HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 November 2011

Debat NFC: Khairy tidak menolak, kita akan teruskan – Rafizi

Oleh: Nabihah Hamid



KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, debat bersama Khairy Jamaluddin berkenaan isu penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) tetap akan diteruskan seperti tarikh yang dicadangkan 12 Disember ini.

“Kita (KEADILAN) akan teruskan kerana dia (Khairy) tidak pernah membuat kenyataan menolak debat ini malah sebelum itu pernah membuat kenyataan di media arus perdana bahawa beliau bersedia,”

“Dia (Khairy) telah membuat kenyataan secara terbuka melalui twitternya dan (berkata) akan pertimbangkan. Jadi bagi saya dia sebenarnya telah menerima jemputan tersebut dan tidak ada masalah dengan tarikh,” kata Rafizi.

Pada 18 November lalu, Rafizi menghantar surat jemputan kepada Ketua Pemuda Umno itu berhubung tawaran debat berkenaan.

Menurut Rafizi, beliau bercadang menghantar satu lagi surat bagi memperincikan tempat dan masa debat tersebut dalam minggu ini.

“Minggu ni kita akan selesaikan tempat dan penganjur, namun berkenaan cadangan format kita akan bincangkan lebih lanjut dengan beliau dalam surat,” katanya.

Tambahnya beliau turut menyambut baik tawaran TV Selangor (TVS) untuk menyiarkan siaran secara langsung menerusi sesawangnya.

“Memang kita akan jemput TV Selangor untuk membuat siaran langsung dan saya akan berbincang dengan lebih lanjut dengan mereka,” kata beliau.

Rafizi sebelum ini mencabar Khairy berdebat dengannya ekoran sikapnya yang begitu ghairah membela Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang didakwa terlibat dengan skandal NFC tersebut.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan penyelewengan dana sebanyak RM250 oleh NFC yang gagal meletakkan sasarannya untuk memenuhi keperluan pasaran daging tempatan.

Selain perbelanjaan lawatan ke luar negara, sebanyak RM116 juta dilabur dalam simpanan tetap yang memberi keuntungan atas angin lebih RM600,000.

KEADILAN turut mendedahkan NFC membeli sebuah kondominum mewah bernilai RM9.8 Juta dan turut membiayai pakej umrah bernilai RM31,580 atas nama suami dan anaknya.

Dalam pada itu, pelbagai urus niaga dan pemindahan wang turut dikesan melibatkan syarikat dan restoran mewah milik keluarga Shahrizat, termasuk di Singapura.

NFC dapat kontrak, kerana Shahrizat Menteri Umno- Zuraida

Oleh: Masdar Wahid



KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak mungkin mendapat kontrak mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan jika Datuk Seri Shahrizat Jalil bukan pemimpin Umno dan menteri kabinet.

Itu reaksi segera Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terhadap penafian Ketua Wanita Umno itu, kononnya tiada kaitan dengan NFC yang dimiliki suami dan anaknya.

“Sebab itu kita mendesak minit mesyuarat mengenai projek itu didedahkan kerana kita mahu tahu kenapa NFC diberi kebenaran mengusahakan projek itu.

“Keengganan mendedahkannya mengukuhkan lagi kenyataan kita bahawa syarikat itu mendapat tender hanya kerana Shahrizat pemimpin Umno dan menteri kabinet,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Zuraida turut membidas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kononnya skandal NFC dibongkar Pakatan Rakyat untuk kepentingan politik.

“Shahrizat jangan alih isu, persoalan terbesar dalam isu ini ialah penyelewengan RM250 juta wang pembayar cukai dan yang memulakan pembongkaran ini ialah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010.

“Oleh kerana Pakatan komited membanteras penyelewengan dan rasuah, maka kita menuntut penjelasan hasil laporan itu,” tegasnya.

NFC ialah syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat bagi mengusahakan projek ternakan lembu, namun gagal mencapai sasaran ditetapkan meskipun memperoleh dana RM250 juta.

