HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2011

MTUC: Jangan syok sendiri anggap PKR sudah kubur, kata MP Kuala Langat


KUALA LUMPUR — Jangan cepat membuat andaian pengaruh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah “berakhir dan berkubur” hanya kerana keputusan pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Khamis lalu, kata Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Wakil rakyat PKR itu juga memberi amaran barisan calon pimpinan beliau dan Syed Shahir Syed Mohamud yang tewas pemilihan presiden akan kembali ke gelanggang persaingan pada 2013.

“Orang yang berpandangan pengaruh PKR sudah hilang hanya kerana tewas dalam pemilihan MTUC adalah mereka golongan yang syok sendiri,” kata beliau yang tewas kali kedua berturut-turut dalam percubaan bersaing jawatan setiausaha agung kali ini.

Pada 2007 beliau tewas dengan perbezaan empat undi dalam saingan satu lawan satu dengan G Rajasekaran.

Rajasekaran yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini sebelum ini mengharapkan MTUC tidak akan diketuai oleh pemegang jawatan yang aktif berpolitik.

Kali ini Abdullah Sani (gambar) tewas di tangan Abdul Halim Mansor yang turut berhadapan dengan cabaran J Solomon.

Ekoran andaian sedemikian, kata Abdullah Sani, beliau mahu melihat prestasi barisan Halim selaku setiausaha agung dan Khalid Atan, presiden baru, yang dilihat membebaskan MTUC daripada pengaruh politik dengan keputusan pemilihan terbaru.

Khalid mengatasi Syed Shahir yang gagal mempertahankan kerusi presiden buat penggal ketiga. Khalid, sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC, memperoleh 255 undi manakala Syed Shahir pula 213 undi. Halim, timbalan setiausaha agung selama 12 tahun, menerima 188 undi, Solomon 117 undi manakala Abdullah Sani 165 undi.

“Dari segi undi, undi saya dan Solomon mengatas jumlah undi yang diterima Halim. “Jadi, Halim dan pasukannya tidak memperoleh undi mutlak untuk mengatakan bahawa MTUC memperoleh pemimpin yang bebas politik sepenuhnya dan beliau ada sokongan besar dalam MTUC,” kata Abdullah Sani.

Lagi pun, kata Abdullah Sani, jawatan timbalan setiausaha agung dan setiausaha kewangan pula dimenangi oleh calon dari pasukan mereka.

“Ada empat calon kami dalam barisan kepimpinan baru, jadi mereka tidak harus menganggap bahawa mereka mendapat keputusan bersih dan sudah menganggap bahawa MTUC sudah menghapuskan pengaruh PKR dalam MTUC,” kata beliau.

Abdullah Sani juga berkata, tidak wajar untuk membuat ukuran pengaruh PKR sudah berakhir dalam arena politik kerana barisan kepimpinan dipilih oleh sekitar 500 perwakilan dengan MTUC diwakili kira-kira 230 kesatuan gabungan yang mewakili 500,000 ahli.

“Saya tewas dengan beza 23 undi daripada 475 orang yang mengundi... apakah ia boleh menggambarkan sokongan sebenar Halim dan pasukan Khalid? Saya rasa tidak.

“Di luar sana, ada enam juta pekerja yang memerlukan bantuan dan kebajikan mereka dilindungi, di mana PKR menerusi Pakatan Rakyat akan terus menunaikan janji yang dibuat, dan kami yakin kaum pekerja akan menyokong kami... begitu juga dengan kaum guru,” kata beliau yang kelihatan merujuk kepada kandungan Buku Jingga dan Program 100 Hari yang diumumkan.

“Saya nak tanya Rajasekaran, siapa yang mendesak kerajaan akan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja di Parlimen? Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan pampasan kematian dan hilang upaya KWSP dikurangkan daripada RM30,000 kepada RM2,500 10 tahun lalu? Ini berlaku ketika era Rajasekaran dan Datuk Zainal Rampak (ketika itu presiden).

“Jadi mengapa sekarang mengatakan hanya kerana kami pemimpin PKR dan Pakatan, kebajikan kaum pekerja akan terjejas?” kata beliau lagi.

“Semua ini tidak masuk akal,” kata wakil rakyat penggal pertama ini. Sehubungan itu Abdullah Sani berkata, beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengerusi BN agar mengadakan pilihan raya umum segera jika merasakan pengaruh PKR dan Pakatan Rakyat sudah berakhir hanya kerana keputusan pemilihan MTUC kali ini.

“Jika BN menganggap pengaruh sudah berakhir dan merasakan ia perkembangan yang memihak mereka, saya mencabar pentadbiran Najib bubar Parlimen sekarang dan adakan pilihan raya segera,” katanya.

Tiada beg plastic percuma di pasar raya P. Pinang mulai hari ini

BERNAMA

BUTTERWORTH – Mulai hari ini, orang ramai perlu membawa beg sendiri ketika membeli belah di Pulau Pinang berikutan pelaksanaan kempen “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” di negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pelaksanaan itu melibatkan semua pasar raya besar, pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak).

“Pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ tiga hari seminggu iaitu setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik,” di sini, hari ini.

Beliau berkata penjaja dan peniaga di pasar dikecualikan daripada peraturan baru tersebut.

Bagaimanapun, katanya orang ramai yang masih mahu menggunakan beg plastic boleh memperolehnya dengan bayaran 20 sen sekeping.

Pulau Pinang memulakan inisiatif “Tanpa Beg Plastik Percuma” sehari seminggu pada 1 Julai 2009 dan kempen itu dilanjutkan kepada tiga hari mulai 1 Jan tahun lepas.

Lim berkata dari 1 Julai 2009 hingga Ogos 2010, sebanyak RM174,280 berjaya dikumpul hasil penjualan beg plastik di pasar raya terlibat.

“Wang tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti Kemiskinan di Pulau Pinang,” katanya.

Lim berkata beliau sedar tindakan tidak membekalkan beg plastik itu akan menyebabkan kerajaan negeri hilang sokongan.

“Kita bersedia hilang sokongan supaya kita boleh pelihara alam sekitar,” katanya.

Khir Toyo: Panel pilih SUK tidak sah



KUALA LUMPUR — Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat campur tangan dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri dengan mengadakan jawatankuasa pemilihan sebagai langkah yang tidak sah.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang menekankan pendirian kerajaan pusat bahawa soal pelantikan ketua pegawai perkhidmatan kerajaan negeri adalah prerogatif Ketua Setiausaha Negara.

“Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah sah apabila Ketua Setiausaha Negara menyatakan persetujuan,” kata Dr Khir (gambar) kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dr Khir juga membidas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana mengadakan proses pemilihan sendiri untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menurutnya ia satu tindakan tidak yang sah.

“Jawatankuasa yang dibentuk oleh Khalid untuk memilih (calon) Setiausaha Kerajaan Negeri adalah tidak sah. Kemungkinan beliau tidak berunding dengan penasihat undang-undang negeri,” kata beliau.

Malah menurut beliau, Khalid sangsi dengan perkhidmatan awam kerana beliau lebih berminat untuk mencapai agenda politiknya.

“Beliau ada begitu banyak agenda politik, disebabkan itu beliau meragui semua orang,” kata Dr Khir.

“Ketika saya jadi MB, saya bekerja dengan empat Setiausaha Kerajaan Negeri dan saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan mereka. Mereka semua kakitangan awam,” kata beliau.

Negeri paling kaya ini kini berhadapan dengan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang diumumkan oleh Putrajaya Isnin lalu.

Pelantikan itu berkuat kuasa hari ini.

Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat tidak menerima pelantikan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak muktamad.

Istana Selangor pula menegaskan pelantikan itu sebagai muktamad dan Khusrin dijadual untuk mengangkat sumpah pada 6 Januari ini.

“Apa yang dikatakan oleh Lau Weng San tidak betul. Selangor tidak (boleh) melantik Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri,” kata Dr Khir.

Baru-baru ini, Lau, ADUN Kampung Tunku berkata pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri mesti dibuat dengan persetujuan Khalid selaku Menteri Besar.

Bagaimanapun Dr Khir berkata, majlis angkat sumpah hanya prosedur pentadbiran semata-mata.

“Sama ada majlis angkat sumpah diadakan di istana atau tidak, bukan isunya. Ia hanya prosedur pentadbiran,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Khalid agar tidak membantah pelantikan itu memandangkan Sultan Selangor sudah memberi perkenaan.

“Tan Sri Khalid harus tahu bahawa beliau akan berhadapan dengan banyak masalah jika perselisihan dengan Tuanku berterusan. Malah beliau juga memerlukan perkenan Tuanku untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri,” kata Dr Khir.

