HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 April 2016

Tawaran baru - Sarawak boleh paksa Najib undur

Liew Chin Tong  




ULASAN l Tawaran Baru untuk Sarawak - melalui penurunan kuasa kepada negeri dalam bidang pendidikan, kesihatan, polisi perbandaran, pengangkutan, disokong oleh perkongsian cukai yang lebih tinggi antara kerajaan persekutuan dan Sarawak (mengambil kira 50 peratus cukai pendapatan yang dikutip oleh negeri diberikan kepada negeri) - perlu menjadi tema kempen utama untuk pilihan raya negeri ke-11.

Pilihan raya 2016 negeri Sarawak bakal menyaksikan penzahiran peningkatan kebencian di kalangan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bahkan Umno.

Tidaklah terlalu sukar difahami, kebanyakan rakyat Sarawak merasakan bahawa Putrajaya bertindak sebagai pusat memerah cukai serta hasil sumber bumi yang berharga dari Sarawak, kemudian digunakan untuk projek-projek mewah yang menelan belanja tidak masuk akal, sedangkan rakyat Sarawak terus kekal hidup dalam kesengsaraan, kemiskinan dan pembangunan negeri yang amat perlahan.

Meskipun tidak popular, kerajaan persekutuan pimpinan Najib dengan begitu cermat berterusan menjaga struktur kuasa yang berpusat di Sarawak tanpa memiliki sedikitpun keazaman politik untuk memikirkan semula bagaimanakah kuasa yang lebih luas dapat diturunkan kepada negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam merangka dasar-dasar awam dalam kerangka yang lebih demokratik.

Hal ini hakikatnya mampu mengukuhkan Sarawak dan mengelakkan isu pemisahan melibatkan Semenanjung Malaysia dan negeri di kepulauan Borneo ini.

‘Cash is king’ - Itulah resipi mudah Najib untuk Sarawak. Resipi yang telah diketahui umum menjadi modus operandi di hampir lima puluh kawasan lawatan beliau ke Sarawak sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

Keseluruhannya tidak lain adalah ibarat menabur wang persekutuan untuk pelbagai projek. Projek yang akhirnnya hanyalah memberikan lebih manfaat kepoada kontraktor berbanding anak-anak Sarawak sendiri.
Populariti Adenan

Sebaliknya, Ketua Menteri Adenan Satem, yang menggantikan Taib Mahmud pada tahun 2014, adalah agak popular. Dengan gaya yang santai, latar sejarah politik yang lebih bebas-nepotisme dan pelbagai pengumuman popular beliau, mampu menarik minat pengundi.

Pada dasarnya, Adenan menjadi ‘idola segera’ di Sarawak dengan tidak membawa imej ‘Taib’ mahupun ‘Najib / Umno’.

Adenan pada awalnya membawa agenda penurunan kuasa / desentralisasi tetapi akhirnya beliau sedar bahawa berurusan dengan kerajaan persekutuan tidak lebih hanyalah ibarat mencurah air di daun keladi.

Justeru, beliau telah memanfaatkan elemen permusuhan anti-Putrajaya yang telah ditafsir semula sebagai anti-Malaya.

Namun secara umum, ia lebih mudah diinterpretasikan sebagai anti kepada sebarang perkara yang datangnya dari Semenanjung Malaysia yang akhirnya ibarat menyimbah minyak ke api terhadap sentimen ‘Sarawak untuk rakyat Sarawak’.

Pun begitu, mengusir atau melarang ahli-ahli politik pembangkang dari Semenanjung tidak akan membantu memperkasakan rakyat Sarawak.

Begitu juga, memberi Adenan kemenangan besar pada pilihan raya negeri tidak akan bermakna kerajaan persekutuan Najib akan melakukan apa sahaja untuk mengubah kehidupan rakyat biasa di Sarawak agar menjadi lebih baik.

Memenangi lebih kerusi 

Dari sudut politik, demi rakyat Sarawak secara umumnya, penambahan kemenangan pihak pembangkang di beberapa lagi kerusi Sarawak mampu menganjak Adenan untuk memikirkan semula kesetiaannya kepada Najib.

Adenan sekarang ini mengawal 25 kerusi Parlimen yang merupakan satu jumlah signifikan dalam menentukan jatuh bangun Perdana Menteri Najib.

