Walaupun kerajaan Kelantan telah menolak tawaran menyertai jawatankuasa pengurusan wang ehsan namun peluang itu masih lagi terbuka buat kerajaan negeri untuk menyertainya demi masa depan rakyat secara keseluruhan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu memikirkan secara serius penolakan itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan yang sememangnya mahukan pembelaan dan pembangunan.
"Tawaran untuk sertai jawatankuasa ini masih terbuka buat kerajaan Kelantan dan jika masih menolak ia akan merugikan rakyat Kelantan.
"Kalau ada wakil kerajaan negeri, wakil itu boleh menentukan keutamaan dalam sektor tertentu untuk membelanjakan wang ihsan yang akan diterima pada Mac ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pertemuan dengan pengetua Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bertegas kerajaan negeri yang diketuainya itu tidak akan menerima pelawaan menyertai jawatankuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pemberian wang ehsan yang bukannya royalti petroleum.
Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerajaan pusat mempelawa kerajaan negeri melalui wakilnya untuk berada dalam jawatankuasa tersebut bagi pengagihan wang ihsan secara telus terhadap rakyat.
Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, pada 26 Jan lalu mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan pada Mac ini namun jumlah itu juga dipertikaikan oleh kerajaan negeri.
Mengulas isu itu lagi Mustapa menjelaskan beliau telah diberi restu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengumumkan jumlah wang ihsan itu baru-baru ini.
"Ini bukan keputusan saya seorang kerana keputusan ini diambil secara bersama oleh kerajaan pusat dan juga Petronas dan isu ini tidak perlu dipolitikkan oleh sesetengah pihak," katanya yang mengulas kenyataan exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa yang mempertikaikan mengapa jumlah itu tidak diumumkan perdana menteri sendiri.
Beliau juga berkata isu wang royalti yang ditimbulkan itu sebenarnya tidak menjejaskan keadaan keselamatan di Kelantan tetapi salah faham dan fitnah mengenai isu tersebut bagaimanapun perlu dihentikan segera.
"Banyak berlaku salah faham dan fitnah termasuk mengaitkan diri saya dan (Senator Datuk Dr ) Awang Adek seolah-olah kami ini pengkhianat kepada rakyat Kelantan," katanya.
Zambry: Saya bukan takut
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.
Beliau berkata Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.
"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM Ipoh hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa menteri besar Perak yang sah pada 9 Feb ini berpihak kepadanya.
Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.
"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.
Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.
"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita. Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.
Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Feb lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.
"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya.