HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Mac 2020

'Episod awan hitam telah berlalu' - Ahmad Zahid

Hasimi Muhamad, Astro Awani
'Episod awan hitam telah berlalu' - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid ditemu bual pengamal media ketika meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berikrar akan memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan Muhyiddin hari ini sebagai pengakhiranan kepada kemelut politik yang melanda sejak seminggu lalu.

"Episod dan babak awan hitam sudah berlalu, dan langit kembali cerah.

"InsyaAllah kita parti dalam BN akan memberikan sokongan terhadap dasar-dasar baharu Muhyiddin.

"Dan kita akan membantu sedaya upaya bagi memastikan rakyat sentiasa diutamakan, dan rakyat harus dibela semula," katanya kepada pemberita di luar Istana Negara, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri ke-8 di Istana Negara.

Beliau dalam pada itu berkata, Perikatan Nasional akan meletakkan rakyat sebagai keutamaan mereka, selain menghentikan penganiayaan terhadap rakyat.

Terdahulu, beberapa pemimpin parti termasuk Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan kakitangan kanan kerajaan hadir pada istiadat angkat sumpah tersebut.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar pukul 10.43 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Feb lepas.

Dakwaan PH ada 114 kerusi hanya sia-sia

Manzaidi Mohd Amin
muein
Abdul Muein Abadi

KUALA LUMPUR – Tindakan terdesak saat akhir Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan semula adalah sia-sia walaupun dakwaan mereka memiliki 114 kerusi itu mungkin benar.

Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) jelas mengatakan bahawa “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Menurut Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, Perlembagaan jelas menyatakan bahawa kuasa melantik Perdana Menteri dan membubarkan Dewan Rakyat adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong, bukan ahli majoriti Dewan Rakyat.

Kini katanya, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin secara sah dan selepas mengangkat sumpah esok (1 Mac 2020), hanya beliau yang boleh memilih sama ada untuk menasihati baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat atau meletak jawatan.

“Tiada istilah pelantikan Perdana Menteri bergantung 100 peratus jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan situasi semasa, baginda telah menjalankan kesemua langkah secara tertib dan bijaksana sepertimana menurut Perlembagaan Persekutuan, dan pelantikan Muhyiddin adalah sah,” katanya memberi pandangan mengenai dakwaan PH, bahawa parti itu mempunyai 114 sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menurut Abdul Muein, tindakan sesetengah Ahli Parlimen melompat selepas pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dijadikan asas kononnya secara automatik pelantikan Muhyiddin terbatal kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali.

Kata beliau, ini bermakna semua Ahli Parlimen boleh memilih sama ada untuk mematuhi keputusan baginda – dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri – atau bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

“Bukannya menganggap diri mereka sebagai penentu posisi Perdana Menteri kerana segala prosedur telah dijalankan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Satu lagi pilihan Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin adalah dengan mendesak beliau agar membubarkan Dewan Rakyat.

“Tentulah mereka boleh mengemukakan undi tidak percaya, tetapi  bukan dengan menganggap bahawa secara automatik calon yang mereka usulkan akan terus dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa langkah PH mendesak peletakan jawatan Muhyiddin samalah ertinya mendesak beliau membubarkan Dewan Rakyat.

Hakikatnya, katanya, keputusan telah dicapai menurut kaedah yang tertib dan tidak seharusnya ada cubaan oleh PH untuk terus memanjangkan krisis politik di negara ini saat ini.

“Sesungguhnya, hari ini krisis politik negara adalah berpunca daripada perebutan kuasa dalaman PH.

“Ia telah dileraikan dengan sebaiknya oleh baginda Yang di-Pertuan Agong – dibantu kerjasama sebahagian ahli politik yang bertindak demi kestabilan negara – bukannya demi kepentingan individu.

“Maka PH seharusnya insaf, tidak bertindak memanjangkan krisis ini dengan adegan lompat melompat yang mengimpak kestabilan yang telah diputuskan baginda,” katanya. – MalaysiaGazette

Tun M umum jadi calon PM semula

Norlaile Abd Rahman
MGF27022020_PMO_21
Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin beliau mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat dan dengan itu menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Perdana Menteri Interim itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan pagi tadi.

