HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Januari 2011

Kasanova cari wang tipu wanita

SABAH DAILY

TERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.

Dia ‘mengayat’ wanita yang tidak mempunyai rupa paras menarik dan mengikis duit mereka sebelum menggunakan wang itu untuk memikat dan menaja gadis cun hingga ramai terperangkap dengan jerat cinta palsunya.

Begitulah taktik licik seorang kasanova ‘cap ayam’ yang tidak mempunyai kelebihan daripada segi paras rupa dan bentuk tubuh, tetapi bijak bersandiwara dan meraih simpati untuk mencari mangsa.

Tembelang kasanova itu didedahkan seorang wanita yang pernah terperangkap dengan ‘cinta palsu’ dijanjikan lelaki terbabit.

Mahu dikenali sebagai Farah, 31, dia mengakui sudah ‘berhabis’ kira-kira RM20,000 untuk kasanova berusia 30-an itu.

“Dia tidaklah hensem, gemuk pula, tetapi ayat cinta yang diluahkan membuatkan saya ‘cair’. Pada masa sama dia mengaku kononnya menghidap penyakit kanser, membuatkan saya bersimpati kepadanya.

“Satu ketika, saya sanggup meminjam daripada bank sebanyak RM20,000 untuk diserahkan kepadanya selepas dia meminta wang itu untuk merawat penyakitnya.

“Dia kata dia sudah tenat dan perlukan wang dengan segera untuk berubat,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurut Farah, selepas meminjamkan wang itu, lelaki terbabit sering mengelak untuk bertemu dan menjauhkan diri.

“Sejak itu saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat siasatan sendiri, termasuk daripada ahli keluarganya, dan terbongkarlah tembelangnya. Rupa-rupanya dia kasanova yang mencari wang dengan menipu orang lain.

“Dia tipu wang wanita yang tak cun dan menggunakan wang itu sebagai modal untuk mencari cinta di kalangan wanita cun.

“Wanita cun ditaja habis-habisan... dibawa bercuti dan dibelikan pelbagai barangan berjenama,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana malu diperdaya lelaki terbabit.

Farah yang berkenalan dengan lelaki itu menerusi laman sembang mengakui berjaya mengesan lapan lagi mangsa penipuan kasanova terbabit.

“Selain laman sembang, dia menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Hifi untuk mencari mangsa.

“Dia juga menipu pekerjaan dilakukan, kononnya termasuk dalam golongan profesional seperti doktor dan peguam. Walhal, dia tidak bekerja dan hanya mencari wang dengan menipu wanita,” katanya yang mengenali kasanova itu sejak awal tahun lalu.

Beberapa mangsa lain yang ditemui Farah mengakui kasanova terbabit menggunakan pelbagai nama, antaranya Carl Iskandar, dan turut menggunakan taktik sama.

Malah lebih menyedihkan, ada yang sampai ke tahap menyerahkan kehormatan kepada lelaki itu.

“Yang cun dijanjikan cinta... janji hendak berkahwin sehingga ada yang tergadai ‘body’. Mujur saya tidak sampai ke tahap itu.

“Dia hanya memeras habis-habisan wang saya untuk kepentingan dirinya,” katanya.

Farah mengakui mengenali lelaki itu adalah kesilapan paling besar pernah dilakukannya.

“Saya bukan mahu mendedahkan aib orang, tetapi ini pengajaran untuk wanita lain di luar sana. Jangan terlalu mudah mempercayai lelaki yang dikenali menerusi Internet.

“Jangan percaya dengan lelaki yang kita tidak tahu latar belakangnya. Walaupun dia melutut menagih simpati, biarkan saja kerana saya sudah merasa peritnya ditipu apabila terpaksa ‘mengikat perut’ membayar balik pinjaman yang dibuat, malah masa saya juga banyak terbuang melayan kerenahnya,” katanya.

Farah turut yakin, sehingga hari ini lelaki itu masih bergiat aktif menipu wanita di laman web sosial.

“Ada ahli keluarganya beritahu dia sentiasa ada wang. Bagaimana ada wang jika tidak bekerja?” katanya. -Metro

Berita Bencana Dunia Pada 1.1.11

SABAH DAILY


Tahun Baru 2011 membuka tirainya dengan pelbagai bencana menimpa di beberapa bahagian dunia. Diataranya:

Puting beliung ragut enam nyawa di AS

CHICAGO: Puting beliung memusnahkan wilayah Arkansas, Missouri dan Illinois, Amerika Syarikat (AS), dan mengakibatkan sekurang-kurangnua enam terbunuh serta merosakkan sumber tenaga elektrik di kawasan sekitarnya, Jumaat (waktu tempatan).

Pejabat pengurusan kecemasan wilayah Arkansas dalam satu kenyataan berkata, tiga yang maut dilaporkan dari daerah Washington.

Polis berkata, ia yang memecah Arkansas berlaku kira-kira jam 6 pagi, dan memusnahkan empat daerah lain sehingga menyebabkan lapan tercedera. - AFP





22 bandar ditenggelami air dalam banjir besar di Australia

Kawasan terjejas lebih luas daripada gabungan Perancis dan Jerman

SYDNEY: Banjir di timur laut Australia menenggelamkan kawasan lebih besar daripada saiz Perancis dan Jerman yang digabung, menjejas 22 bandar dan menyebabkan 200,000 penduduk terkandas.

Ia memaksa lombong utama arang batu di Queensland dan pelabuhan utama eksport gula dan arang batu ditutup.

Banyak firma perlombongan seperti Anglo American, Rio Tinto, BHP Billition, Xstrata dan Peabody Energy Corp terpaksa memperlahan atau menghentikan operasi.

Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun itu berpunca daripada gejala La Nina yang membawa hujan lebat di timur laut Australia sepanjang dua minggu lalu.

Sebanyak 41 kawasan di Queensland kini diisytihar kawasan bencana, kata Ketua Menteri Queensland, Cik Anna Bligh.

'Ini satu tragedi yang sungguh meluas. Sebanyak 22 bandar kini ditenggelami air atau terputus hubungan. Ia menjejas 200,000 penduduk meliputi kawasan yang luasnya melebihi saiz Perancis dan Jerman yang digabungkan,' kata beliau. AFP





Bom meletup di kawasan berek tentera Nigeria

ABUJA: Bom meletup di sebuah pasar, terletak di dalam berek tentera di ibu kota Nigeria, Abuja menjelang sambutan tahun baru, kata ketua tentera dan awam, Jumaat (waktu tempatan).

"Terdapat sebutir bom meletup di dalam pasar Mammy. Bom terbabit meletup ketika orang ramai sedang makan," kata Ketua pertahanan sivil bagi ibu kota Rabi Saidu.

Ketua tentera Nigeria, Marsyal Udara Oluseyi Petirin, berkata ia adalah satu kejadian yang menyedihkan apabila ada pihak yang meletakkan bom di kawasan orang ramai berehat.

Beliau berkata, serangan terbaru itu sama seperti kejadian di Jos di mana serangan berangkai dilaukan di Jos sehingga mengakibatkan ramai yang terbunuh. - AFP





5 maut, 14 cedera serangan bom gereja di Mesir

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala 14 yang lain cedera susulan serangan gereja Kristian di utara bandar Mesir, awal pagi tadi.

Petugas penyelamat berkata, kadar kematian dijangka bertambah berdasarkan jumlah kenderaan yang digunakan untuk membawa mangsa ke hospital.

Katanya, Serangan itu berpunca daripada sebuah kereta yang dipasangkan dengan bom meletup di sebelah tepi gereja, di daerah Sidi Bechr. - AFP





Gempa bumi 5.2 gegarkan wilayah Xinjiang, China

BEIJING: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.2 melanda barat jauh China di wilayah Xinjiang, hari ini, kata ahli seismologi.

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang melanda jam 10 pagi tadi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer dengan catatan pusat gempa 68 kilometer barat Kashi.

Menurut agensi berita China, Xinhua, tiada laporan kecederaan atau kematian diterima sehingga kini. - AFP



Peralat anak untuk buat maksiat

SABAH DAILY

TAHAN... antara pasangan yang ditangkap khalwat dalam operasi di hotel sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Tembelang seorang wanita memperalatkan anak kecilnya berusia dua tahun sebagai penyelamat untuk menutup perbuatan sumbang terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa ketika melampiaskan nafsu bersama kekasih hatinya, seorang warga asing, dalam bilik hotel di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, perbuatan maksiat wanita berusia 40-an itu terbongkar selepas dia dan teman lelakinya warga Bangladesh dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika menjalankan operasi cegah maksiat sempena sambutan tahun baru.

Sumber berkata, pasangan terbabit menggunakan pelbagai alasan dan berkeras menafikan mereka berkhalwat dan mengaku berkahwin beberapa tahun lalu.

Katanya, wanita itu mendakwa mereka tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan kepenatan selepas bersiar- siar di Dataran Merdeka.


“Pada mulanya wanita itu mendakwa bayi terbabit adalah hasil perkahwinan mereka kira-kira setahun lalu. Bagaimanapun, tembelang wanita terbabit pecah apabila mengaku baru mengenali lelaki itu beberapa jam sebelum tahun baru sebelum dibawa ke hotel berkenaan,” katanya.


Berikutan itu, Jawi mengeluarkan saman mengikut Seksyen 27 Akta 559 (a) (b) Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Dalam serbuan berasingan di hotel sama, dua remaja terkejut dan menangis teresak-esak selepas tergamam bilik ‘asmara’ mereka diserbu penguat kuasa.

