HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Januari 2011

Khairy Sah Tidak Pertahan Kerusi Rembau

PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan spekulasi bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Apabila diminta mengesahkan spekulasi mengenai keputusannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, beliau menjawab 'ya' menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terdahulu, Khairy mencetuskan kekecohan di Twitter apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada bidang politik.

"Hope to help win more youth support for BN (Barisan Nasional) in 2011 & work hard preparing for elections. Then I’m taking a break from politics. Can’t wait".

(Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar) katanya menerusi Twitter pada Sabtu.

Kenyataan tersebut mendapat respon hebat daripada para pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada Ahli Parlimen Rembau itu tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak.

"I would like to ‘stand down’ as they say in the UK. A couple of things I’d like to do before it gets too late".

(Saya ingin 'menarik diri' seperti perumpamaan di United Kingdom. Beberapa perkara mahu saya lakukan sebelum terlambat) jawab Khairy sebagai respon kepada seseorang yang bertanya maksud beliau tentang 'berehat'.

Bagaimanapun, apabila disoal mengenai tempoh 'rehatnya' dari politik, beliau menjawab: "Belum tahu. Tak pasti apa yang akan saya lakukan. Beberapa perkara saya mahu lakukan seperti menyambung pelajaran."

Khairy sebelum ini pernah menyebut tentang kemungkinan untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Rembau menerusi satu temu bual bersama portal berita pada Julai lalu.

Ketika itu, beliau memperjelaskan kenyataannya pada sehari sebelum, yang mengatakan dia hanya mempertimbangkan kemungkinan tersebut dan belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

Pembeli-belah Perlu Bayar 20 Sen Untuk Setiap Beg Plastik, Setiap Sabtu

MSTAR ONLINE

PETALING JAYA: Orang ramai di seluruh negara perlu membayar 20 sen untuk setiap helai beg plastik apabila mereka membeli-belah di pasar raya besar, pasar raya dan kiosk stesen minyak Petronas pada setiap Sabtu.

Langkah mengenakan bayaran tersebut yang telah pun dilaksanakan di Selangor dan diperkenalkan untuk mengurangkan lapan bilion beg plastik digunakan setiap tahun di negara ini, mengejutkan ramai pembeli-belah.

Lain-lain perkembangan:

> Jumlah bayaran yang dikenakan itu akan disalurkan ke dana khas untuk memberikan faedah kepada persekitaran dan komuniti;

> Pembeli-belah di Pulau Pinang perlu membayar beg plastik tersebut di tempat-tempat berkenaan setiap hari; dan

> Pengusaha industri plastik di Pulau Pinang yang tidak menyenangi langkah tersebut nekad untuk mengagihkan 30,000 beg plastik secara percuma kepada orang ramai.

'Peraturan untuk Wali Band sama dengan Jom Heboh'

MALAYSIA KINI

Konsert kumpulan Indonesia Wali Band yang dibantah Pemuda Umno Kelantan tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 negeri, sama seperti yang dikenakan terhadap aktiviti lain, seperti Jom Heboh anjuran TV3 suatu ketika dahulu.

Sehubungan itu, menurut Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, perkara itu merupakan pendirian kerajaan Kelantan sejak dasar
Membangun Bersama Islam diperkenal dan tidak "timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda".

"Dalam enakmen kawalan hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan dan persembahan konsert Wali Band tidak langsung melanggar enakmen tersebut.

"Manakala penganjur konsert, Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung," kata ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari.

Kelmarin Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mempersoal kewajaran kerajaan Kelantan membenarkan Wali Band mengadakan persembahannya, yang didakwa semata-mata bermotifkan politik.

Ketuanya Anuar Safian dilaporkan berkata memang menghairankan Kelantan yang dahulunya langsung tidak membenarkan konsert seumpama itu diadakan, tetapi kini demi mendapat sokongan golongan muda, parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli yang juga setiausaha kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat juga berkata, sebarang kelemahan dalam penguatkuasaan enakmen itu tidak sama sekali boleh menafikan hasrat positif yang terkandung dalamnya.

"Pemuda PAS Kelantan ingin menasihatkan Pemuda Umno Kelantan, khususnya ketuanya sendiri agar membaca dan memahami dahulu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang hanya menampakkan kedangkalan semata-mata," kata Ahmad Fadhli lagi.

Muzik bingit jadi kegilaan remaja! Gila!

DARI -http://annasru.wordpress.com

Itulah kesimpulan yang tak bermakna boleh saya gambarkan ketika berada dalam stadium sewaktu menguruskan sukarelawan Konsert Wali Band. Terlintas dalam hati saya mujurlah aku tidak pernah teruja untuk bawa anak isteri saya ke program seperti ini, walupun anak-anak saya juga fasih dengan lagu-lagu Wali Band. Saya pun kadang-kadang pelik juga di mana mereka dengar sedang saya tiada pun koleksi lagu Wali Band. Kereta saya tiada radio! Oh! Telefon Umi mereka agaknya!

Kelantan di bawah PAS sekali lagi memecah tradisi 20 tahun pemerintahannya membawa datang sebuah band yang dikategorikan sebagai band rock. Satu langkah yang berani dan bisa mengundang kontroversi. Ternyata kedengaran suara-suara bingit kontra dari dalam dan luar. Itu sudah menjadi lumrah. Pemikiran kita tidak semestinya sentiasa sehaluan dan sealiran. Pandangan yang berbeza itu kadang-kadang menghasilkan suatu natijah yang baik, berhikmah dan keputusan yang berkat.

Sungguh! Saya katakan bahawa ketika zaman kanak-kanak saya, kehidupan saya adalah di rumah. Saya seperti dikawal ketat oleh ibu saya walau pun saya selalu ikut ma dan ayah berniaga di dua permis perniagaan mereka.

Kehidupan saya boleh dikatakan berlegar di rumah kecuali ketika tengok bola. Selalunya saya bersama ayah ke Stadium Sultan Mohamad Ke IV. Jarang-jarang sekali, saya akan berjalan kaki dengan rakan-rakan ke stadium ikut jalan short cut melalui Raja Dewa, tembus ke Jalan Sultan Yahya Petra, langsung sampai stadium. Saya nak beritahu bahawa berjalan kaki dari rumah ke stadium sampai. Kalau sekarang bayar sekali pun saya tak buat. Huhu..

Stadium tentu sahaja tidak putus-putus dengan acara dan keramian. Walau pun begitu ia seperti tidak menarik perhatian saya kecuali bola. Sebutlah apa sahaja konsert, hati saya tidak sekuat tarikan untuk tengok bola yang mana abang saya adalah sayap kiri skuad Kijang ketika itu.

Kalau saya katakan tidak pernah tengok konsert mungkin saya berbohong kerana zaman Umno Barisan Nasional memerintah program maksiat seperti itu berleluasa. Tapi ia boleh dibilang dengan jari bila ada kalangan ahli keluarga (bukan adik beradik) saya yang bawa saya ke stadium. Sengoti! ketika itu, tiap kali berada dalam program yang agak bingit-bingitan, saya akan mendongak ke langit! Apa berlaku kalau Tuhan turunkan tanda-tanda pengajarannya ketika itu!!?

Cuma suasana ketika dianjur oleh Umno dan PAS yang sangat berbeza. Apa yang boleh saya katakan jika dengan cara dan sistem keselamatan seperti hari ini dikendali oleh Umno, mahu hancur lebur Stadium Sultam Mohamad ke IV! Tetapi malam semalam suasana tetap terkawal walaupun hanya pagar musang yang dipasang 100 meter dari stage.

Dulu, kawan-kawan sekampung pergi pun saya tidak join. Mungkin mereka juga rasa segan untuk ajak saya kerana walaupun saya berseluar jeans (rock la tu) sewaktu di Maahad Muhamadi, tetapi rakan-rakan sudah memanggil saya ustaz! Ustaz rock! Huhu…

Namun hari ini siapa sangka, saya bukan sahaja sering berada dalam program konsert di stadium, malah saya dilibatkan sebagai urusetia kerana saya berkhidmat dalam kerajaan. Bawah exco kebudayaan pula. Soalan.. Adakah ustaz tidak layak mengurus budaya? Owh! Tok Guru minta ustaz pun berdikir barat!

Bila berbicara dengan rakan-rakan sering saya luahkan “kalau tidak kerana tugas dan kerja, mungkin saya tak datang!” Saya ingin menzahirkan bahawa saya tidak biasa sangat dengan majlis seperti ini walaupun zaman remaja saya, boleh berkira juga lagu –lagu rock saya ingat. Tapi bukanlah yang bingit-bingit sangat! Huah!

Wali Band! Itulah yang masih bingit diperkatakan. Kumpulan tersohor dari Seberang yang dikatakan membawa unsur-unsur dakwah dan nasihat dalam lirik lagu mereka. Muzik tetap bingit, bingit bangat! Tapi liriknya ada yang positif. Ada kritik dari band bingit lain yang mengatakan Wali Band hipokrit. Saya bukan hendak bincangkan itu.

Menyoro­­t pengalaman saya berada dalam Konsert Jom Heboh di Kota Bharu awal tahun lalu. Saya bukan sekadar hadir kerana tugas, tetapi saya melihat bagaimana ragam dan reaksi anak muda yang sememangnya fanatik dengan muzik bingit. Antara artis yang diundang Raihan, Lan Typewritter, Jamal dan Jay jay. Saya melihat bagaimana reaksi berbeza remaja yang gilakan muzik itu apabila aliran muzik aliran pop dan rock bingit dipersembahkan dan aliran nasyid mengambil tempat di pentas.