“Saya yakin mempunyai sokongan mencukupi bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

“Dengan itu, saya bersedia untuk menjadi salah seorang prospek calon Perdana Menteri.

“Keputusan ini akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dr. Mahathir mengulangi pendirian untuk menentang kerjasama Bersatu dengan UMNO.

Katanya, perkara tersebut telah disampaikan sekali lagi kepada ahli-ahli parti dalam satu mesyuarat semalam di Yayasan Al-Bukhary.

“Malah, saya meninggalkan mesyuarat tersebut lebih awal bagi membolehkan mereka berdebat secara bebas untuk memilih calon yang dirasakan sesuai sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.-MalaysiaGazette

Tolonglah Abang Jo – Khalid


Wartawan MalaysiaGazette


MGF02122019_SIDANG-MEDIA-PEWARTAAN-TAMAN-BUKIT-KIARA_05
Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Menjelang beberapa jam sahaja lagi upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri kelapan yang baharu, Khalid Samad menggunakan peluang saat-saat akhir merayu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu merayu kepada Ketua Menteri Sarawak supaya menggunakan kebijaksanaannya dan bukan sentimen dalam memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau tahu Abang Johari tidak suka kepada DAP tetapi dalam perkara berhubung pemilihan Perdana Menteri, DAP adalah betul.

“Jadi Abang Jo, saya merayu pada anda, tolong gunakan kebijaksanaan anda dan bukan sentimen anda. Saya tahu anda benci DAP tetapi dalam hal ini, mereka betul.

“Tolong jadi kuat untuk bersama-sama dengan pihak yang betul. Jadikan contoh untuk yang lain ikut. Malaysia dan dunia sedang melihat,” katanya menerusi Twitter.
GPS hanya bersahabat dengan Perikatan Nasional

Tambah Khalid lagi: “Abang Jo saya tidak mengenali anda secara peribadi tetapi anda mesti memiliki penilaian yang baik. Saya mahu bertanya pada anda, jika Mahyuddin boleh mengkhianati Tun M,pemimpin dan mentornya, bolehkah anda mempercayai beliau? Jika beliau boleh mengkhianati pengundi-pengundinya, adakah dia tidak mengkhianati anda? Bersama-sama beliau sudah cukup merosakkan”.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mempersoalkan bolehkah rakyat Malaysia menerima individu yang mengkhianati mereka dan juga pemimpin mereka sendiri.

“Maaf TS, tetapi ini bukan undi yang diberikan untuk anda. Untuk bersama-sama dengan penjahat untuk menggulingkan kerajaan yang sah.

“Anda hanya memalukan diri sendiri dan keluarga serta semua yang berdiri bersama anda,” ujarnya.
Tidak cukup dengan itu Khalid turut menyindir Datuk Seri Najib Razak.

“Najib pasti bahagia. Begitu juga gengnya. Akan terlepas dari terus didakwa sedangkan dari perbicaraan terbuka, amat jelas dan nyata, beliau penipu dan perompak. Maka Najib berdiri teguh bersama TSMY. Ada yang hairan?

“Pasti tidak. Birds of a feather..(individu yang memiliki sifat sama)? – MalaysiaGazette

Siapa kata demokrasi mati?

Shamrahayu A. Aziz
MGF05032017_SidangMejaBulatPERKASA08-1
Dr Shamrahayu Ab. Aziz

SEKIRANYA Yang di-Pertuan Agong terus menerus membiarkan negara tanpa Ketua Kerajaan, itu sebenarnya keadaan demokrasi telah mati. Demokrasi juga tidak dapat berjalan dengan baik andainya tiada Ketua Kerajaan.

Demokrasi yang ada dalam negara kita tidak semestinya melalui pembubaran dewan. Demokrasi boleh dilangsungkan menerusi Parlimen. Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan demokrasi kepada Parlimen.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong telah yakin dengan jumlah Ahli Dewan yang menyokong calon Perdana Menteri pada ketika baginda menitahkan dan memperkenan pelantikannya, maka ia adalah keputusan baginda jua.

Sekiranya baginda mempunyai pandangan lain selepas itu, itu adalah dalam kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong jua.

Namun, apabila diperhati langkah-langkah dan tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong, iaitu termasuklah:

(1) meneliti Akuan Bersumpah yang menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri;
(2) mengadakan sesi pertemuan bersama setiap Ahli Dewan Rakyat secara individu;
(3) meminta seorang calon dari parti-parti politik; dan

(4) melanjutkan masa bagi penyerahan surat akuan adalah memadai dan menunjukkan ketelusan baginda apabila berhubungan dengan individu Ahli Dewan Rakyat dan juga parti-parti politik.

Adakah perlu ditambah masa lagi untuk parti-parti politik menyerahkan semula senarai Ahli Dewan?
Sampai bila? Dan, dan sampai bila demokrasi perlu ditangguhkan lagi oleh baginda?

Semestinya baginda mengambil kira faktor keselamatan dan faktor sampingan atau kesan-kesan lain ekoran daripada titah dan perkenan Tuanku tentang lantikan Perdana Menteri semalam. Kita melihat Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera juga dititah mengadap.

Justeru, segala kemelut ini hendaklah berakhir. Taat setia dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong adalah tindakan paling baik dan paling sesuai untuk mengembalikan demokrasi sebagaimana acuan dan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Demokrasi di Malaysia ada demokrasi berasaskan peruntukan Perlembagaan. Selagi tiada keputusan daripada Istana, selagi itu demokrasi sepertimana dalam Perlembagaan tidak boleh berjalan lancar.

— Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Dua ahli Parlimen muncul dalam video nafi sokong Tun Mahathir


KUALA LUMPUR – Dua ahli Parlimen masing-masing mewakili kawasan Sri Aman di Sarawak dan Bukit Gantang, Perak menafikan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri ke-8.

Datuk Masir Kijat (Sri Aman) berada pada nombor 114 manakala Dato Syed Abu Hussin yang merupakan wakil rakyat bebas Bukit Gantang pula diletakkan pada nombor 112 dalam senarai SD yang didedahkan oleh Dr Mahathir tadi.

Kedua-duanya muncul membuat penafian itu menerusi video berasingan.

Dengan penafian itu, sokongan terhadap Dr Mahathir kini tinggal 112.

Dr Mahathir selepas mesyuarat Pakatan Harapan mendedahkan senarai 114 ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepadanya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, senarai tersebut serta surat-surat ketua parti akan ni kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Artikel berkaitan: Dr Mahathir dedah nama 114 ahli Parlimen sokong beliau jadi PM-8

Hari ini Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas kemelut politik yang tercetus berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Isnin lalu. – MalaysiaGazette

Hasni mampu galas tugas MB dengan baik – Khaled Nordin

Nurul Huda Hassan
khaled
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
 

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya Datuk Ir Hasni Mohammad mampu menggalas tugas dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik sekali gus menjadikan negeri ini gah seperti sebelum ini.

Hasni, Menteri Besar Johor yang baharu itu, katanya seorang wakil rakyat yang berpengalaman dan kompeten untuk menggalas jawatan dan amanah yang diberikan.

“Johor adalah satu negeri yang berada pada satu tahap untuk menjadi satu negeri yang kukuh kedudukan ekonominya dan terus meningkat tahap kemajuan bagi membantu memberi kesejahteraan kepada rakyatnya.

“Negeri ini tidak boleh menjadi negeri biasa-biasa, Johor ada potensi dan peluang dan soalnya bagaimana kita mahu membongkar peluang tersebut. Saya yakin Datuk Hasni mampu melakukan perkara itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Justeru, beliau akan memberi sokongan dan kerjasama supaya beliau berjaya mentadbir serta mengurus Johor ke arah kecemerlangan dan pencapaian yang baik khususnya untuk ekonomi demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Selain itu, katanya, negara juga sedang berdepan dengan keadaan cabaran ekonomi negara dan luar negara di samping terjejas ekoran terkesan dengan virus yang sedang melanda dunia pada hari ini.