Kedua-dua remaja, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, merayu dilepaskan dan mendakwa tidak berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mendaftar di hotel untuk tidur selepas kepenatan menyambut tahun baru.

Difahamkan, mereka yang baru tiba dari Sabah ingin bermalam di hotel hanya sehari sebelum ke Johor untuk berjumpa ahli keluarga remaja wanita terbabit.

“Remaja itu mendakwa akan bertunang beberapa hari lagi, namun kita akan panggil ibu bapa mereka untuk soal siasat lanjut bagaimana mereka boleh sampai ke ibu kota,” katanya.

Mereka antara 20 orang membabitkan 11 pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena sambutan tahun baru, membabitkan kira-kira 30 pegawai penguat kuasa Jawi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam itu antara usaha berterusan Jawi bagi ‘membersihkan’ ibu kota daripada dicemari gejala maksiat, malah membendung budaya pembuangan bayi. -Metro

Harapan Tahun Baru NUJ Malaysia

MERDEKA REVIEW

NUJ Malaysia ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pengamal media di negara ini dan diharapkan tahun ini kita akan dapat menikmati kebebasan media yang sebenar bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang benar dan seimbang.

Kesatuan juga meminta pengarang-pengarang di media perdana terutama Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star agar kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.

Kejatuhan edaran akhbar media perdana seperti yang di umumkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) jelas membuktikan bahawa orang ramai terlalu muak dengan isi yang disajikan di dalam akhbar-akhbar tersebut yang bukan sahaja tidak membina minda tetapi penuh dengan propaganda buruk serta akhbar-akhbar ini boleh dikategorikan sebagai akhbar murahan tidak mempunyai harga diri serta maruah kerana para pengarang mengenepikan serta menguburkan nilai-nilai murni tujuan asal akhbar itu diterbitkan.

Utusan Malaysia yang pernah edarannya mencapai 350,000 sehari kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan di antara kaum di negara ini.

Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia sebenarnya adalah pengarang yang tidak mempunyai prinsip, harga diri dan maruah kerana hanya hendak mempertahankan kedudukan dengan gaji puluhan ribu ringgit oleh sebab itulah sentiasa tunduk kepada tuan-tuan politik yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka dengan menggunakan Utusan Malaysia sebagai alat propaganda.

Sehubungan itu NUJ Malaysia menyeru ketua pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia agar kembali kepada matlamat utama penubuhan akhbar itu pada awal penubuhannya.

NUJ Malaysia juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia yang jelas cuba mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini berikutan beberapa isu perkauman yang dimainkan.

Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia menunjukkan mereka juga terlibat dalam agenda untuk mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini oleh sebuah akhbar yang boleh dianggap sebagai akhbar rasis dan tidak bermaruah.

*Kenyataan media oleh Hata Wahari (gambar kiri) selaku Presiden NUJ Malaysia.

Nekad bela bayi yang ditinggalkan di KL Sentral

BERNAMA

SEREMBAN – Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, yang mendapat anak “segera” nekad untuk membela bayi yang diserahkan kepadanya secara tiba-tiba di Stesen KL Sentral semalam selepas mendapat persetujuan ibu bapanya, lapor Bernama.

Bapa gadis itu yang merupakan anggota bomba dari balai Teluk Kemang, Jamaludin Latif, 50, sudah memikirkan perkara itu semasak-masaknya walaupun beliau sudah mempunyai enam orang anak dan yang paling kecil berusia lima tahun.

“Saya, isteri dan anak-anak yang lain telah jatuh kasih dengan bayi tersebut. Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat senyuman anak yang tidak berdosa ini. Ia serasi dengan kami, menangis hanya apabila lapar sahaja,” katanya.

Bayi berusia seminggu itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kelaparan dan kekurangan glukos semalam.

Jamaludin berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat minggu depan bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas bayi itu.

Qurratnaini Amni pula berkata beliau telah memberi nama kepada bayi lelaki itu iaitu Mohd Aqil Fauzy yang bermaksud “Yang Terpuji Akal Kejayaan”.

Pelajar sebuah kolej kejururawatan di Kota Damansara, Selangor itu berkata sebelum ini beliau sering didedahkan dengan cerita-cerita pembuangan bayi di akhbar tetapi tidak pernah terfikir akan terlibat secara langsung dalam isu ini.

“Kalau tidak ada orang ambil bayi ini, saya nekad untuk jaga. Sedih rasanya apabila melihat bayi ini diletakkan sebagai gelaran “Unknown” pada katil bayi itu, saya beri bayi ini nama dan saya serta keluarga mahu mendidik dan menyayangi bayi ini,” katanya.

Qurratnaini Amni mendapat bayi itu di KL Sentral selepas seorang wanita Melayu tiba-tiba menyerahkan bayi malang tersebut untuk dijaga sebentar dengan alasan mahu ke tandas.