Bila sahaja Raihan mengambil tempat di pentas mereka mula mengundur, duduk, bercakap-cakap, isyarat tidak minat dengan aliran itu. Tetapi apabila sahaja Lan keluar, mereka kembali merapat.

Nasyid sebenarnya punya kumpulan peminat tersendiri. Selalunya pelajar aliran agama dan pelajar IPT. Nasyid hanya menjadi hiburan aliran perdana di saat kemunculan awal Raihan. Selepas itu ia kembali menjadi milik kelompok tersendiri. Taksub nasyid pun wujud. Makan nasyid, tidur nasyid, bangun nasyid. Dalam bilik air pun bernasyid. Apa jaminan bahawa nasyid tidak membawa kelekaan! Nasyid tak bingitkah? Tak kut! Hehe..

Soalnya adakah suatu yang terlalu negatif apabila kumpulan rock seperti Wali Band diundang ke Kelantan. Saya bukan bermaksud untuk mempertahankan, atas dasar kerana saya berada dalam kerajaan. Kita bincangkan atas asas bahawa bagaimana kelak situasi kita bila Putrajaya menjadi milik kita dalam suasana politik, sosial, pemikiran rakyat dan sebagainya yang telah dirosakkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Program malam itu adalah anjuran sebuah konsultant sebagai memberi sokongan usaha pihak Cakna Palestin yang mengadakan program mereka. Kerajaan dilibatkan sebagai pihak yang bekerjasama. Yalah, apabila dilibatkan kerajaan, maka banyak perkara yang melibatkan kerajaan menjadi mudah. Tempat, pelbagai kemudahan, bajet lebih kurang dan sebagainya.

Berbalik kepada persoalan waqi’e dakwah. Kenapa Datuk Seri Ustaz Azizan yang menerajui kerajaan PAS Kedah tidak menutup semua kedai arak terutama di Langkawi yang bukan setakat merata, bahkan berlambak wak. Adakah Tuan Guru itu tidak patuh pada ajaran syariat yang tidak ada kompromi lansung tentang haramnya arak. Kerja jaga di kedai arak pun haram, apatah lagi menjadi cashernya. Tidak lain kerana berhikmah dalam berdakwah. Bukan mudah untuk membenteras 1001 tahi-tahi kemungkaran yang ditinggalkan oleh pemerintah sebelumnya.

Saya bersependapat dengan sahabat guru saya, Ustaz Nik Abduh lewat pertanyaan saya kepadanya, bagaimana kedudukan seni seperti ini kelak bila Islam yang memerintah. Ringkas sahaja beliau menjawab “dengan sendiri rakyat tak akan mahu..”

Ternyata 20 tahun PAS memerintah Kelantan, masyarakat yang tidak mahukan program seperti konsert wujud tetapi masa seiring dengan itu lahir remaja yang hidup dalam dunia yang direka oleh Yahudi. Muzik adalah kegilaan remaja yang sukar dibendung. Apabila kita memerintah adakah dalam tempoh 24 jam kita akan mengharamkan terus muzik? Buat masa ini saya tidak fikir begitu.

Remaja perlu dilayan mengikut citra mereka, tanpa membiarkan mereka hanyut tanpa kawalan. Kita di Kelantan memperkenalkan Enakmen Kawal Hiburan tanpa menyekatnya. Kawal, bukan sekat. Jika enakmen tidak dipatuhi, maka ia tidak dibenarkan. Itu adalah usaha kita.

Namun buat masa ini, sebagai jalan dan cara untuk kita mencari puncak kemenangan, kita perlu memenangi hati dan citarasa masyarakat yang pelbagai. Asasnya Islam bukan agama regid sebagaimana yang digambar oleh barat. Walaupun tidak rigid tetapi bukan bermakna kita boleh bermudah-mudah. Dasar tetap menjadi dasar yang perlu dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir. Prinsip dan methodogi yang boleh berubah mengikut masa dan keadaan.

Cukup mudahkah kita ingain mendakwah remaja untuk join program kita seperti memetik jari? Jom gi masjid, jom dengar nasyid, mari pergi ceramah, jom join usrah! Begitu mudah sekali?

Malangnya kita hanya tahu mengkritik, menghentam dan memberi komen yang emosional tanpa menghulur tangan untuk bersama menanganinya. Lagi malang memerhati dari jauh, kemudian menunggu peluang untuk menghentam dan terus menghentam. Bila diajak untuk berdakwah, paling kurang edar risalah seperti yang dilakukan oleh Sukarelawan malam itu pun, masing-masing mula bergeliat. Baik minum air di kedai katanya, atau main futsal lagi menyihatkan badan sendiri. Sendiri!!. Biarlah puak-puak itu punah dengan kepunahan akhlak mereka.

Tetapi sungguh! Semalam hati saya agar berdebar. Bukan berdebar kerana muzik bingit yang bisa mencopot jantung saya, tetapi terkilan dengan pihak pengurus konsert, Anjung Tulus yang tidak secukupnya tulus. Kerajaan positif bila mereka juga tidak bersetuju jika ada countdown. Katanya mengapa harus mengikut budaya barat. Saya mungkin boleh berkompromi dengan muzik bingit Wali Band tetapi tidak dengan pihak yang gagal mematuhi enakmen kawalan hiburan. Atas kertas panganjur bersetuju membuat halangan pemisah antara penonton, tetapi mereka hanya membuat halangan antara pentas dan penonton. Ternyata mereka hanya jaga Wali Band dan tidak jaga pengasingan penonton. Alasan mereka pihak stadium yang mensyaratkan saat akhir padang tidak boleh dipijak tidak boleh diterima. Padanlah muka mereka rugi kerana jualan tiket yang lembab. RM 20 besar bagi orang Kelantan besar. Lebih mahal dari tiket bola kata bos saya. Yang jadi mangsa Sukarelawan. “ aku beli tiket mahal-mahal duduk jauh.” “ Ikut kawe nok duk mano pun.” Itu pula herdikan mereka bila Sukarelawan menegur tempat duduk. Itu orang lain tak rasa kecuali Sukarelawan kami.

Khabarnya selepas ini Maher Zain pula akan datang. Pastinya saya juga akan terlibat walaupun sekadar jong gi mari gi mari. Bos saya adalah orang yang bertanggungjawab akan membawa Maher Zain. Saya cukup yakin dengan cara dan pengurusan bos saya. Walau pun saya juga minat lirik lagu Maher Zain, tetapi kalaulah majlis ini diserahkan kepada pihak yang tidak cakna dan tak menghayati aspirasi pihak kerajaan, saya rasa tak payahlah dianjurkan, walaupun Maher Zain dikategorikan sebagai penasyid. Nasyid yang pastinya bingit cara nasyid!

Sarawak akan dipertahan ‘deposit hayat’ BN

BERNAMA

.
DARO — Barisan Nasional (BN) Sarawak yang diterajui Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memastikan Sarawak kekal sebagai deposit tetap kepada BN pada pilihan raya negeri dan umum akan datang.

Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah berkata hakikatnya Sarawak masih lagi menjadi kubu kuat BN dan kedudukan itu harus dipertahankan pada pilihan raya negeri ke-10 yang mungkin akan diadakan dalam tempoh masa terdekat selain pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Pada pilihan raya umum lalu jika dikira undi BN di Semenanjung pastinya kurang, namun Sarawak dan Sabah telah memastikan BN kekal memerintah dan PBB sebagai komponen BN mempunyai jumlah ahli Parlimen yang ketiga terbesar iaitu 14 anggota selepas Umno dan MCA,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ambang Tahun Baru di Kampung Tian di sini semalam.

Ketika ini BN Sarawak menguasai 29 daripada 31 kerusi di Dewan Rakyat dan 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tempoh penggal DUN Sarawak dijangka berakhir pada penghujung Jun tahun ini.

Dalam pada itu Wahab berkata semua anggota Parlimen BN dijangka akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Januari ini yang antara lain untuk membincangkan isu tertunggak yang dihadapi di setiap kawasan Parlimen.

Isu SUK: Nizar ramal Pakatan mungkin hilang sokongan Melayu



Nizar berkata Khalid akan dituduh menderhaka terhadap Sultan Selangor. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya.

“Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” kata beliau sambil menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Selangor.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya, Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik.

“Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil.

Semalam The Malaysia Insider melaporkan pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari berpendapat peluang terbaik yang ada pada Khalid bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi semalam, Khalid berkata, beliau kesal kerana Sidek yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa semalam

Krismas: Ridhuan Tee pertahan Najib, tidak mahu Putrajaya minta maaf

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Kolumnis kontroversial Mingguan Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempertahankan dakwaan permintaan pegawai-pegawai Datuk Seri Najib Razak agar simbol-simbol Kristian dialih dan tidak diadakan doa selamat ketika perdana menteri menghadiri majlis jamuan teh sempena sambutan Hari Krismas minggu lalu.

Malah dalam ruangannya disiarkan hari ini, Ridhuan juga mengecam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, yang meminta Najib agar memohon maaf berhubung perkara tersebut.

Seterusnya, Ridhuan juga berkata, jikapun benar permintaan sedemikian Najib dan pegawai-pegawainya tidak perlu memohon maaf atas tindakan mereka dan ia bukan satu perkara berat.

“Pada saya, jika benarlah berita tersebut, permintaan pejabat Perdana Menteri itu tidaklah terlalu berat.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan tindakan untuk menghalang kebebasan beragama kecuali mereka yang ingin mendapatkan laba politik,” kata beliau dalam tulisan terbaru bertajuk “Politik murahan yang memualkan”.

“Ultra kiasu sungguh mereka yang tidak sedar diuntung ini. Mencari politik murahan yang amat memualkan dalam keadaan umat Islam tersepit,” kata beliau merujuk kepada desakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Najib memikul tanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf secara terbuka berhubung sikap “tidak senang” akibat tindakan pembantunya ketika majlis sambutan Krismas anjuran Ketua Biskop Katolik pada Hari Krismas.

Gesaan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa pegawai-pegawai Najib mengarahkan kepimpinan gereja mengalih salib dan simbol-simbol lain daripada lokasi majlis itu, yang diadakan di Bukit Nanas di sini sebelum ketibaan Najib.

Selain itu, him dan doa juga dilarang ketika kehadiran Najib.

Sumber-sumber mendedahkan bahawa arahan itu dikeluarkan tanpa pengetahuan Perdana Menteri.

Pemimpin-pemimpin DAP, PAS dan PKR menggesa Najib agar bertindak segera dan menjelaskan pendirian beliau mengenai arahan itu atas alasan sebarang kelewatan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum yang rapuh.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad menggambarkan tindakan pembantu-pembantu Najib itu sebagai sikap “tidak boleh bertolak ansur”, malah mencerminkan sikap kerajaan pusat Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok menuduh perdana menteri cuba untuk mengongkong kebebasan agama dan menuntut beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya serta memohon maaf.

Penganut agama Kristian ada hak untuk tersinggung, kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menambah, syarat-syarat yang dikenakan ke atas Gereja Katolik menunjukkan sikap Umno dan BN yang mahu terus meletakkan negara ini berpecah dalam soal agama.

Tulisan Ridhuan juga mendakwa selama ini tidak ada siapapun melarang sambutan Krismas sehingga menenggelamkan suasana bandar raya walaupun bilangannya begitu sedikit.

Katanya, sambutan Krismas seolah-olah mempamerkan penganutnya lebih 50 peratus di negara ini.

Pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini menambah, atas dasar menghormati kebebasan beragama, tidak ada larangan untuk mengehadkannya walaupun sepatutnya berpada-pada dengan bilangan kurang 10 peratus.

“Pemimpin PAS Shah Alam begitu beriya-iya mempertahankan isu ini dan mendakwa Perdana Menteri tidak mengamalkan toleransi beragama.

“Pada saya toleransi yang ditunjukkan oleh pemimpin negara selama ini terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berapa banyak cuti perayaan bukan Islam yang diberikan cuti umum? Bandingkan perayaan-perayaan Islam di negara bukan Islam,” katanya dengan meminta agar dilihat suasana di Singapura.

“PAS tidak perlulah menangguk di air yang keruh. Saya yakin jika pemimpin PAS Shah Alam itu bertanding atas tiket ultra kiasu di salah satu kawasan Parlimen Kuala Lumpur, sudah tentu sambutan yang diterima amat luar biasa kerana beliau jelas mewakili suara bukan Islam,” katanya yang juga Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Ridhuan menyindir dengan berkata malang sungguh rakyat Shah Alam mendapat pemimpin sebegini rupa.

“Ternyata suara ketua ultra kiasu Selangor dan pemimpin Shah Alam ini sama dan senada, cuma agama sahaja yang berbeza. Jika tidak, mungkin mereka berjodoh,” katanya.

Beliau menambah, penganut Kristian berhak untuk menyambut perayaan mereka tetapi mahu mereka juga patut menghormati Perdana Menteri selaku seorang pemimpin nombor satu yang beragama Islam.

“Jika mengikut hukum, banyak perayaan agama bukan Islam yang tidak boleh dihadiri oleh orang Islam. Tetapi atas toleransi dan keharmonian, pemimpin negara kita buat pejam mata sahaja. Saya juga ingin mendapat komen pemimpin PAS dalam hal ini. Dan juga, apakah hukum membina patung Buddha yang begitu besar di Kelantan dengan bilangan penganut mereka yang begitu sedikit di sana?” katanya.

Ridhuan juga menyoal sama ada cacatkah majlis tersebut dengan ketiadaan lambang-lambang tersebut.

“Selama ini kebanyakan sambutan perayaan Malaysia diadakan di tempat terbuka yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

“Kali ini Perdana Menteri bermurah hati menerima jemputan yang diadakan di rumah biskop tersebut.

“Sudah tentu lambang-lambang keagamaan bersepah-sepah di rumah tersebut. Apakah permintaan Perdana Menteri begitu besar kesalahannya, hanya semata-mata untuk mengelakkan fitnah?” katanya lagi.

Seiring dengan tajuk tulisannya, Ridhuan berkata, politik murahan hari ini hanya menunggu masa untuk menjatuhkan seseorang.