Malah projek yang dilulus Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut menyalahguna wang untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar hampir RM14 juta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid dalam sidang media di Parlimen baru-baru ini mengesahkan pinjaman mudah RM250 juta sudah diberi kepada NFC sejak 2008 hingga 2009 walaupun perjanjian hanya dibuat pada 2010.

Kenyataan itu sekaligus bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pinjaman kepada NFC setakat 31 Julai lalu hanya RM181.9 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ini pula, Datuk Seri Noh Omar mendakwa pinjaman setakat Disember 2010 kepada NFC hanyalah RM134.72 juta.

Pakatan Rakyat sudah pun mendesak agar semua menteri itu meletak jawatan kerana didakwa berbohong dan mengelirukan rakyat semata-mata mahu menutup penyelewengan wang rakyat oleh keluarga Shahrizat.

Puteri Umno Akur, Sedia Tangani Kelemahan

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR- Pergerakan Puteri Umno mengakui kelemahan sayap parti ketiga dari aspek keupayaan untuk bertindak dengan berkesan mengikut citarasa generasi muda pada hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sebagai sayap yang baru berusia 10 tahun, banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, Pergerakan Puteri Umno ditubuhkan dengan objektif sebagai medan untuk melahirkan para pemimpin muda di kalangan wanita juga harus dijadikan sebagai asas penambahbaikan di masa hadapan.

"Mana-mana pergerakan akan mempunyai kelemahan (sama ada) mana-mana bentuk kepimpinan, parti politik atau sayap pasti ada kelemahan tersendiri.

"(Puteri) mengakui dan menyedari kelemahan kami. Selaku Ketua Pergerakan Puteri Umno, saya dan barisan exco akan berusaha untuk menangani kelemahan ini. Salah satu aspek yang paling jelas adalah mesej program yang kurang dilihat keberkesanannya," kata Rosnah ketika menjawab kritikan Timbalan Presiden Umno terhadap sayap itu baru-baru ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Pergerakan Pemuda dan Puteri agar memberi tumpuan terhadap usaha memperingkatkan tanggungjawab bagi memantapkan lagi peranan generasi muda dalam Umno.

Rosnah bagaimanapun tidak bersetuju jika didakwa kurang melaksanakan program, sepanjang 2009 hingga kini, Pergerakan Puteri Umno mengadakan lebih 60 program di peringkat kebangsaan dengan banyak lagi program-program dikendalikan hampir setiap minggu di peringkat bahagian.

Menurut beliau, Puteri menumpukan kepada objektif perlaksanaan program efektif bagi mendekati semua golongan sasaran yang telah digariskan.

Antaranya adalah program berorientasikan pendidikan, kesukarelawanan dan kesihatan dengan 18 program utama di bawah cogan kata 'Puteri Jiwa Rakyat' seperti pertandingan futsal, projek prihatin dan lawatan ke hospital serta klinik bergerak.

"Di samping itu, kami juga mengadakan program hijau untuk menarik minat generasi muda. Yang penting, Puteri tidak akan berhenti daripada turun ke bawah dan menemui golongan sasaran. Kami merasakan lebih baik jika dapat berjumpa seramai pengundi dan golongan muda yang mungkin," katanya.

Mengenai pendaftaran ahli baru pula, Rosnah memberitahu seramai 90,000 ahli didaftarkan sepanjang 2009 sehingga kini yang menjadikan jumlah keanggotaan Pergerakan Puteri Umno setakat ini kepada 365,108 orang. Daripada jumlah itu, 289,818 adalah pengundi berdaftar.

Sementara itu, Rosnah berkata, sempena Perhimpunan Agung Umno ke-62 kali ini, Pergerakan Puteri Umno telah bersetuju untuk membawa satu usul iaitu untuk menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia daripada aspek ekonomi, sosial, agama dan politik dengan pengkhusan perbincangan mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Dijangka 970 perwakilan daripada 191 bahagian akan hadir ke Perhimpunan Agung Puteri Umno kali ini.

"Tahun ini juga, kita akan menggunakan Dewan Merdeka - yang terbesar sekali. Selain topik persediaan, Puteri akan membahaskan isu berhubung transformasi selain pengupayaan dan pemerkasaan ahli Pergerakan Puteri Umno ke arah usaha tersebut," katanya selepas melancarkan taklimat dan Misi Bantuan Prihatin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini, Isnin.