Wanita tersebut bagaimanapun terus menghilangkan diri menyebabkan Qurratnaini Amni menghubungi keluarganya dan membawa bayi itu pulang ke rumahnya di pekan Rantau.


Sabtu, 1 Januari 2011

Kenapa Najib bertahan di Sngor dan implikasi Tenang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Inikah bentuk transformasi politik Najib Razak? Apa ertinya jika sekadar menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka? Ekoran itu, apa sebenarnya perubahan yang bakal dinikmati rakyat? Apa kena-mengena pergolakan dalaman Umno dengan impian warga Malaysia yang mahukan kehidupan lebih makmur, adil dan Islami?

Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlukan reformasi segera, langsung tidak disentuh Najib. Pengumuman Tengku Adnan Tengku Mansor itu hanya merupakan sebahagian persiapan Umno mempertahankan sisa-sisa kuasa, dan tiada hubungan dengan transformasi politik negara.



Di kala semua negeri-negeri lain diketuai anak tempatan, bagaimana pula dengan tindakan mengekalkan Najib di Selangor dan pelantikan Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda? Awal-awal lagi Isa menjelaskan misi utamanya sarat dan tebal dengan motif politik, bagi mengekang pengaruh pembangkang. Tunggulah karenah bekas menteri yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik dalam pemilihan Umno itu, yang kini mendapat kepercayaan Najib bagi mempertahan kubu terakhir Umno di kawasan Felda.

Ketiga-tiga naib presiden Umno diminta melepaskan jawatan penting di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu, namun Najib sebagai pengerusi Umno di Selangor masih mempertahankan kedudukannya. Apakah ia bermaksud negeri termaju itu merupakan sasaran utama Umno-BN, yang tidak dapat tidak mesti ditawan semula dalam PRU13, walau dengan apa cara sekali pun? Ataupun timbalan pengerusi, Noh Omar belum cukup bersedia memikul tanggungjawab besar, selain dibimbangi tindak-balas pengikut Dr Khir Toyo jika Najib menyerahkan posisi strategik kepada Menteri Pertanian itu?

Apa pun, keputusan mempertahankan Najib di Selangor menunjukkan dengan jelas keseriusan Umno untuk menebus semula kekalahan BN yang memalukan pada Mac 2008. Selangor adalah lubuk emas yang tidak boleh dibiarkan lama berada di bawah seteru politik BN. Laluan ke Putrajaya tambah meyakinkan jika negeri-negeri maju dan kaya seperti Selangor kekal dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru, usah terkejut dengan "permainan paling kotor" yang bakal dipersembahkan Najib di Lembah Klang.

Kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru, Mohd Khusrin Munawi, membayangkan "komplot" terancang BN itu. Pandangan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim langsung tidak dipedulikan, malah tidak dimaklumkan pun.

Rombakan kepemimpinan Umno di Perlis lebih melucukan, sekali gus menonjolkan pertelingkahan serius. Bekas menteri besar, Shahidan Kassim yang dilantik timbalan Dr Md Isa Sabu awal-awal lagi menegaskan: "Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini."

Meskipun Ahmad Bashah Md Hanipah diberi kepercayaan mengetuai misi merebut Kedah daripada Pakatan Rakyat, yang jelas pengaruh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Najib nampak menyerlah apabila Mukhriz Mahathir menjadi orang no. 2 di sana. Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan penting di peringkat Umno bahagian, tetapi dijangka akan ditonjolkan sebagai pesaing Menteri Besar, Ustaz Azizan Abd Razak. Serentak dengan itu, dipercayai beberapa pemimpin Umno negeri yang dikaitkan dengan Abdullah Ahmad Badawi bakal melalui laluan sukar.

Ahmad Said di Terengganu mungkin lega seketika namun pengikut Idris Jusoh dipercayai tidak semudah itu untuk menyerah kalah. Terengganu merupakan negeri yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit PAS-Umno sejak merdeka. Konflik dalaman mana-mana parti berkenaan boleh menjadi faktor besar dalam menentukan siapa menerajui kerajaan negeri.

II.

Sesi permukiman Harakah berjalan lancar Sabtu dan Ahad lalu. Penalis yang diundang bersikap terbuka dan terus-terang. Tanpa selindung, mereka melontarkan pandangan kritis dan teguran keras menusuk. Sememangnya harapan buat Harakah cukup tinggi terutama apabila menyedari akhbar di negara ini sentiasa dikongkong oleh akta yang menekan dan kepentingan politik elit penguasa.

Cabaran PRU13 menuntut bukan saja kesungguhan luar biasa petugas Harakah, tetapi juga kesediaan mereka untuk berubah dan memperbaiki kesilapan. Perkembangan pantas dunia maklumat akan meninggalkan mereka yang lembab, jauh di belakang. Kesempatan terbaik tidak selalu datang, dan sekiranya ia gagal dimanfaatkan dengan cepat dan cekap, Harakah akan dihukum sejarah.