“Seribu kebaikan akan dilupakan hanya dengan satu kesilapan atau kesalahan. Inilah politik kotor saling jatuh-menjatuh yang tidak pernah berkesudahan kalangan orang Melayu Islam?

“Lebih hina lagi pemimpin ini membanding dengan, apakah mungkin Perdana Menteri akan mengalihkan patung-patung di Batu Caves jika ada jemputan dibuat daripada penganut Hindu di sana?” katanya.

Sambil berkata ia merupakan dua isu yang berbeza, Ridhuan berkata, beliau yakin semua pemimpin Islam tidak akan berada selesa jika majlis keramaian atau perayaan diadakan di tempat-tempat ibadat.

Ridhuan berkata, sambutan Krismas tidak sepatutnya dibuat di gereja atau di rumah paderi tetapi di tempat umum.

“Sama juga sambutan di Tahun Baru Cina, tidak wajar di adakan di tokong atau kuil Cina kerana sambutan tersebut tidak sesuai diadakan di sana kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah,” katanya lagi.

Beliau menambah, kesediaan dan kesudian Perdana Menteri yang sanggup “mencemar duli” pergi ke “rumah ibadat” tersebut sepatut diberikan penghargaan dan pujian, bukannya dilacurpolitikkan.

Bayangkan jika Perdana Menteri tidak berhati-hati dan terus pergi ke “rumah ibadah” tersebut, tiba-tiba muncul gambar Perdana Menteri bersama-sama lambang salib di atas kepalanya.

“Tidakkah nanti akan dipolitikkan oleh pembangkang ketika pilihan raya.

“Saya masih teringat bagaimana lambang salib dijadikan isu untuk mengaibkan dan menjatuh pemimpin Islam satu ketika dahulu. Tidak kiralah siapa yang melakukannya, tetapi semua peristiwa ini perlu dijadikan teladan,” katanya.

Ridhuan berkata, kalaupun tiada arahan sepatutnya pihak gereja perlu faham sensitiviti masyarakat Islam di negara ini setelah lebih 53 tahun merdeka.

“Jika perkara ini sudah tidak menjadi sensitif lagi, saya cadangkan Menteri Besar Selangor atau Menteri Besar Kelantan, satu hari nanti mungkin boleh mengambil kesempatan untuk merasmikan tokong atau gereja orang bukan Islam?

“Saya yakin orang bukan Islam juga tidak akan berasa selesa jika kita panggil menghadiri majlis keagamaan orang Islam di dalam masjid,” katanya.

Beliau menambah, sebenarnya ada banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat terhadap agama lain tidak semestinya melalui jemputan rumah terbuka, apatah jika dibuat di tempat ibadat.

“Saya tidak pasti, apakah Perdana Menteri akan melakukan permohonan maaf atau tidak. Dalam isu ini, yang pasti Perdana Menteri tidak bersalah.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Tetapi amatlah tidak molek dan bersopan, jika kita memaksa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka seperti yang cuba dilakukan oleh (Mursyidul Am PAS, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat),” katanya lagi.

Empat Manfaat Kenapa Kita Harus Menikah

SABAH DAILY




Pernikahan tentu memerlukan usaha bersungguh-sungguh. Jika setelah menikah anda mendapat kebahagiaan dalam sebahagian besar hidup. Anda dan pasangan akan mendapatkan banyak keuntungan terutama dari segi kesihatan.

“Orang yang sudah menikah dapat memiliki sebuah sistem saling membangun dukungan dan jaringan sosial. Salah satu darinya anda mungkin dapat memberi dukungan pada yang lainnya untuk makan lebih sihat atau saling bersemangat untuk bersukan atau untuk berhenti merokok, “ jelas Alice Domar, Ph.D, salah satu penulis di Live a Little.


Lalu apa manfaat pernikahan ?

1. Turunnya Risiko terkena penyakit kencing manis atau diabetes.

Wanita dengan catatan glukosa dalam darah tinggi sangat cenderung berakhir dengan diabetes kronik. Risiko lebih besar jika mereka tinggal sendirian dibandingkan jika tinggal dengan pasangan. Hal ini menurut penelitian yang diterbitkan dalam jurnal Diabetes Care.

2. Jarang terkena hipertensi (Tekanan Darah Tinggi)

Para peneliti dari Brigham Young University menemukan bahwaa orang-orang yang bahagia dalam pernikahan mereka memiliki tingkat tekanan darah yang bagus, kecuali yang pasangannya melakukan Kekerasan Dalam Rumah Tangga (KDRT).

3. Merokok atau minum-minum akan berkurang

Orang yang tidak menikah, bercerai atau janda lebih dalam hal merokok dan minum – minum. Hal ini menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit.