“Jadi atas sebab itu, kita memerlukan kepimpinan yang kuat dan kukuh, berpandamgan jauh dan berpengalaman yang mampu untuk membawa n Johor berdepan cabaran ini dan yang mampu melonjakkkan lagi kemampuan negeri ini.

“Saya percaya Datuk Hasni sesuai untuk memikul dan dilantik tepat pada masanya. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berharap semua rakyat Johor memberi sokongan kepada beliau kerana sudah terlalu banyak masa terbuang, negeri ini perlu diurus supaya negeri ini dapat menangani cabaran yang sangat rumit itu supaya rakyat tidak terjejas dan dapat dapat dijaga dan dipelihara. – MalaysiaGazette.

“Kenapa pulak salah Najib, saya main FB tiap-tiap hari sahaja”

Wartawan MalaysiaGazette
MGF04092019_Kes-Najib-1MDB_10
Najib Razak


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan balas berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan beliau susulan runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan hingga menyebabkan kemelut politik melanda negara.

Najib berkata, individu yang menyebabkan populariti kerajaan Pakatan Harapana jatuh dari 80% kepada 20% sehingga gabungan itu kalah teruk dalam lima kali Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut adalah Dr Mahathir.

Malah, yang menjadikan ekonomi negara paling lemah sejak 10 tahun lalu dan punca pasaran saham negara paling corot di dunia juga adalah Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga kata Najib yang menjual aset negara yang dibina semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) secara lambak dan menaikkan hutang negara RM130 bilion sejak PRU14 sehingga rakyat marah.

Bekas Perdana Menteri menambah, Dr Mahathir yang mengumumkan keluar PH menyebabkan pakatan itu tumbang.

“Yang umum keluar PH dan menyebabkan kerajaan PH tumbang: Parti PM7 sendiri.

“Yang letak jawatan dalam parti dan kerajaan: PM7.

“Yang pecat pemimpin-pemimpin yang sokong PM7: Parti PKR.

“Yang gesa semua pihak supaya hormati budi bicara Agong: PM7i.

“Yang jadi PM8: Muhyiddin.

“Yang mempertikaikan dan tak puas hati dengan budi bicara Agong sekarang: PM7i,” jelas Najin menerusi hantaran di Facebook beliau.

Dalam sidang media pagi tadi, Dr Mahathir sekali lagi mendakwa beliau telah dipujuk oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan UMNO.

Mahathir berkata, beliau boleh menerima ahli-ahli UMNO tetapi bukan Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib didakwa berjaya mempengaruhi orang Melayu hingga mereka percaya DAP berkuasa dan Dr Mahathir di berada di bawah telunjuk parti tersebut.

Menjawab dakwaan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terus menyalahkan beliau.

“Saya dok main FB tiap-tiap hari sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

Muhyiddin paling banyak khianati saya, kata Mahathir

WARTAWAN MALAYSIAKINI



Berbanding Azmin Ali, bagi Dr Mahathir Mohamad, 'luka' lebih dalam dirasainya berpunca daripada tindakan Muhyiddin Yassin yang diberi kepercayaan menjadi presiden Bersatu selepas mereka diketepikan dari Umno beberapa tahun lalu.

Ditanya semasa berdepan dengan media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur hari ini, Mahathir berkata, Azmin memang memiliki agenda tersendiri dan pada masa sama, Muhyiddin menyusun perancangan yang akhirnya berjaya.

“Dia (Azmin) mempunyai agenda sendiri. Saya rasa dikhianati, paling banyak oleh Muhyiddin.

Beliau (Muhyiddin) merancang ini untuk masa yang lama dan kini dia berjaya,” katanya.

Ketika Mahathir - yang dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri sementara - berkata, Muhyiddin dan penyokongnya sedang menuju ke Istana Negara bagi menghadiri acara angkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.

Terdahulu Mahathir ditanya sama ada beliau berasa marah atau tidak dengan tindakan Azmin yang memulakan gerakan bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR Ahad lalu.