Akhbar tanpa wibawa, dan yang dipertikai kredibilitinya, tentu gagal berperanan dengan berkesan, meskipun angka jualannya tinggi. Perang media kini semakin sengit dan kompleks. Usaha mempengaruhi pembaca, terutama kecenderungan mengundi, merupakan tugas cukup sukar. Sudut pandangan kita tidak mudah ditelan lagi, walaupun oleh ahli parti dan pembaca setia, sebaliknya terpaksa melalui proses saringan ketat.

Kesalahan yang dilakukan berulang-kali, termasuk dalam hal-hal yang dianggap kecil, seperti kesilapan ejaan dan susunan ayat berterabur, mempunyai pengaruh besar dalam melunturkan keghairahan pembaca. Kami amat menyedari hakikat persaingan dunia siber dan kematangan pembaca untuk memilih hanya yang terbaik.

Saya turut menerima pandangan pembaca melalui emel. Ternyata ramai yang mahukan Harakah bingkas menerajui gerakerja reformasi. Banyak kekeliruan yang gagal dijelaskan dengan baik. Isu-isu penting sering berlalu dan hilang begitu sahaja. "Kami mahukan liputan Harakah yang mudah untuk menangkis fitnah media BN, dengan dibantu fakta dan hiasan menarik," kata seorang peminat.

"Buat jadual bagi memudahkan pemahaman pembaca. Utamakan isu rakyat, jangan sendatkan dengan aktiviti Pakatan sahaja. Gambar biar jelas dan ada hubungan dengan berita, jangan tangkap muat. Banyak tajuk Harakah lembik tak bermaya, belajar daripada media Indonesia. Akhbar perlukan perancangan teliti, usah ambik mudah," seorang pembaca lain berkomentar panjang.

III.

Buku 'Islam dalam Perlembagaan Malaysia', tulisan Prof Dr Abdul Aziz Bari, cukup lama tersimpan di rak tanpa sentuhan. Karya terbitan Intel Multimedia and Publication (2005) itu seperti tidak dipedulikan sehinggalah saya mengulas tentang ucapan Karpal Singh di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat tempoh hari. Apabila Pengerusi DAP itu menyentuh hal Negara Islam, saya segera teringatkan idea Aziz bahawa Islam masih boleh dilaksanakan di negara ini melalui kerangka Perlembagaan. Satu idea yang cukup menarik dalam konteks realiti politik Malaysia.

Buku setebal 160 halaman ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk memaku pembacaan saya. Huraiannya terhadap beberapa peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, seperti Perkara 3, berbeda dengan pandangan yang biasa kita dengar. Beliau turut tidak bersetuju Malaysia dilabelkan sebuah negara sekular biarpun ia belum memenuhi ciri Negara Islam.

Ungkapan "Islam ialah agama bagi Persekutuan ..." seolah-olah mengisyaratkan negara ini mempunyai agama atau anutan tertentu seperti seorang manusia. Aziz turut mencatatkan: "Perlembagaan tidak menyebut bahawa undang-undang syariah tidak boleh dilaksanakan." Ditegaskan bahawa Perlembagaan yang ada tidak perlu dibuang hanya untuk melaksankan Islam. Ini kerana perlembagaan mempunyai mekanisme penyesuaian.

Pihak berkuasa negeri, katanya, boleh melaksanakan undang-undang jenayah Islam tetapi ia memerlukan pindaan Perlembagaan bagi (a) meminda Perlembagaan dan mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam daripada bidang kuasa Persekutuan dan (b) menaikkan atau mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah tadi. Huraian beliau seterusnya segar dan tersusun.

Di antara tajuk-tajuk dalam buku ini ialah Islam di dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia; Peranan Islam Melalui Kerangka Perlembagaan dan Perundangan Malaysia: Potensidan Masalahnya; Halangan Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam di dalam Perlembagaan; Murtad dalam Konteks Kebebasan Beragama di Malaysia.

Aziz juga menjelaskan bahawa hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular Perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad. Banyak undang-undang yang telah diluluskan bagi pelaksanaan Islam termasuk Akta Bank Islam 1983. Perhatikan analoginya: "Kalau Perlembagaan -- sebagaimana yang disebut Suruhanjaya Reid -- yang hendak mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang antidemokrasi, mengapa Perlembagaan tidak boleh menerima Islam tidak boleh menerima Islam, yang tidak ditentangnya secara jelas?"

Buku berharga RM20 ini memang memerlukan penelitian agak serius, namun penjelasannya mudah diikuti. Ia mungkin dapat menjawab beberapa persoalan yang sering dibangkitkan dalam polemik kaedah pelaksanaan Negara Islam di Malaysia. Sama ada memang benar Perlembagaan itu menjadi halangan utama atau ia sedia diubahsuai sekiranya ada keazaman politik yang tinggi?