4. Berumur Lebih panjang

Orang yang tidak menikah 58% lebih memiliki kecenderungan meninggal dunia lebih cepat. Hal ini diungkapkan sebuah studi dalam Journal of Epidemiology and Community Health.(Erabaru/ngrh)

Selingan:

- Dari kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Seorang solehin dahulunya jika ditawarkan supaya berkahwin pasti menolak, tiba-tiba pada suatu hari dia bangun dari tidur dan berkata; "Kahwinkanlah aku, kahwinkanlah aku."

Orang ramai pun bertanya; "Mengapa tiba-tiba kamu minta kahwin padahal selama ini engkau sentiasa menolak?"

Jawabnya; "Semoga aku mendapat anak, lalu mati ketika masih kecil sehingga menjadi perintis bagiku ke Akhirat."

"Apa maksud kata-kata kamu ini?" tanya orang lagi.

"Aku telah bermimpi seakan-akan hari Kiamat telah tiba dan aku berdiri bersama orang ramai di Mahsyar, dengan rasa yang amat haus sehingga hampir mematahkan leherku.

Tiba-tiba aku nampak anak-anak kecil membawa gelas-gelas perak yang ditutupi sapu tangan dari cahaya. Anak-anak itu mencelah-celah di kalangan orang ramai untuk memberi minum satu-satu.

Aku pun menghulurkan tanganku pada mereka dan berkata; berikan padaku kerana aku juga sangat haus. Tiba-tiba anak-anak kecil itu melihat padaku dan berkata; anda tidak mempunyai anak di kalangan kami dan kami ini hanya memberi minum kepada ibu dan ayah kami. Aku pun bertanya; siapakah kamu? Jawab mereka; kami anak-anak kecil yang mati dari kaum Muslimin.

Moralnya:

Nasihat GB kepada anak dara atau janda, pemuda atau duda, segeralah bernikah demi mengelakkan diri dari tercebur ke lembah dosa dan noda.

Kalau boleh dapat secara halal, kenapa nak pilih secara haram?
Kelau benar kata cinta, beritahu dia, kenapa kita tak nikah saja?
Kerana entah esok lusa salah seorang dari kita, atau kedua-dua, mungkin tiada.
Dalam akhbar sentiasa ada berita, Tuhan ambil nyawa, tak kira masa dan ketika, ada kemalangan yang lansung tak terduga. Sebagai peringatan buat semua.

Gelombang dan gelora untuk melakukan zina pula semakin hari semakin menggila - menunggu mangsa bila-bila masa, walaupun seorang merasa iman dan Islamnya dah cukup kuat pun, tamsilnya di hari hujan yang lebat, payung besar mana pun, tempiasnya tetap terkena jua. Kita masing-masing tak tahu keadaan "mati" kita macamana. Itu sebab kita dianjur supaya sentiasa berpesan-memesan sesama kita:

Demi masa
seseungguhnya manusia itu dalam kerugian
kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh
pesan-memesan dengan kebenaran
pesan memesan dengan kesabaran

- Al-Ikhlas

PKR DESAK RAIS YATIM LETAK JAWATAN

SABAH DAILY

PARTI Keadilan Rakyat Sabah mendesak Menteri Komunikasi, Multimedia dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim meletakkan jawatan SERTA MERTA dan mencabar Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail menjalankan siasatan dan mendakwa Rais di mahkamah atas kesalahan melakukan jenayah di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan; sebagaimana yang didedahkan Wikileaks.

Ketua Cabang PKR Silam, Johani Abdul Halim ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi kesal kerana Kabinet Malaysia di era Pak Lah melindungi menteri berkenaan yang telah mencemarkan kesucian agama Islam, menjatuhkan imej Negara dan melakukan jenayah rogol terhadap pembantu rumahnya pada 2007.

“Jika pemimpin yang rendah moral seperti ini dilindungi, maka ramai lagi akan bertindak mencemarkan imej Malaysia di mata dunia. Jika pemimpin Pakatan Rakyat dilemparkan pelbagai tuduhan, kini tibalah masanya pemimpin UMNO/BN membuktikan kejujuran dan ketegasan mereka membanteras jenayah,” ujar Johani yang kesal kerana Mantan Perdana Menteri tergamak bersubahat menutup kegiatan sumbang yang dilakukan oleh menteri kabinet.

Johani memuji sebuah NGO, Migrant Care yang dilaporkan telah menemuramah pembantu rumah yang menjadi mangsa keganasan seksual Rais (Gambar di atas) sebagaimana laporan yang didedahkan Wikileaks.

Sehubungan itu, Johani turut mencadangkan agar gelaran ‘Datuk Seri’ Perogol berkenaan ditarik balik kerana mencemarkan duli Sultan yang menganugerahkan pingat kebesaran berkenaan.