“Saya percaya Tuanku mahukan seseorang yang boleh berkhidmat tanpa mengira hubungan politik,” kata beliau.

Perlantikan Khusrin Ke arah Malayan Union‏

Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam SeMalaysia PAS berpendapat perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru satu lagi pencabulan terhadap hak negeri yang sepatutnya tidak berlaku dalam semangat federalisme.

Sebelumnya hal ehwal air yang sepatutnya hak negeri sudah dicabul, sekarang perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pula, kerajaan pusat campur tangan dengan mengenepikan hak negeri

PAS hendak mengigatkan kerajaan pusat, Negeri Selangor ada tuannya. Ketuanya Tan Seri Khalid Ibrahim, perlantikan SUK bukan seperti perlantikan Jawatankuasa Kampung Persekutuan (JKKP) hanya dengan tunjuk sahaja,

Bukankah kita diajar hendak masuk rumah orang ada adabnya. Kerajaan Selangor dibentuk dengan mandat rakyat yang sah melalui proses pilihanraya, bukannya dengan kudita.

Tindakan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara yang melantik tanpa berbincang dengan Menteri Besar seolah-olah negara hendak menuju kepada Malayan Union di mana semua kuasa pusat membolot dan tidak menghormati hak-hak negeri.

Kerajaan pusat mengajar kerajaan negeri supaya tidak mengikut semangat federalisme, nanti senjata makan tuan

PAS merasa bimbang dengan trend pencabulan hak negeri akan menjejaskan negara di pandangan mata dunia terutama pelabur luar kerana mereka akan memikirkan apa jaminan pelaburan mereka tidak dicabul.

PAS hendak mengingatkan kepada BN, kalau pun hendak merampas Selangor berlawanlah secara anak jantan, bukan sebaliknya.

TPM Muhyidin Dibantah di Miri‏

DARI : www.pas-miri.blogspot.com

MIRI— Nasib lebih 400 pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di Bakam sama ada akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Lapok, Baram atau sebaliknya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari.Setakat ini, hasil tinjauan pihak sekolah mendapati lebih 90 peratus ibu bapa membantah keras cadangan itu dan mahu cadangan itu ditukar ke sekolah lain berhampiran Miri.Seorang jurucakap sekolah yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, setakat ini cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Ibu bapa membantah cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk memindahkan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di Bakam ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Lapok, Baram, kira-kira 120 kilometer dari Miri.Menurut sumber yang enggan identitinya didedahkan, sekolah yang menempatkan kira-kira 400 pelajar itu perlu dipindahkan segera kerana bangunan sekolah retak dan tidak selamat digunakan.

“Kami kecewa kerana cadangan itu dibuat pada saat-saat akhir sedangkan mereka (KPM) sudah lama mengetahui masalah keretakan yang melanda sekolah itu.”Petang tadi satu mesyuarat khas diadakan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pelajaran Daerah Miri (PPDM) di Dewan Sri Pahlawan, SMK Sains Miri kira-kira 15 minit dari pusat bandar.

Sumber itu mendedahkan sebahagian besar daripada bangunan sekolah termasuk Dewan Sri Pahlawan tempat mesyuarat khas diadakan mengalami keretakan di bahagian dinding dan lantai.Sekolah itu dibina sekitar tahun 1990an.

Lantikan Khusrin wajar dikaji semula, kata ketua Wanita PKR

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin terus mendesak agar pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, yang berkuat kuasa hari ini, dikaji semula dengan segera.

Kata beliau, sebagai seorang Setiausaha Kerajaan Negeri, penilaian dan kelebihan pada kredibiliti dan rekod kerja yang baik adalah amat penting.

“Namun, nampaknya pelantikan Khusrin tidak berdasarkan penilaian terhadap rekod dan pencapaiannya dan hanya melalui ‘pintu belakang’ serta ihsan ‘kabel besar Putrajaya’,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kini sekuel politik kotor kerajaan pusat ini semakin terdedah kecacatannya apabila perkara asas pelantikan ini sendiri dikesampingkan sewenangnya, semata-mata mahu mendahulukan matlamat politik berbanding kepentingan rakyat Selangor.

“Jika tidak masakan seorang yang diketahui telah mencemarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri?

“Tindakan biadab ini membuktikan bahawa kerajaan pusat Umno-BN sengaja mahu menganiaya rakyat negeri Selangor,” katanya.

Zuraida berkata, ketandusan wang negara kerana ‘membiayai’ politik janji perdana menteri membuktikan bahawa pelantikan Khusrin adalah satu agenda rampasan oleh “kerajaan lanun Umno-BN.”

“Maka, Selangor harus segera diselamatkan daripada agenda kotor lanun kolar putih Kerajaan Lanun Umno-BN ini.

“Andai Kerajaan Lanun Black Pearl musnah dengan strategi makan tuan, begitu juga nasibnya dengan kerajaan Umno-BN yang nampaknya kini umpama di tali gantung sahaja kedudukannya,” kata beliau .

Zuraida menambah jika benar pelantikan Khusrin adalah strategi terbaru Datuk Seri Najib Razak, yang juga selaku Pengerusi Umno Selangor, beliau percaya pemimpin Pakatan Rakyat tidak gentar kerana “kami yakin, rakyat Selangor matang dan tahu siapa yang berjasa, dan siapa yang merompak.”

Malah menurut beliau, sebagai seorang mantan pengarah Jais, Khusrin sendiri pastinya sedar akan kemampuan dan kelayakannya dan sepatutnya telah menolak tawaran jawatan ini sejak awal.

“Maka, saya menggesa agar Khusrin segera tampil memberi penjelasan agar dakwaan bahawa beliau sebagai ejen dan boneka pihak tertentu dapat disangkal, sekali gus membersihkan nama dan memulihkan integritinya selama ini,” katanya.

PRU-13: Najib jumpa setiap MP BN 8 Jan


KUALA LUMPUR— Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabtu depan di sebalik spekulasi bahawa perdana menteri kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Pengerusi BN itu dijadual akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ahli Parlimen untuk mendapatkan maklum balas mengenai langkah mengadakan pilihan raya umum awal memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu kelihatan berbelah bahagi dalam soal itu.

Najib (gambar) kini bercuti di Timur Tengah.

“Najib akan bertemu dengan setiap ahli Parlimen BN selama lima minit pada 8 Januari. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam, jadi kemungkinan akan berlarutan sehingga Ahad ( 9 Januari),” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Seorang ahli Parlimen BN mengesahkan pertemuan itu sambil berkata Najib telah meminta mereka melaporkan pandangan tentang persediaan di bahagian masing-masing.

“Kami kena berikan satu laporan. Tetapi lima minit adalah waktu yang singkat kecuali setiap orang yakin dan mengatakan kesemuanya OK,” kata wakil rakyat itu.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun depan ketika cuti sekolah bulan Mac.

Bagaimanapun BN sekarang dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkannya sehingga apabila projek-projek ekonomi diperkenalkan Najib mula merancakkan ekonomi tempatan.

The Malaysian Insider difahamkan Najib telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin komponen BN awal bulan lalu di Parlimen untuk membincangkan sama ada mengadakan pilihan raya umum pada bulan Mei atau Jun.

Mandat semasa hanya akan berakhir 20 April 2013. Ia pertemuan pertama seumpama itu sejak Najib menjadi perdana menteri April 2009.

BN juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

“Ketika mesyuarat Kabinet baru-baru ini, dipersetujui bahawa pilihan raya umum kemungkinan diadakan minggu kedua bulan Jun. Jika tidak, ia akan dianjak sehingga November,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun perkembangan-perkembangan terbaru ini menunjukkan wakil rakyat-wakil rakyat yang tidak berhasrat untuk bertanding mahukan pilihan raya diadakan tahun depan.

“Ahli-ahli Parlimen kanan mengharapkan faedah daripada pelbagai projek yang dilaksanakan sebelum pilihan raya umum. Mereka juga menyebarkan khabar angin bahawa ahli-ahli Parlimen muda (penggal pertama) tidak akan memperoleh pencen jika pilihan raya umum diadakan awal,” kata sumber itu lagi.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan pencen bagi wakil rakyat jika mereka berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan.

Penasihat-penasihat Najib pula dikatakan menggesa beliau agar mengadakan pilihan raya umum seawal Jun ekoran kebimbangan bahawa ekonomi dunia kemungkinan perlahan, sehingga boleh memberi kesan ke atas ekonomi tempata pada suku ketiga.