DAP dan PKR masing-masing telah memenangi 12 dan 3 kerusi DUN pada pilihan raya negeri 2011. Jika pembangkang boleh meraih kemenangan sekurang-kurangnya 20 kerusi mengambil kira penambahan kerusi legislatif (dari 71 kepada 82 kerusi), Najib mungkin tidak dapat lagi bertahan terlalu lama.

Oleh itu, kesediaan untuk berpartisipasi dalam wacana lebih besar bertitik tolak dari pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah amat mendesak bagi mereka yang serius ingin melihat Najib berundur.

Soalnya, bolehkah penyingkiran Najib memberikan tawaran baru untuk Sarawak? Mampukah tawaran baru untuk membawa perubahan terhadap rakyat biasa di Sarawak?

Adakah penurunan kuasa lebih luas kepada negeri tidak akan disalahguna dan dimanipulasi oleh kelompok elit berkuasa yang sedia ada?

Tawaran baru untuk Sarawak adalah tentang ‘menarik tangan’ seberapa banyak rakyat Sarawak daripada berterusan berada dalam lohong kemiskinan dan kedhaifan.

Dan Adenan pula, setelah gagal menarik Najib agar memberikan kuasa autonomi lebih besar kepada Sarawak, beliau tidaklah memiliki tawaran agenda lebih serius untuk dikemukakan kepada rakyat melainkan sekadar bersandar pada daya tarikan personalnya sahaja.

Saya merasakan sekiranya Adenan berhadapan pilihan raya pada tahun lalu sebelum cukai GST dilaksanakan dan sebelum agenda autonomi beliau di‘bakul sampah’kan oleh Najib setelah beberapa kali rundingan, beliau barangkali boleh mengecapi kemenangan besar.

Ekonomi hari ini dalam keadaan parah. Rakyat disetiap lapisan benar-benar terjejas akibat GST.

Ada juga yang terhimpit akibat kehilangan pekerjaan daripada industri minyak dan gas di Bintulu dan Miri. Walaupun Najib setuju membayar peratusan royalti minyak lebih tinggi semasa pilihanraya negeri untuk meningkatkan sokongan kepada Adenan, keadaan harga minya dunia yang rendah tidak akan memberi banyak makna.

Berikan lebih kuasa kepada negeri
Kini adalah masanya untuk Malaysia memikirkan semula konsep persekutuan yang mensasarkan untuk memberikan lebih kuasa kepada negeri khususnya Sarawak dan Sabah.

Jika 50 peratus daripada cukai pendapatan yang dipungut di Sarawak diserahkan kepada kerajaan negeri Sarawak, perkiraan fiskal yang baru akan menggalakkan Sarawak agar kurang bergantung pada industri ekstraktif untuk mengumpul pendapatan seperti jualan tanah, pembalakan, minyak dan gas, dan sebagainya. Ini seterusnya memberi kesan positif untuk alam sekitar dan kemampanan.

Reka bentuk baru ini akan membantu Sarawak untuk menjadi lebih fokus untuk mengecapi pertumbuhan yang berkualiti dan pengagihan yang lebih baik kerana lebih banyak syarikat dan pembayar cukai membayar cukai yang lebih baik untuk kerajaan negeri.

Dalam usaha untuk mendapatkan pembayar membayar cukai, mereka perlu dibantu bagi memperolehi kapasiti untuk mencapai tahap dimana mereka boleh cemerlang.

Akhirnya, walaupun selepas perkongsian separuh daripada cukai pendapatan yang dikumpul, kerajaan persekutuan akan mengumpul lebih banyak cukai jika ekonomi berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang.

Pada masa yang sama, cukai yang dikongsi bersama Kerajaan Negeri adalah bagi membolehkan negeri mengurus dan menyediakan prasarana pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan polisi perbandaran yang dipacu dan dikawal selia oleh Sarawak sendiri untuk memajukan kehidupan dan nasib masa depan mereka.

Aspek-aspek yang disebutkan adalah dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab negeri di banyak negara-negara yang mengamalkan federalisme seperti Australia dan India. Malaysia tidak terkecuali.

Malah, sejarah menunjukkan bahawa kerajaan negeri Sarawak sendiri telah mengurus selia sistem persekolahan mereka secara mandiri sehingga 1970-an.

Penurunan kuasa dan demokrasi
Adakah cadangan diatas membuka ruang-ruang untuk berlakunya kezaliman?

Jawapan saya, tanpa penurunan kuasa kepada kerajaan negeri sekalipun, Sarawak telah dikendalikan oleh pemerintah-pemerintah yang zalim selama beberapa dekad.

Penurunan kuasa / desentralisasi akan berfungsi dengan baik dalam sebuah pengamalan sistem demokrasi yang tulen.

Tawaran baru untuk Malaysia hendaklah mengangkat pengamalan sistem demokrasi tulen dimana kebebasan media, kebebasan bersuara, kebebasan untuk berhimpun yang dijamin; badan kehakiman yang tidak korup; institusi anti rasuah yang bebas dari campur tangan politik; dan sistem pilihan raya adalah adil dan bersih.

Dan demokrasi tulen yang dapat berfungsi mengawasi dan mencegah pemerintahan kuku besi adalah lebih baik daripada rejim autoritarian.
DAP Sarawak telah mencadangkan beberapa idea di atas dalam Deklarasi Bintulu pada Oktober 2014 dan kini masanya untuk perkara tersebut diperdebatkan secara lebih serius.

Pun begitu, tawaran baru Sarawak adalah sebuah keperluan mendesak dan ia tidak seharusnya datang dari DAP samata-mata.

Sebelum semboyan pilihan raya Sarawak ditiupkan, setiap orang yang mahukan Najib berundur perlu bertanya kepada diri mereka sendiri; apakah yang mereka boleh tawarkan untuk rakyat biasa di Sarawak.

Tawaran jangka panjang yang dapat memberikan kebaikan meliputi aspek ekonomi dan kualiti kehidupan.

Setiap orang yang mahu Perdana Menteri berundur perlu memberi perhatian serius kepada pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Hanya penurunan kuasa yang diiringi keazaman politik yang ikhlas dan tulen dalam konteks demokrasi sahaja, boleh memacu negara ke mercu kejayaan.

Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang


Pemuda AMANAH nafi maklumat ‘rusuhan’ IGP

MALAYSIAKINI




Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin menafikan beliau mengeluarkan kenyataan melalui laporan 'BN hanya boleh digulingkan melalui rusuhan besar-besaran' yang disiarkan di sebuah portal.

Susulan laporan itu Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan arahan supaya pemimpin AMANAH itu ditangkap.

Shazni berkata, beliau telah melakukan semakan dan mendapati laporan mengenai perkara itu dipetik daripada sebuah “portal hantu”.

"Portal yang tidak diketahui 'pengelola' serta sebarang alamat ini memberikan ulasan yang jauh terpesong daripada artikel saya disiarkan portal Free Malaysia Today.

"Saya sekeras-kerasnya menafikan ulasan fitnah yang dibuat portal www.bicara.news tersebut ke atas artikel saya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Khalid seharusnya menyemak dahulu sumber maklumat sebelum mengeluarkan sebarang arahan.

"Memberikan arahan berdasarkan sumber maklumat yang salah merupakan satu penganiayaan kepada diri saya sebagai warganegara.

"Kaedah ini tidak betul memandangkan isu utama yang dibangkitkan dalam artikel asal adalah GST yang jelas membebankan rakyat sepanjang tempoh setahun ini," jelasnya.

Terdahulu Shazni berkata, beliau menerima gambar melalui aplikasi WhatsApp yang memaparkan arahan Khalid melalui akaun Twitter.

"Saya anggap ini satu ugutan bagi mematikan mood penolakan rakyat terhadap Najib dan BN.

"Pihak IGP seharusnya lebih profesional dalam melaksanakan tugas, bukan memberikan arahan di Twitter berdasarkan fitnah daripada 'portal hantu' yang tidak diketahui hujung pangkal kebenarannya," tegasnya.


WSJ: Dana AS$155 juta 1MDB biayai 'Wolf of Wall Street'

MALAYSIAKINI




Siasatan di dua negara mempercayai dana 1MDB berjumlah AS$155 juta (RM603 juta) disalurkan ke syarikat produksi Red Granite bagi penerbitan filem 'The Wolf of Wall Street' pada 2013, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ).

Wang dari firma pelaburan Malaysia yang bermasalah itu dipindahkan kepada Red Granite pada tahun 2012 melalui laluan berliku membabitkan syarikat luar pesisir, kata WSJ yang memetik mereka yang rapat dengan sisatan dan disokong oleh dokumen yang diteliti oleh akhbar berkenaan.

Anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, 39, adalah pengerusi Red Granite, sebuah syarikat penerbitan filem yang ditubuhkan pada 2010.

Walaupun tidak dikenali, Red Granite berjaya mengumpulkan AS$100 juta untuk pembikinan 'The Wolf of Wall Street', sebuah filem yang memaparkan kisah seks dan dadah dalam pasaran saham yang dibintangi oleh pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.

"Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah mengeluarkan sepina kepada beberapa pekerja dan bekas kakitangan Red Granite dan kepada sebuah bank serta sebuah firma perakaunan yang digunakan oleh syarikat itu," kata laporan WSJ itu.

Seorang jurucakap Red Granite berkata syarikat itu telah "memberi reaksi kepada semua pertanyaan dan bekerjasama sepenuhnya" dengan siasatan.

Beliau berkata syarikat produksi itu tidak mempunyai sebab untuk mempercayai sumber pembiayaannya adalah mencurigakan.

Riza sebelum ini menafikan bahawa Red Granite dibiayai oleh wang yang berasal dari Malaysia.

Dalam wawancaranya bersama akhbar New York Times pada 2014, beliau memberitahu bahawa pelabur utamanya adalah ahli perniagaan Abu Dhabi, Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

"Al-Husseiny adalah rakyat Amerika yang kemudian menerajui Aabar Investments PJS, yang adalah cabang pelaburan Abu Dhabi yang dikenali sebagai IPIC. Firma milik negara itu mempunyai urusniaga dengan 1MDB. Sebagai contoh, IPIC menjamin beberapa bon dana Malaysia.

"Sehubungan dengan jaminan IPIC, 1MDB dalam laporan korporat 2012 berkata syarikat berkenaan menghantar AS$1.4 bilion kepada Aabar sebagai cagaran," kata WSJ.



Menurut penyelidik, wang itu tidak dihantar ke Aabar tetapi kepada sebuah syarikat lain yang mempunyai nama yang hampir sama yang ditubuhkan oleh Al-Husseiny di Kepulauan British Virgin iaitu Aabar Investments PJS Ltd".

"Para penyiasat percaya wang AS$155 juta itu kemudian mengalir ke Red Granite Capital, sebuah firma yang ditubuhkan oleh (Riza) Aziz untuk membiayai syarikat filem itu."

WSJ berkata dokumen menunjukkan tiga pemindahan ke Red Granite Capital pada tahun 2012 - AS$60 juta, AS$45 juta dan AS$50 juta.

Mahathir: Penulis surat perlu jawab soalan kekayaannya

MALAYSIAKINI




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu penulis di belakang surat yang dikatakan menjanjikan sumbangan ribun jut ringgit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menjawab beberpa soalan penting yang berkaitan dengan 'derma' itu.

Mahathir dalam blognya hari ini, berkata penulis surat itu perlu menjawab soalan mengenai sumber kekayaan, bank serta cara jumlah wang yang besar dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Bekas perdana menteri itu juga menegaskan terdapat perbezaan antara tarikh surat berkenaan dan waktu apabila orang ramai mendapat tahu tentang ‘derma’ tersebut dan mempersoalkan wang dalam akaun peribadi Najib tahun lalu.

Mahathir berkata, surat - bertarikh 1 November 2011 - telah menjawab semua soalan yang hanya dituntut tahun lalu selepas Wall Street Journal mendedahkan AS$681 juta berada di akaun peribadi Najib.

"Surat ini sepatutnya membuktikan bahawa wang itu adalah hadiah namun ia penuh dengan percanggahan mengenai tarikh, jumlah wang dan kekerapan pembayaran.

"Ia seolah-olah penulis, yang mendakwa sebagai 'Putera Saudi Abdulaziz Al-Saud’ pada tahun 2011 mengetahui bahawa pada tahun 2015 kewujudan 'hadiah' brkenaan akan diketahui, terdedah dan penjelasan akan diperlukan,” kata Mahathir.

The Australian Broadcasting Corporation (ABC) telah menerbitkan surat daripada Abdulaziz kepada Najib Selasa lalu.

Dalam surat itu, putera berkenaan menjanjikan AS$375 juta kepada Najib dengan menyatakan bahawa perdana menteri boleh melakukan apa sahaja yang disukainya dengan hadiah berkenaan.

Sementara itu, dalam nada sinis, Mahathir berkata siaran episod selama sejam oleh ABC akan "menjelaskan segala-galanya".

Memetik laporan ABC yang mengesahkan bahawa dana itu adalah sebagai hadiah untuk digunakan sebagai mana yang perdana menteri melihat sebagai sepatutnya, Mahathir mengakui bahawa ini sesungguhnya adalah "berita baik".

"Sekarang televisyen kerajaan perlu menyiarkan berita ABC supaya semua orang akan tahu bahawa Najib adalah betul.

"Tetapi jangan hanya siarkan sebahagian daripada konteks. Tunjukkan keseluruhan siaran ABC untuk membuktikan Najib tidak bersalah Najib," katanya dalam nada menyindir.

"Hanya selepas itu akan rakyat akan yakin. Bahawa Najib hanya bercakap benar, semua yang benar, dan tidak lain kecuali kebenaran."

'Najib akan guna taktik keras untuk terus berkuasa'

Anne Muhammad





Bekas setiausaha politik Datuk Seri Najib Razak, Dr Oh Ei Sun percaya perdana menteri akan menggunakan taktik politik keras untuk terus mengekalkan kuasanya.

Katanya, antara cara yang telah digunakan Najib adalah dengan memecat sesiapa sahaja yang membangkangnya termasuk bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya fikir Najib dapat bertahan (memimpin negara) sebab dia sudah dalam politik dekat 40 tahun. Jadi dia juga sangat pandai menggunakan pelbagai tektik politik yang sangat keras dan sebagainya

“Seperti memecat mereka yang bangkangnya dan sebagainya dan dia ada juga kemampuan dari segi itu,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis di Nanyang Alumni Association Malaya hari ini.

Najib kini diserang pelbagai kritikan berikutan terpalit dengan skandal 1MDB, isu derma dari Arab Saudi dan juga sikap boros dalam berbelanja.

Mengulas perkara itu, Oh yang pernah berkhidmat dengan Najib hampir tiga tahun berkata bahawa bekas bosnya itu seorang yang budiman, teguh dan tabah dalam menghadapi sebarang kritikan.

“Najib yang saya kenal seorang yang sangat gentleman teguh dan tabah. Jadi semua ini gelombang-gelombang dapat dia atasi.

“Tapi saya fikir dia dapat tahan (kritikan) sebab dia sudah dalam politik dekat 40 tahun,” katanya.

Oh ketika diminta mengulas mengenai isu derma yang berada di akaun bank peribadi perdana menteri berkata, ketika beliau berkhidmat dengan Najib perkara itu tidak pernah timbul.

Oh juga diminta mengulas mengenai 1MDB yang semakin hari semakin banyak pendedahan yang dibuat berhubung syarikat pelaburan negara yang diilhamkan oleh Najib itu yang dikaitkan dengan salah laku.

“Sepatutnya 1MDB melabur dalam bidang yang strategik, melabur untuk ekonomi negara atau membantu golongan tak bertuah.

“Kalau ia disalah gunakan seperti yang dituduh, memang tak senonoh.

“Dulu tak pernah dengar. Kita Cuma dengar pendedahan seperti ini pada tahun dulu WSJ sebelum itu langsung tak pernah dengar,” katanya.


Tambang tinggi buat teksi dalam talian jadi popular

SINAR HARIAN


Uber, Grabcar atau teksi: Apa pendirian kerajaan?
Gambar hiasan
 

KENAPA semakin ramai pengguna memilih untuk menggunakan khidmat teksi dalam talian? Kalangan pengguna yang pernah menggunakan perkhidmatan teksi di ibu kota berkongsi 'pengalaman pahit' mereka.

Antaranya pemandu teksi didakwa enggan menggunakan meter, meletakkan tambang terlalu tinggi dan enggan ke destinasi tertentu dengan pelbagai alasan manakala perkhidmatan alternatif dikatakan bertoleransi dan memuaskan.

"Layanan yang diterima sangat tidak memuaskan, dan situasi ini membuatkan saya beralih menggunakan perkhidmatan Uber dan GrabCar," kata Amira Ahmad, 28, seorang penjawat awam.

Penggunaan aplikasi pintar bagi mendapatkan perkhidmatan teksi alternatif adalah mudah, kadar tambang murah dan layanan baik berbanding pemandu teksi yang mengenakan bayaran tanpa mengikut kadar yang ditetapkan, katanya ketika ditemui Bernama.  

Mahasiswa sebuah universiti swasta, Nur Atikah Saad, 23, yang kini menjalani latihan industri di ibu kota, berkata dia berasa amat terbeban dengan kadar tambang teksi yang dikenakan tanpa menggunakan meter.

Bagi Faizah Hussin, 27, pekerja swasta, perkhidmatan teksi dalam talian menjadi pilihan utama kerana ia menawarkan harga perkhidmatan yang amat berpatutan.

"Selain itu mereka tidak pernah menolak untuk menghantar penumpang ke mana-mana destinasi, atau merungut jalan sesak," katanya.

Selasa lepas, lebih 300 pemandu teksi melancarkan mogok di ibu kota kerana membantah perkhidmatan teksi dalam talian yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.

Ia juga sebagai protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dikatakan gagal mengekang perkhidmatan GrabCar dan Uber.  

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain ketika dihubungi Bernama mengakui memang terdapat segelintir pemandu teksi bersikap seperti yang didakwa orang ramai itu.

"Tapi janganlah disebabkan 'nila setitik rosak susu sebelanga', sebenarnya sikap pemandu bukanlah punca utama tetapi harga yang ditawarkan menjadi faktor utama mereka menggunakan Uber dan GrabCar," katanya.

Kamarudin menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung perkhidmatan Uber dan GrabCar untuk didaftarkan di bawah SPAD.

"Jika benar SPAD mahu jadikan aplikasi tersebut sebagai pengangkutan awam berdaftar, sila umumkan perkara ini kepada pemandu teksi agar kami tidak tertanya-tanya apa statusnya," katanya.

Dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat ini berhubung isu itu.

Beliau berkata kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan. - Bernama


Perintah berkurung di Esszone dilanjut

SINAR HARIAN


Sabah

 
KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 17 April, berkuat kuasa mulai hari ini, dari pukul 7 malam hingga 5 pagi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.

Abdul Rashid berkata, perintah berkurung berkenaan membabitkan jarak tiga batu nautika dari kawasan pantai daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Dengan berkuat kuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, langkah meneruskan perintah berkurung berkenaan adalah bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan berkenaan.

Abdul Rashid berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan serta kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan Esszone untuk melakukan jenayah rentas sempadan yang lain.  

Katanya selain untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah, perintah berkurung berkenaan juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas pergerakan serta menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pengusaha chalet dan nelayan melalui kehadiran anggota keselamatan.

Menurutnya pihaknya juga telah menurunkan kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan perintah berkurung berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan serta laluan yang mendesak. - Bernama


Empat rakyat Malaysia diculik lapan lelaki bersenjata

SINAR HARIAN


Kes Culik
Gambar hiasan
KOTA KINABALU - Polis Sabah mengesahkan empat rakyat Malaysia diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, kira-kira 6.15 petang, semalam.   

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, empat rakyat Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun itu merupakan antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

"Di dalam kapal tunda itu, terdapat juga lima individu lain masing-masing warga Myanmar dan Indonesia, tetapi mereka dilepaskan oleh kumpulan bersenjata itu," katanya.   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 2/2015 di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, polis juga sedang menyiasat dan mengumpul maklumat termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

"Kita jangan terus membuat kesimpulan mengatakan ini kawasan kita, mungkin juga ini berlaku di perairan antarabangsa, tetapi oleh kerana mereka dalam perjalanan nak ke Tawau, maka laporan segera dibuat kepada kita.

"Kawasan perairan Ligitan yang dikatakan berlakunya kejadian itu luas dan ada aset kita (di sana). Jadi kita sedang menyiasat dan menunggu keputusan adakah betul berlaku di perairan kita, ataupun belum masuk ke perairan kita," katanya.