Ia membawa kepada pengumuman dibuat Muhyiddin bahawa Bersatu tidak lagi bersama gabungan PH dan akhirnya menjatuhkan kerajaan yang diasaskan pada 8 Mei 2018.

Untuk rekod sebelum ini Muhyiddin ialah timbalan kepada Najib Razak yang menjadi perdana menteri sehinggalah skandal 1MDB didedahkan, menyaksikan ahli parlimen Pagoh itu mengkritik kepemimpinan Umno.

Perselisihan itu membawa kepada penubuhan Bersatu yang kemudian dibawa menyertai PH.

Gabungan itu berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi semasa PRU14 lalu membentuk kerajaan pusat, serta kebanyakan negeri.

Najib kemudian didakwa di mahkamah atas puluhan tuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.


Dr M: Di sebalik rayuan saya, mereka bawa Bersatu keluar PH

MALAYSIAKINI



Dr Mahathir Mohamad hari ini menceritakan apa yang berlaku dalam Bersatu semasa parti itu menjadi kerajaan dan perkembangan yang membawa kepada jatuhnya PH di Putrajaya.

Bercakap kepada media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur, Mahathir berkata Muhyiddin Yassin memujuknya agar menjarakkan diri daripada DAP - satu daripada parti dalam PH - dan menyalahkan parti itu sebagai punca mereka kalah dalam tiga pilihan raya kecil.

"Katanya (Muhyiddin) ini kerana DAP. Orang Melayu percaya bahawa DAP yang kawal kerajaan, dan saya kononnya mengikut telunjuk (Lim) Guan Eng.

"Ini semua tidak benar, tapi inilah kecekapan Najib (Razak) sehingga mereka tidak lagi nampak Najib sebagai bersalah.

"Mereka bersedia untuk mencium tangan Najib, mereka mengakui dia sebagai bossku... Ini keadaan sebelum masalah sekarang timbul," katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu menambah Muhyiddin juga memujuknya meninggalkan PH tetapi beliau enggan kerana mendapat sokongan penuh daripada gabungan tersebut.

Kata Mahathir, beliau juga - sebelum ini - mendapat sokongan daripada PAS dan Bersatu, justeru ia tidak dapat dilakukan.

Tunggu keputusan mahkamah

"Kenapa saya nak tolak PH yang memberikan sokongan penuh? (Kenapa) saya tolak PH dan terima Najib?" katanya lagi.

Mengenai kerjasama dengan Umno, Mahathir mengulangi pendiriannya untuk menerima ahli politik dari parti itu secara individu, bukannya secara en bloc.

Dengan cara yang diingini Muhyiddin itu, katanya, Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyertai kerajaan secara en bloc melalui Umno.

"Ini saya tak dapat terima. Memang ahli Umno ada yang tak bersalah, tapi yang bersalah ada juga, ada yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Saya minta supaya diberi masa... kalau bukan sekarang, kalau kita tak percaya DAP, kita kena cari jalan kuatkan Bersatu.

"Tapi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sebalik rayuan saya agar tidak dibuat keputusan sekarang, akhirnya Bersatu buat keputusan keluar PH," katanya.
Mahathir juga menjelaskan beliau mungkin boleh menukar fikiran mengenai kemasukan Umno secara en bloc pada masa yang sesuai berbanding pendirian Muhyiddin.

Puncanya, kata Mahathir, beliau tidak dapat bekerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamat atas tuduhan jenayah.

"Kalau mereka tak bersalah, ya (boleh terima) tetapi kalau mereka didapati bersalah nanti, saya tak boleh bekerja dengan mereka," katanya.

Menurut beliau lagi jika keputusan menerima Umno secara en bloc itu dibuat sekarang, ia bermakna Bersatu memasukkan Najib Razak serta tokoh lain yang sedang didakwa.

"Dan mahkamah mungkin berasa (teragak-agak) untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin kerajaan.

"Kita pernah nampak keadaan begini semasa zaman Najib," katanya.