Najib, perdana menteri keenam, telah memperkenalkan pelbagai projek untuk merangsang ekonomi negara meskipun ramalan menunjukkan ia akan perlahan tahun ini.

Ia termasuklah projek transit aliran massa (MRT) yang akan menelan RM36 bilion, menara Warisan Merdeka RM5 bilion, Daerah Kewangan Antarabangsa KL RM26 bilion, projek ekoresort RM3 bilion di Karambunai, Sabah dan pembangunan kawasan seluas 1,084 hektar milik Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh.

Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan lima peratus, satu peratus lebih rendah daripada diharapkan oleh pentadbiran Najib.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dua minggu lalu mengadakan konvensyen kedua mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang dan menerima Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari.

Seminggu sebelum itu BN telah mengadakan konvensyen mereka, yang memfokus usaha ke arah persiapan pilihan raya umum.

Pak Lah Halalkan Rogol, UMNO Halalkan Zina?

KELAB GREENBOC

PHalalkan Rogol, UMNO Halalkan Zina? Oleh: Malaysialeaks

TINDAKAN Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi (Tun) bersubahat menyembunyikan kes 376 Kanun Keseksaan yang dilakukan oleh Menteri Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, (Februari 2006 sehingga 15 Februari 2008) Datuk Seri Utama Rais Yatim pada 2007 merupakan tindakan tidak bermaruah Perdana Menteri ketika itu.

Selain kes Datuk Rais Yatim, Pak Lah juga menyembunyikan kes perzinaan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan membenar beliau bertanding dalam pilihanraya umum ke 12 telah menandatangani watikah perlantikan Shahidan sebagai Menteri Besar Perlis sekalipun tanpa persetujuan Raja Perlis.

Ketika itu, Pak Lah meresetui perzinaan antara Shahidan dengan seorang gadis sehingga gadis tersebut mengandung dan Shahidan memaksa gadis berkenaan menggugurkan kandungan.

Murut fakta kes, mangsa telah bertemu Pak Lah bersama Doktor yang menggugurkan kandungannya dan beberapa VIP yang mengetahui Skandal Seks Shahidan, namun Pak Lah enggan mendengar aduan mereka kerana begitu sayang kepada Shahidan.

Perkara ini bukan rahsia lagi kerana semua jemaah menteri tahu Skandal Seks Shahidan, namun Pak Lah mempertahankan Shahidan atas sebab yang tidak diketahui.

Walaupun selepas 10 Adun telah menulis surat rasmi kepada Pak Lah untuk menolak kepimpinan dan perlantikan Shahidan sebagai Menteri Besar Perlis, namun Pak Lah mengganggap sepuluh adun berkenaan memfitnah Shahidan.

Bahagian Penerangan UMNO Perlis telah menghubungi Bernama Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Shahidan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Raja Perlis di Kuala Lumpur ketika itu.

Menurut satu sumber, Hashim Suboh yang memainkan peranan sebagai jurucakap media Shahidan dan mengetuai pakatan untuk menjatuhkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Mohd Radzi bagi membolehkan Shahidan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan enggan mendengar nasihat dan pandangan menteri kanan seperti Radzi.

Ketika itu, Shahidan telah mengarahkan Hashim memungut nama para pemberita dan wartawan yang membantu beliau dalam kempen pilihanraya umum ke 12 lalu dengan menjanjikan Pakej Umrah secara percuma.

Mereka ini mengatakan bahawa Tuanku Raja Perlis lembut hati dan akan tetap melantik Shahidan sebagai Menteri Besar.

Menurut maklumat daripada sumber terdekat dengan Istana bahawa pada hari tersebut sahaja, Shahidan telah berulang alik sebanyak tiga kali dari Kuala Lumpur ke Perlis untuk mengejar Raja Perlis agar merestui perlantikannya sebagai Menteri Besar.

Namun, Baginda Raja Perlis masih enggan menandatangani Watikah Perlantikan Shahihan atas sebab kebejatan moral walaupun Pak Lah telah memberi watikah sendiri kepada Shahidan dan meminta Shahidan berundur.

Selain skandal seks berkenaan, Shahidan turut terpalit dengan pelbagai skandal kerana disifatkan ramai pemimpin Perlis sebagai 'Beraja Di Mata dan Bersultan Di Hati.'