Misi Bantuan Prihatin (MBP) yang digerakkan Skuad VOGUE bertujuan untuk memberi perkhidmatan bantuan kepada orang awam apabila berlaku bencana atau kecemasan seperti banjir, ribut dan tanah runtuh.

Fokus MBP adalah dari segi perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

Bagi membentuk skuad VOGUE (Voluntary Group for Everyone) yang terlatih dan efektif, MBP turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) selain dibantu sukarelawan Karyawan dan Seniman.

Sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini juga, Pergerakan Puteri turut melancarkan Skuad Gagasan 1Malaysia pada Rabu ini selain buku pengetahuan asas pertolongan cemas dan penyampaian enam Anugerah Khas keahlian tertinggi yang dinilai berdasarkan peratusan penambahan ahli di peringkat negeri dan bahagian.

Turut ditawarkan adalah lima Anugerah Khas Pencapaian Generasi Muda mengikut kategori agama, pendidikan, sukan, keusahawanan dan seni.

Di samping itu, Pergerakan Puteri Umno juga menganjurkan kempen menderma darah dan pendaftaran sebagai penderma organ mulai Selasa hingga Sabtu ini.

Selain itu adalah pelancaran Portal Biro Usahawan & Pemantapan Ekonomi Puteri Malaysia (BUPEM), kedai amal Pre LOVE Charity Shop serta gerai jualan dan kaunter produk yang diusahakan oleh ahli Puteri. -mStar

Umno ambil mudah tutup skandal besar

Tuan Ibrahim Tuan Man


Untuk menutup skandal besar yang tidak terjawabnya saban hari, Umno kini mengambil langkah mudah bersifat murahan untuk menipu rakyat bahawa mereka sedang bertransformasi dan juga giat memberikan gula-gula politik menjelang pilihanraya.

Selepas kegagalannya meningkatkan pendapatan kebanyakan rakyat jelata, kerajaan Umno-BN mengambil langkah mudah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia, kini muncul pula terbaru Kedai Ikan Satu Malaysia yang menjanjikan pelbagai jenis ikan dengan harga yang murah.

Umno turut mengambil langkah mudah dalam membendung kemarahan rakyat menuntut hak kebebasan berhimpun dengan percubaan membodohkan rakyat bahawa mereka sedang berubah dengan mengemukakan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011, yang hanya harum namanya, tetapi lebih kejam daripada akta sebelumnya.

Setelah melihat kemarahan para mahasiswa yang kian meningkat terutamanya setelah nasib yang melanda professor Aziz Bari dan keputusan mahkamah rayuan terhadap 4 pelajar UKM, kerajaan Umno dilihat sekali lagi mengambil langkah mudah untuk meredakan keadaan dengan mengumumkan pemindaan terhadap Seksyen 15 AUKU untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, tapi pada masa yang sama tetap merayu keputusan mahkamah rayuan yang mengistiharkan seksyen 15 AUKU tidak sah dari segi perlembagaan.

Semua langkah mudah yang diambil oleh kerajaan Umno telah memberikan signal jelas kepada rakyat bahawa para pemimpin Umno sememangnya tidak ikhlas, tidak ingin berubah, dan malah sedang bertransformasi ke arah lebih teruk kerana tidak berfikir panjang sebelum mengemukakan sesuatu.

Segala langkah mudah yang diambil Umno bermotifkan keuntungan politik pendek semata-mata, dan hanyalah taktik murahan untuk mendapat undi rakyat dalam PRU13 yang semakin mendekat.

Kecelaruan dan kenaifan pemikiran pemimpin Umno dalam mengambil langkah mudah ini turut membuktikan kebimbangan mereka dengan perubahan kesedaran politik rakyat kini.

Skandal National Feedlot Corporation dan RUU Perhimpunan Awam 2011 telah menyedarkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk mengiatkan kempen ‘Asal Bukan Umno’ demi menyelamatkan negara.

Katakan ‘Cukup’ pada pembohongan Umno dan tunjukkan kepada para pemimpin Umno yang bermuka-muka ini bahawa rakyat Malaysia tidak sebodoh dan semurah yang mereka tanggapkan.

Kini rakyat hanya mempunyai satu jalan keluar untuk mendapatkan transformasi yang diharapkan untuk negara iaitu menunjukkan menunjukkan jalan keluar bagi Umno dalam PRU akan datang, insyaAllah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

'Wasatiyyah' gagasan baru Umno lawan 1Malaysia?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa hairan dan pelik apabila Umno yang selama ini terkenal sebagai parti bersifat perkauman cuba melancarkan gagasan wasatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan pertengahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemunculan idea ini menandakan sesuatu yang tidak kena telah berlaku pada Umno masa kini.

“Adakah kemunculan gagasan wasatiyyah petanda Umno kini kian bergelora? Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat.

"Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia? “katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas seminar kebangsaan anjuran Umno bertajuk 'Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia' sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur semalam.

Sambil menegaskan bahawa wasatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam, namun apa yang dipersoal adalah kemampuan Umno untuk mengamalkan perinsip tersebut dalam keadaan perjuangan mereka tebal dengan sifat perkauman.

“Harus tegas diingatkan bahawa gagasan wasatiyyah wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

"Akan tetapi, mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering flip-flop seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara," katanya.

Beliau memberikan contoh, tindakan Umno yang membiarkan beberapa badan NGO pro mereka terutamanya Perkasa, memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik yang jelas mencerminkan gagasan wasatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Menurut Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama.

Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

“Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walau apapun, kata Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara.

Gagasan itu ujarnya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa- apa tindakan dan pelan bertindak.

“Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa- apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka,” tambahnya.

Hina peneroka: JKPP Felda mahu saman Isa

Nazri Abdullah


AMPANG: Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda memberi tempoh 14 hari kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka.

Kata-kata penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

"Kita telah melantik peguam untuk menuntut Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari dan menyiarkannya sekurang-kurangnya di lima buah akhbar.

"Jika enggan memohon maaf, kita akan meneruskan tindakan saman terhadap beliau," kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman (kiri).

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Kira-kira 15 anggota mereka turut serta pada sidang media itu termasuk pimpinan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang diketuai Azizah Bahari.

Dalam rakaman ucapan yang turut ditayangkan kepada media, Isa dilihat mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Dia juga secara jelas menujukan kenyataan-kenyataan itu kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

Menurut Shamsuddin lagi, penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal prolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan.

Sedangkan pendapatan Felda daripada tanah-tanah itu sekarang ini sekitar RM2 billion setahun.

"Ini kali pertama dalam sejarah, pengerusi Felda hina peneroka, tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu dalam video itu juga, Isa secara tersekat-sekat menggelarkan 'JKPP' sebagai 'JKK'.

"Setelah hampir setahun bertugas tetapi masih tidak mengetahui nama dan fungsi JKPP membuktikan Tan Sri Isa tidak layak menerajui Felda," katanya.

Wasatiyyah ala Umno amal Islam secara terpilih

Aslani M


KOTA BHARU: Apakah benar Umno mengamalkan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam amalan Islam, sedangkan dalam banyak keadaan apa yang diperintahkan Allah seperti tidak diendahkan.

Apa yang berlaku sekarang amalan Islam dilakukan mereka secara terpilih di mana meninggal perkara yang bertentangan dengan naluri.

Misalnya pelaksanaan perundangan Islam diketepikan, malah lebih mendukacitakan lagi tidak memberi kerjasama apabila ada pihak lain yang mahu melaksanakannya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, konsep wasatiyyah dalam Islam berlaku apabila kita mengamalkan Islam sebagaimana diperintahkan oleh Allah Taala.

“Perlu diingatkan amalan yang dilakukan tanpa ada pengurangan atau pun penambahan. Sekiranya ada pengurangan atau penambahan maka itulah yang dikatakan melampau.

”Seperti juga seorang doktor yang menetapkan seseorang pesakit mesti mengambil kadar tertentu dos ubat. Sekiranya pesakit itu mengambil dos kurang atau lebih, ia dikira melanggar peraturan.

“Pesakit perlu mengambil ubat mengikut kadar dos yang telah ditetapkan sebagai ikhtiar bagi menyembuhkan penyakit dihidapi,” katanya di sini.

Begitu juga kata beliau apa yang PAS perjuangkan selama ini iaitu melaksanakan amal makruf nahi mungkar seperti diperintah Allah.

Semalam Biro Penerangan Umno menganjurkan seminar kebangsaan pemahaman Wasatiyyah yang dirasmikan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Muhyiddin pada seminar itu menyebut wasatiyyah mendidik rakyat berfikir dan bertindak secara bijaksana, berkesan dan mengajar agar tidak melampau.

Dr Muhammad Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebenarnya pemimpin Umno yang bersikap melampau apabila tanpa segan silu banyak melanggar perintah Allah.

“Saya peringatkan agar jangan kelirukan umat Islam dengan istilah dalam bahasa Arab, sedangkan pemimpin Umno sendiri kelihatan jauh daripada menuruti kehendak seperti digariskan al Quran,” ujarnya.

Akta Kerja: SU Kewangan pertahan syor ‘perang’ atas BN, usul 2 Dis



Ahli-ahli MTUC mengambil bahagian dalam protes menentang pindaan Akta Kerja di Kuala Lumpur pada November 3, 2011.
KUALA LUMPUR— “Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dan, saya akan bawa usul ‘mahu berperang ke atas kerajaan’ pada 2 Disember ini.”

Demikian tegas Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Alias Awang Ibrahim mengulas laporan memetik reaksi Setiausaha Agungnya Abdul Halim Mansor bahawa beliau kemungkinan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian bahawa badan induk itu akan mengisytihar perang ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) jika pindaan Akta Kerja diluluskan di Dewan Negara bulan depan.

Ketika menyertai perbahasan pada Kongres Nasional PKR semalam, Alias Awang dipetik berkata MTUC akan berbuat demikian jika Rang Undang-undang Kerja 1955 diluluskan pada 12 Disember.

Menurut Alias Awang, badan induk itu akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan kontroversi Akta Kerja.

Ketika dihubungi pagi ini, Alias Awang berkata, “apa yang saya katakan semalam sama maksud dengan pendirian MTUC bahawa ia menentang pindaan Akta Kerja.”

“Pendirian menentang pernah ditimbulkan dalam mesyuarat majlis am MTUC sebelum ini. Cuma saya tambah perkataan ‘kita akan berperang’ jika pindaan diluluskan.

“Sebenarnya kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama iaitu menentang. Mungkin bagi Halim, perkataan berperang agak keras bunyinya, tetapi membawa maksud yang sama,” kata Alias Awang kepada The Malaysian Insider.

Sambil berkata bersedia untuk memberi penjelasan kepada Halim, Alias Awang menegaskan beliau akan membawa usul mengambil tindakan tegas termasuk ‘berperang’ ke atas kerajaan pusat jika perlu pada perhimpunan khas di Dewan Seksyen 19, Shah Alam pada 2 Disember ini.

“Saya tiada masalah untuk bertemu dengan Halim, saya akan beri penjelasan jika dipanggil.

“Saya akan tanya (pada 2 Disember ini) apa pendirian MTUC dalam isu pindaan ini,” kata Alias Awang.

Ia adalah perhimpunan ketiga selepas piket 3 Oktober dan 3 November lalu berkenaan pindaan kontroversi Akta Kerja.

Halim berkata, beliau akan mengkaji laporan media berkenaan kenyataan Alias Awang dan memanggil beliau untuk memberi penjelasan.

“Saya tidak boleh memberitahu bentuk tindakan (disiplin), sebaliknya akan menyerahkan kepada majlis am selaku badan tertinggi MTUC untuk membuat pendirian ke atas Alias Awang,” kata beliau dalam laporan dibawa The Malaysian Insider awal pagi ini.

Halim menegaskan, apa yang diperkatakan oleh Alias Awang pada Kongres PKR semalam bukan pendirian rasmi MTUC, sebaliknya “saya melihat ia sebagai pendapat peribadi beliau.”