Seperti diakui Aziz: "Meskipun ruang yang ada agak terhad kepada pelaksanaan undang-undang Islam, ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya." Tulisan pakar perlembagaan ini elok untuk dibahaskan dengan lebih lanjut.

IV.

Pilihan raya kecil Tenang mempunyai keunikan tersendiri. Ia diadakan di negeri yang dahulunya dikenali sebagai kubu terkuat Umno. Kini PAS sudah ada dua wakil dalam Dun Johor. Konstituensi campuran di kawasan desa ini bakal menyaksikan, apakah kemenangan BN di Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas adalah trend yang menakutkan Pakatan Rakyat atau akan terhenti di Labis?

(Peratusan komposisi pengundi di Tenang itu, jika diaplikasikan kepada situasi di Lembah Klang ataupun suasana di Perak atau Kedah, ia pasti memihak Pakatan Rakyat).

Melalui siri PRK, PAS mempertahankan Bukit Gantang, merampas Kuala Terengganu, melepaskan Galas dan kekal kalah di Bagan Pinang. Di kala setiap parti giat melakukan persiapan, Tenang bakal membawa implikasi menarik menjelang PRU13. PAS memikul amanah dan panji-panji Pakatan. Misi ke Putrajaya terbuka kepada tafsiran yang begitu luas selepas 30 Januari nanti.

Di Semenanjung, hanya Johor tetap dianggap negeri selamat buat BN. Walaupun Melaka belum mempunyai Adun pembangkang Melayu, namun sekiranya Negeri Sembilan dapat "dilanggar" Pakatan (selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam sidang Dunnya dalam PRU12), Ali Rustam mungkin terpaksa mengangkat bendera putih, apatah lagi pengaruh DAP di kalangan masyarakat Tionghua Melaka begitu kental.

Tenang juga mempunyai hubungan sentimental yang cukup signifikan dengan MCA. Bekas presidennya, Ling Liong Sik selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen Labis. Kini Presiden MCA, Chua Soi Lek, yang terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada anaknya pada 2008, berdepan cabaran getir. MCA yang tewas teruk dalam PRU12 sama sekali tidak boleh mengizinkan Tenang mencalarkan lagi imejnya, apatah lagi di tangan PAS.

Soi Lek pasti sudah siap dengan perencanaan rapinya dalam pertarungan paling kritikal ini. Walaupun calon BN adalah daripada Umno, tetapi yang paling terkesan dengan keputusan nanti adalah MCA.

Pengundi Melayu yang berpusat di kawasan Felda turut diuji. Percubaan pertama Isa Samad dinantikan. Beliau pasti mahu menunjukkan kejaguhannya kepada Najib. Namun, siapa menduga peneroka Felda Melayu di Johor akan membuat kejutan di Tenang? Ya, cukup banyak sudut menarik yang boleh diulas nanti. Jumlah pengundinya tidak ramai, sekitar 15,000 tetapi undian mereka boleh merubah lanskap politik negara, atau ... ia sekadar rutin biasa sahaja?

Melayu rugi jika tolak Pakatan Rakyat

Fakhri Ali

TASEK GELUGOR: Orang Melayu di Pulau Pinang akan rugi sekiranya mereka menolak PAS dan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Begitu luahan rasa Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika berucap sempena Jubli Perak, PAS kawasan Tasek Gelugor di Sungei Dua semalam.

Kata beliau, sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) masih lagi diberi kuasa maka banyak kerosakan sedia ada akan bertambah seperti kerakusan kuasa, skandal dan penyeleweangan serta ketidakadilan.

Tambahnya, isu PR tidak ambil peduli mengenai nasib orang Melayu di Pulau Pinang sengaja dimainkan oleh Umno dan BN.

Menurutnya, walaupun mereka sedar PR banyak membantu mengatasi masalah yang dihadapi orang Melayu seperti penyelesaian masalah tanah dan perumahan, tetapi mereka tetap memainkan isu itu.

"Sebagai bukti dalam isu penduduk Kampung Pokok Assam di Jelutong, terbukti PAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah berjaya membela nasib penduduk kampung tersebut apabila persetujuan dicapai melalui cara rumah yang diambil oleh pemaju bagi pembangunan akan diganti dengan rumah yang siap dibina dalam kawasan yang sama.

"Begitu juga dalam masalah tanah perkuburan Islam di Jelutong, turut berjaya diselesaikan oleh PAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Namun begitu Umno dan BN akan memainkan isu yang diselesaikan dengan elemen lain pula untuk kepetingan politik mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pemerintahan singkat PR di Pulau Pinang telah berjaya mengatasi masalah penempatan orang Melayu di Jelutong yang selama ini tidak mampu diatasi oleh Umno dan BN walaupun menerajui pentadbiran negeri lebih lama dari PR.