 Abdul Rashid berkata, beliau difahamkan kapal tunda dan kru telah dibawa ke Tawau, selain pihaknya turut mengambil keterangan daripada kru berkenaan bagi mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut.

Setakat ini, belum ada panggilan diterima daripada penculik bagi permintaan wang tebusan, katanya.
Empat rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' diculik ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lanun culik empat rakyat Malaysia di perairan Sabah]

Pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak semalam setelah menerima panggilan telefon daripada rakan setugas memaklumkan mengenai penculikan itu. - Bernama


Projek Langat 2: Khalid Ibrahim jawab Azmin

Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaan untuk membantu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat isu tanah dan air seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, beliau akan membawa perkara itu ke persidangan Dun Selangor, minggu depan.

“Kelewatan pembinaan loji Langat 2 (Loji Rawatan Air Langat 2) tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau membelanjakan RM800 juta untuk membina loji baharu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin salahkan Khalid atas kelewatan Projek Langat 2]

“Mungkin banyak yang beliau telah pelajari daripada helah mantan Perdana Menteri, mentor utama beliau dalam penganugerahan konsesi penjanaan tenaga melalui Purchasing Power Agreement (PPA) kepada beberapa syarikat swasta terpilih atau ‘independent power producers’ (IPPs) kononnya sebagai penyelesaian terbaik bagi krisis tenaga pada tahun 1990-an,” katanya melalui kemas kini status di Facebook.

Sebelumnya, Mohamed Azmin mempersalahkan Abdul Khalid atas kelewatan projek (Langat 2) kerana didakwa bertanggungjawab dalam penjualan tanah bagi membangunkan kemudahan enap cemar kepada pihak ketiga.

Katanya, pada 2009, kawasan tanah di mukim Hulu Langat itu telah dikenal pasti  sebagai tapak sesuai untuk membangunkan kemudahan enap cemar itu tetapi ia telah dijual kepada pihak lain semasa Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor.

“Namun, tanah itu telah diberi milik kepada MBI (Pemerbadanan Menteri Besar) pada ketika itu dan seterusnya dijual kepada Syarikat Prestige Capital Sdn Bhd pada 2013,” kata Azmin.


Guan Eng ajak Shabudin minum kopi lagi esok

SINAR HARIAN


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
 
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi mengundang Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya bersemuka bagi menjelaskan cadangan pembinaan rumah kedai di tanah Kampung Tok Keramat, Seberang Perai Selatan.

Katanya, beliau akan menunggu kedatangan wakil rakyat BN itu di tingkat 52 Komtar, jam 11 pagi esok.

Menurutnya, kenyataan Shabudin bahawa tanah itu dijual pada harga di bawah pasaran dengan syarat pemaju membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik adalah tidak benar.

"Ini berikutan pemaju telah mengemukakan permohonan cadangan pembinaan 27 lot rumah kedai di tanah itu kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 28 Mac lepas ... pelan yang dibentangkan pada 28 Mac 2016 adalah untuk 27 buah rumah kedai sahaja ... tidak ada rumah.

"Saya akan tunjuk (pelan) pada Shabudin esok. Saya harap dia boleh datang," katanya pada pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Shabudin dalam sidang akhbar berkata Perda menjual tanah itu pada harga RM1.42 juta dengan meletakkan syarat kepada pemaju membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik berharga antara RM42,000 dan RM72,000.

Guan Eng sebelum ini berkata mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar adalah RM16.6 juta.

Sementara itu, Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo yang turut hadir pada sidang akhbar itu membidas kenyataan Shabudin bahawa kerajaan negeri tidak ikhlas dalam membantu Perda membangunkan perumahan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya telah meminta Perda menyemak semula harga siling unit perumahan dalam setiap projek yang dimohon berikutan semakan mendapati ada unit perumahan yang dicadangkan melebihi harga siling seperti ditetapkan dalam garis panduan Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu RM250,000 di bahagian Seberang Perai dan RM400,000 di bahagian pulau.

Jagdeep berkata daripada tujuh permohonan yang dibuat oleh Perda, isu harga empat permohonan telah diselesaikan manakala dua ditangguh sementara menunggu laporan status tanah dan satu permohonan ditarik balik. - Bernama