“Pun begitu apa yang diperkatakan oleh Alias Awang bertentangan dengan pelan tindakan yang telah diluluskan oleh majlis am dalam isu pindaan Akta Kerja... ia pandangan yang berat dan serius,” katanya lagi.

“Saya hendak menekankan bahawa hanya majlis am yang boleh membuat kenyataan sedemikian. Majlis am MTUC telah membuat pendirian bahawa MTUC tidak harus memihak mana-mana parti politik, kami hendak berkecuali.

“Lagi pun majlis am sudah pun membuat keputusan bahawa tidak ada sesiapa pun dari MTUC boleh membuat kenyataan mengenai isu ini kecuali presiden dan setiausaha agung... jadi kami akan panggil beliau untuk memberi keterangan,” kata Halim lagi sambil menjelaskan, tindakan ‘berperang’ dengan kerajaan tidak ada dalam pelan tindakan MTUC, pergerakan pekerja yang selalu berhadapan dengan polemik mengenai ideologi politik pemimpin-pemimpinnya.

Pindaan Akta Kerja sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dan kini tunggu giliran Dewan Negara.

MTUC sudah pun memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 5.7 juta pekerja akan membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pentadbirannya enggan mendengar suara mereka.

Kongres itu telah menulis surat kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.

Ia mengadakan piket pada 3 Oktober dan 3 November lalu berhubung pindaan Akta Kerja khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

NFC tak kena-mengena dengan Wanita Umno, kata pemimpin


KUALA LUMPUR — Pemimpin-pemimpin Wanita Umno sepakat berkata skandal projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak kena-mengena dengan sayap itu.

Beberapa pemimpin yang ditemui menegaskan pergerakan Wanita Umno tidak sama sekali terjejas dengan isu skandal tersebut.

Menurut Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim, skandal tersebut tidak menjejaskan pergerakan tersebut.

“Kami tidak ada masa untuk memikirkan isu itu kerana yang penting kami bekerja kuat untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum,” katanya mengulas kenyataan Shahrizat, Ketua Wanita Umno, yang menegaskan beliau akan tetap menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok.

Sambil menganggap isu berkenaan yang tercetus susulan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai asam garam dalam kehidupan ahli politik, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia tidak mengganggu kepemimpinan beliau dalam pergerakan itu.

Ia dilihat sebagai kontroversi terbesar sejak menerajui Wanita Umno sejak 2009.

Bagi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Jainab Ahmad, skandal itu tidak memberi kesan kepada Wanita Umno kerana ia bukanlah urusan Shahrizat sebaliknya hal perniagaan suaminya.

“Adat berniaga ada untung ada rugi. Ia adalah perniagaan suami Shahrizat dan Shahrizat tidak campur tangan dalam perniagaan suaminya itu, jadi kenapa kita mesti terperangkap dengan dakyah pembangkang?” katanya.

Katanya, Shahrizat (gambar) sudah banyak membantu wanita Malaysia dengan program terbaru melancarkan teksi yang dipandu oleh wanita untuk wanita.

“Shahrizat tidak bersalah, jadi saya kira ia tidak menjejaskan peluang BN untuk menang dalam pilihan raya kelak,” katanya lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita Umno Sabah menambah, Wanita Umno semakin kuat kini kerana selepas memenangi jawatan ketua sayap itu pada 2009, Shahrizat telah menyatupadukan para penyokongnya dengan pengikut Tan Sri Rafidah Aziz yang ditewaskannya.

“Beliau tidak pilih kasih. Semua ahli Wanita tidak kira orang beliau atau orang Rafidah, beliau beri layanan yang adil,” katanya lagi.

Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Rohani Abdullah bersetuju bahawa skandal itu tidak menjejaskan BN kerana bukannya Shahrizat terlibat dalam menyalahgunakan kuasanya untuk memberi projek itu kepada suaminya.

Katanya, Wanita Umno tidak berminat dengan isu ini kerana ia lebih berminat untuk fokus terhadap pilihan raya umum ke-13.