3 pemimpin Pemuda PAS Jasin ditahan polis

Ahmad Danial

AYER KEROH: Tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS Jasin ditahan polis di Dataran Ayer Keroh awal pagi tadi atas tuduhan mengedarkan risalah tanpa permit yang melanggar akta mesin cetak dan penerbitan.

Ketiga-tiga mereka termasuk ketuanya, Aminuddin Abdul Jalil, 40; bendahari, Rashidi Ismail, 32 dan AJK, Daud Dalip, 24.

Mereka telah ditahan pada jam 12.15 pagi tadi selepas selesai mengedarkan risalah di Dataran Ayer Keroh pada program ekspedisi bertemu rakyat sempena sambutan tahun baru 2011.

Aminuddin berkata, sebaik sahaja selesai mengedarkan risalah mereka telah ditahan oleh ASP Mohamed Yusoff Basha dari Balai Polis Ayer Keroh.

"Kami telah disoal siasat di Balai Polis Ayer Keroh sehingga jam 2.45 pagi dan dipindahkan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Bandar Hilir.

"Soal siasat tersebut berlangsung sehingga jam 12.00 tengah hari baru kami dibebaskan dengan jaminan polis," katanya yang juga bekas calon PAS Dun Sungai Rambai pada Pilihan raya Umum 2008.

Menurutnya, penahanan itu tidak melemahkan semangat beliau dan rakan-rakannya untuk terus membongkar segala penyelewengan dan salah laku kerajaan negeri Melaka dan kerajaan pusat.

Beliau berkata demikian sebaik dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, petang ini.

Daud pula kesal dengan tindakan pegawai penyiasat polis yang tidak membenarkan mereka menunaikan solat Subuh sehingga waktu solat hampir habis baru dibenarkan.

"Saya minta untuk solat Subuh tetapi polis tidak benarkan sehingga 5 minit hendak habis waktu baru saya dibenarkan untuk solat Subuh.

"Ini merupakan satu tindakan yang zalim dan melanggar hak asasi saya sebagai orang Islam, lebih malang lagi pegawai itu pun Islam juga," katanya kesal.

Rashidi pula berkata, tindakan polis menahan mereka merupakan tindakan yang tidak masuk akal kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia sepatutnya bebas menyuarakan pandangan dan idea masing-masing.

"Kami tidak menerima sebarang bantahan atau cemuhan dari para pengunjung Dataran Ayer Keroh itu, cuma pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) yang bersikap kasar menghalau kami.

Menurutnya, penahanan beliau bersama rakan-rakannya itu merupakan satu pencabulan kepada kebebasan bersuara rakyat yang melambangkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang tidak bebas dan sentiasa mencengkam rakyat.

Kira-kira 30 orang pimpinan dan ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka hadir pada program Ekspedisi Dakwah yang bermula pada jam 11.00 malam tadi.

Program tersebut diketuai sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek.

XPDC dakwah cekup 11 pasangan

Khaulah Azwar

GOMBAK: Seperti sebelumnya setiap kali menyambut tahun baru pasti akan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina, pengambilan pil yang berlebihan dan sebagainya.

Begitulah pada tahun baru 2011 kali ini tidak lepas dicemari maksiat apabila 22 ditahan dengan menaiki 2 buah van di sekitar daerah Gombak, dalam serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi tadi.

Lima individu daripada 11 pasangan 'kantoi' ditahan terdiri warga asing beragama Islam berasal dari Indonesia dan Bangladesh, bersama pasangan masing-masing warga tempatan yang merupakan lelaki dan juga perempuan.

Dalam operasi di lokasi hotel bajet itu, tiga pasangan ditahan di kawasan Rawang, manakala lapan lagi di sekitar Batu Caves, apabila gagal membuktikan ikatan suami isteri dan bukan muhrim.

Wakil Jais yang mengetuai serbuan itu berkata, pasangan ditahan telah dibawa ke balai polis berhampiran dan akan didakwa dalam masa terdekat di bawah Seksyen 29 (1a & b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9/95”.

“Mereka ditahan kerana didapati berkhalwat dan berada dalam satu bilik antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan sah. Pelbagai alasan diberikan ketika serbuan dan tangkapan dilakukan".

“Terdapat 4 pasangan wanita bujang menunggu dalam 4 buah bilik mungkin mereka menanti kedatangan pasangan mereka. Rata-rata mereka yang terlibat umur di antara 16 tahun ke atas.

“Ini termasuk alasan sukar diterima seperti 'hanya mahu menumpang sekejap' di bilik pasangan, 'hendak menghadiri kenduri' dan sebagainya,” katanya dalam Operasi XPDC Dakwah Daerah Gombak Menjelang Tahun Baru pihaknya itu, yang berpusat di Masjid Al-Amaniah, di sini.