Selain daripada Rais, seorang menteri Kabinet Sabah juga dikatakan mempunyai Skandal Seks dengan gadis bawah umur sejak dua tahun lalu namun didiamkan oleh ibu bapa dan keluarga gadis kerana bimbang dengan pengaruh menteri berkenaan dan setelah mendapat imbalan yang cukup besar.

Manakala seorang Pembantu Menteri yang masih berkhidmat di Sabah juga mempunyai rekod merogol pembantu rumah dan adik iparnya namun kes tersebut ditutup begitu sahaja. Pembantu menteri berkenaan kini mempunyai Skandal Seks dengan Ketua Puteri UMNO. Sabahkini.net akan membuat pendedahan lengkap setelah mendapat nasih peguam.

1.1.11- Tahun Politik Munafakat

http://www.nobisha.com

Menoleh kembali 2010, malah melihat semula politik Malaysia pasca PRU12 – saya masih berpegang dengan apa yang saya tulis dalam buku “Tunggu Apa Lagi”.

Politik Malaysia ialah politik sarkas; perubahan hanyalah retorik dan pemimpin politik kita seperti kuali mengatakan cerek hitam – mereka masih bermain politik kapalterbang dan melakukan “astroturfing”; seolah-olah rakyat / pengundi terlalu dungu untuk melihat retorik dan permainan politik sedemikian.

Datang 1 Januari 2011 – 1.1.11 – saya fikir kita ada beberapa pilihan.

Pertama, kita menyertai politik sarkas sedemikian. Sama-sama menjadi badut politik dan melompat ke sana-sini seperti mereka.

Kedua, membawa diri dari politik. Membiarkan politik kepada “politikus” (iaitu mereka yang seperti tikus membaiki labu) atau “politikawan” (iaitu orang politik yang pandai menjaga kroni dan kawan-kawan).

Atau, ketiga, kita menjadi orang yang berjiwa besar dan berusaha membawa perubahan. Untuk menjadi manusia sebegini, kita harus meletakkan diri di atas pemimpin-pemimpin politik berjiwa kerdil.

Saya memilih pilihan ketiga dan saya mengajak anda untuk bersama-sama saya pada awal tahun baru ini. Untuk menjadi orang yang berjiwa besar, kita harus mampu membezakan antara “matlamat” dan “cara” atau proses. Fokus kepada matlamat.

Dalam hal ini, kita harus berusaha menarik pemimpin-pemimpin politik Islam / Melayu untuk kembali melihat matlamat perjuangan. Dalam politik pertentangan (dalam buku “Tunggu Apa Lagi” – saya menyeru kepada “politik muafakat”), kita menyaksikan pemimpin-pemimpin politik bertelagah dalam semua perkara.

Hari ini, saya fikir rakyat sudah tidak lagi menunggu komentar pemimpin politik. Mereka sudah tahu apakah yang akan diucapkan. Inilah jadinya apabila pemimpin politik masih menggunakan skrip lama, pengarah lama dan aktor lama untuk mementaskan politik di alaf baru.

Apabila mereka buka mulut, sah itulah yang rakyat fikir mengenai mereka selama ini. Pemimpin politik sudah tidak mampu memimpin pendapat rakyat lagi. Sesetengahnya hanya berlagak menjadi lebih putih dari orang lain yang “kelihatan” putih.

Tiba 1.1.11 – cukuplah politik sarkas ini. Pemimpin politik wajar diingatkan kepada politik muafakat. Malah, mereka harus diingatkan secara tegas bahawa mereka perlu memiliki kemahiran membina muafakat atau konsensus. Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bukan tempat berbalah, tetapi tempat anggota legislatif yang dipilih rakyat membina muafakat.

Sejak PRU12 – malah sebelum itupun! – apa yang disebutkan sebagai “dewan yang mulia” itu hanya menjadi tempat “bulldozer”. Kerajaan bersama penyokong-penyokongnya menolak apa sahaja yang ada di hadapan mereka; manakala pembangkang akan berdiri di hadapan untuk dilihat sebagai hero. Pilihanraya 8 Mac 2008, tidak mengubah apa-apa. Apa yang berubah hanyalah aktor.

Dalam konteks politik Islam / Melayu, saya ingin melihat pemimpin-pemimpin politik Islam, tak kiralah dari parti apa sekali pun, untuk duduk bermuafakat. Mereka harus secara jelas menggariskan perkara-perkara yang dipersetujui untuk kepentingan agama dan bangsa. Ini bukan isu untuk dipolitikkan dan setiap pihak harus menerimanya. Usah politikkan isu-isu pokok. Sekiranya perlu berbalah, biarlah ia merupakan isu-isu cabang.

Sekiranya pemimpin-pemimpin politik kita tidak mahu atau tidak mampu berbuat demikian, maka saya fikir inilah masa untuk kita menukarkan mereka dengan pemimpin politik baru yang mempunyai idealisme perjuangan yang jelas.

Sekarang – bukannya 1.1.12!