Tanpa mempedulikan Skandal Seks Shahidan, UMNO Malaysia pula menghalalkan perlakuan zina dengan melantik Shahidan sebagai Timbalan Badan Perhubungan UMNO Perlis pada 27 Disember 2010.

Selain kebejatan moral pemimpin UMNO Semenanjung, Pak Lah turut melindungi Skandal Seks pemimpin UMNO Sabah dan berkenan memilih mereka sebagai calon yang bertanding pada pilihanraya umum Mac 2008.

Adun Lahad Datu, Datu Nasrun Datu Mansur (Datuk) terpalit juga dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan dengan isteri orang yang juga bekas pekerja di syarikat guamannya.

Walaupun Nasrun telah membayar sejumlah RM500,000 kepada suami mangsa dan mangsa telah menarik balik laporan polis, namun kes berkenaan telah ditutup begitu sahaja, termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ramai penduduk Lahad Datu beranggapan bahawa ‘Rogol’ bukanlah kes jenayah kerana boleh ditutup sekalipun semua bukti telah terdedah.

Seorang lagi Adun yang mengalami kebejatan moral yang dipilih bertanding mewakili UMNO ialah Adun Tempasuk, Datuk Haji Musbah Jamli yang mempunyai Skandal Seks dengan pembantu rumah dan adik iparnya serta mempunyai kes dengan BPR, namun Pak Lah telah memilih beliau mewakili Tempasuk.

Manakala seorang lagi Adun yang pernah menjadi banduan di Indonesia, Datuk Haji Harman Mohammad yang dibenarkan bertanding di DUN Sulabayan, Sabah sekalipun beliau tidak layak kerana baru setahun dibebaskan daripada penjara Indonesia (atas ehsan UMNO) sedangkan Anwar terpaksa menunggu selama lima tahun sebelum boleh aktif dalam politik. -sabahkini.net

Khusrin layak SUK baru: GIBS

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS) menyifatkan Datuk Mohamad Khusrin Munawi layak menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Yang Dipertuanya, Hashim Sibelik berkata, beliau memenuhi kriteria ditetapkan termasuk berpengalaman dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran selama 31 tahun.

Menurutnya, GIBS memberi keyakinan sepenuhnya bahawa Mohamad Khusrin mampu menggalas tanggungjawab dengan cemerlang dan tidak memihak kepada parti politik

“Janganlah kerana ketegasan beliau melarang mana-mana pihak mengadakan ceramah di masjid atau surau sewaktu berkuasa sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dijadikan isu untuk tidak menerima pelantikan itu.

“Tindakan beliau bukan berunsur politik sebaliknya mencerminkan kecekapan dan kebolehan menyelesaikan tugas,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Hashim berkata, dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor diharap beliau berjaya menyelesaikan isu pelantikan itu.

GIBS adalah badan profesional Melayu di negeri Selangor dan tidak menyerupai parti politik serta tidak memihak kepada mana-mana pihak, sedia bekerjasama dengan semua pihak secara terbuka dan profesional bagi memajukan rakyat dan kerajaan negeri Selangor.

1Malaysia kekal haram

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM - Pengharaman penggunaan logo 1Malaysia pada papan tanda dan iklan di negeri ini tidak akan ditarik balik biarpun berdepan tekanan bantahan pelbagai pihak, kata Ronnie Liu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri itu berkata, pengharaman akan diteruskan sehinggalah Kerajaan Negeri membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat Exco, minggu depan.

“Buat masa ini Kerajaan Negeri hanya menangguhkan sementara pelaksanaan larangan tersebut termasuklah tindakan kompaun serta menurunkan logo 1Malaysia di mana-mana premis di seluruh kawasan pentadbiran di negeri ini.

“Sebarang keputusan (sama ada meneruskan atau menarik balik larangan) ini terpulang kepada hasil mesyuarat Exco nanti. Buat masa ini, kita tinjau dahulu dan hanya memberikan notis (kepada pihak yang menggunakan logo 1Malaysia), tindakan kompaun pun belum kita laksanakan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Ronnie berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada ada Kerajaan Negeri akan menarik balik larangan pengunaan logo 1Malaysia di premis kerajaan dan persendirian di negeri itu setelah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Ronnie sebaliknya menafikan slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bermotifkan politik untuk menarik sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Katanya, MES bukan kempen politik kerana ia disusuli dengan program tertentu seperti pemberian air percuma, bantuan ibu tunggal dan sebagainya.