Salah urus, ekonomi dingin boleh hakis ‘kelancaran’ kempen PRU Najib


KUALA LUMPUR — Meskipun Datuk Seri Najib Razak sudah memulakan kempen prapilihan raya dengan siri pengumuman transformasi politik, pemimpin-pemimpin politik khususnya pembangkang melihat pendekatan ‘mesra’ itu boleh terhakis dengan dakwaan kelemahan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan sejak kebelakangan ini.

Susulan perutusan Hari Malaysia, Perdana Menteri memansuhkan tiga deklarasi darurat, mahu membawa dua akta baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menggugurkan Seksyen 27 Akta Polis dengan undang-undang berkaitan dengan perhimpunan aman, membentuk jawatankuasa pilihan khas mengkaji sistem pilihan raya dan memberi kebebasan kepada penuntut institusi pengajian tinggi menyertai politik dengan memansuhkan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Bagaimanapun isu projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam RM250 juta dan kadar inflasi 3.4 peratus bagi tempoh dua bulan berterusan kekal sebagai satu cabaran kepada pentadbiran Najib meskipun mencatatkan populariti peribadi pada paras 59 peratus.

“Dengan Pakatan Rakyat menggunakan skandal NFC dengan maksmum (dalam pertemuan) dengan komuniti kawasan luar bandar, ditambah dengan kenaikan harga barang dan pendapatan pula kekal tidak berubah, kemungkinan tsunami senyap di kubu kuat tradisi Barisan Nasional (BN) tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua kepada The Malaysian Insider.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menggambarkan projek NFC sebagai sesuatu yang bermasalah.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa dana NFC juga digunakan untuk perbelanjaan peribadi keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jali dan projek itu digambarkan sebagai satu kegagalan.

Pua (gambar) berkata pengumuman-pengumuman besar oleh Najib tidak membawa harapan besar ke atas pembaharuan yang mahu dibawanya memandangkan perdana menteri itu tidak memberi penekanan ke atas isu-isu yang diketengahkan oleh Ketua Audit Negara.

Sebagaimana disaksikan ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pua menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang cuba mengelak daripada mengambil pendirian jelas dalam isu-isu utama.

“Paras popularitinya tidak tinggi sangat berbanding Abdullah Badawi sebelum pilihan raya umum lalu, jadi saya tidak akan terkejut jika keputusan pilihan raya umum akan datang, sekali lagi mengatasi jangkaan banyak pihak termasuk Najib dan Umno sendiri,” kata wakil rakyat DAP ini.

Pendekatan ekonomi Najib yang bersifat “meleleh”, kata Pua, tidak membantu menangani persekitaran ekonomi yang sukar dan pemberian wang tunai dan pengumuman “projek mega” tidak banyak membantu rakyat biasa negara ini.

Kerajaan mempertahankan paras pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus pada tahun depan. Bagaimanapun kebanyakan firma penyelidikan menjangkakan bahawa pertumbuhan Malaysia adalah antara tiga hingga lima peratus.

Awal minggu lalu, Bank Dunia berkata ekonomi Malaysia dijangka terus perlahan pada tempoh berbaki tahun ini dan awal 2012 ekoran kemerosotan permintaan luaran dan menjangkakan pertumbuhan sekitar 4.9 peratus tahun depan.

Laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) September lalu menjangkakan pertumbuhan 5.2 peratus tahun ini dan 5.1 peratus pada 2012 bagi Malaysia.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menekankan bahawa Najib selalu mengelak daripada bercakap mengenai isu-isu berkaitan skandal kerajaan dan sentiasa membiarkan menteri atau timbalannya memberi respons.

“Sikap menjauhkan diri adalah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan beliau,” kata beliau sambil menambah, sikap terlalu berhati-hati itu akan membawa kesan berlawanan di kalangan pengundi dan pemimpin Umno sendiri.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai penggal pertama ini berkata, laungan tiba-tiba Najib dalam soal hak asasi manusia bertujuan mendapatkan sokongan di kalangan rakyat Malaysia kelas pertengahan yang menurutnya kebanyakan adalah penyokong Pakatan Rakyat.