Antara terlibat dalam operasi berkenaan bermula sekitar jam 12 tengah malam hingga jam 8 pagi itu ialah Ketua Unit Penguatkuasa Jais Daerah Gombak, Lukman Ramli dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), Ahmad Zaidy Abdul Talib.

Turut membantu dalam menjayakan operasi ialah Penguatkuasa Agama Daerah Gombak, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Nazir-nazir masjid daerah Gombak dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, walaupun mengandung lima bulan dan membawa anak berumur tiga tahun bersama seorang rakannya, seorang wanita tempatan berusia 29 tahun, turut ditahan dalam serbuan ketika jam 4 pagi.

Ditanya apakah kaitan hubungannya dan lelaki ditahan di bilik hotel, wanita itu yang tinggal di Ampang mengakui menghadapi masalah rumah tangga, manakala pasangan lelakinya dikatakan hanya seorang rakan untuk membantu beliau mencari kediaman seketika.

Semasa serbuan di Batu Caves, anggota Jais sedang mengawal lorong belakang hotel terlibat, dikejutkan dengan tindakan mencampakkan sejenis alatan 'dapur' menagih dadah dipercayai 'ice' dari tingkap hotel.

“Bagi melihat sama ada mereka ditahan ini positif dadah atau tidak, kami difahamkan tujuh lelaki dan tujuh wanita terlibat menjalani saringan air kencing semasa dibawa ke balai polis.

“Keputusannya ujian itu masih belum kita ketahui. Bagaimanapun selepas ini kesemua mereka dikehendaki hadir ke Pejabat Agama pada tarikh ditetapkan untuk tindakan lanjut dan akan dikenakan hukuman jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, wakil Jais turut menasihatkan orang ramai yang sudah berkeinginan, supaya menjauhi maksiat dengan berkahwin secara sah, sekali gus supaya dapat mengurangkan gejala sosial masa kini.

Difahamkan, tindakan boleh diambil terhadap mereka ditahan, adalah di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 10, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

250 ahli Yayasan Amal, NGO terlibat

Pihak Yayasan Amal Malaysia diketuai ahli jawatankuasanya, Mohd Farhan Madzlan memberitahu seramai 25O terlibat termasuk ahlinya dan NGO membantu mengedarkan risalah berkenaan mencegah maksiat.

“Sebanyak kira-kira 5,000 risalah berkaitan 'amal makruf nahi mungkar' telah kita edarkan di seluruh daerah Gombak, seperti di pasaraya, uptown dan tempat awam bermula jam 10 malam lagi, sebelum operasi ini dimulakan.

“Dalam operasi ini, kita juga mengambil kesempatan memberikan tazkirah kepada mereka ditahan. Kebanyakan maksiat ini berlaku kita percaya ia berpunca apabila tidak bersolat dan ini diakui mereka ditahan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan juga bertindak sebagai Penyelaras Ekspedisi Dakwah Malam Tahun Baru Daerah Gombak, malam semalam juga berkata, pihaknya merancangkan dalam masa terdekat akan menubuhkan Unit Kaunseling khususnya untuk mereka berkaitan.

Dalam pada itu, Ahmad Zaidy pula berkata, orang ramai kini terutamanya di Negeri Selangor sudah malu membuat maksiat secara terbuka, menunjukkan kejayaan pihak Kerajaan Negeri Selangor yang telah bertungkus lumus mengadakan berbagai program seperti Generasi Idaman Selangor (GeMS) , Anti Zina dan sebagainya bagi menangani masalah berkaitan terutamanya kepada golongan belia.

“Kalau sebelum ini, mereka berani buat (maksiat) secara terbuka seperti cara 'kereta rosak' dan sebagainya, tetapi dalam operasi kita lakukan kali ini ia tidak ada lagi.

“Dalam kajian pihak Yayasan Amal sejak tahun lepas juga mendapati, kebanyakan mereka ingin melakukan kerja-kerja maksiat ini mencari kawasan luar Selangor untuk tujuan itu,” katanya.

Eksperimen politik: Slogan retorik Najib

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS berpandangan ucapan Datuk Seri Najib Razak sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan ke hadapan walaupun beliau ini terkenal dengan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seolah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata demikian sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri itu supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang.

“PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.

“Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, PAS berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat.

Katanya, kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, tamil dan China, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri.

“Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno sepanjang 53 tahun memerintah,” katanya.

Beliau menambah, jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Soalnya, apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini megkhianat amanah rakyat.

Menurutnya, akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%, barang makanan naik 10% sementara Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Januari 2011.

Katanya, apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Baginya, eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat.

Buktinya, kata beliau pada 21 Oktober 2010, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima”.

“PAS hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah Umno BN mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah,” katanya.