HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2014

BN jauhkan diri daripada kempen burukkan Dyana

OLEH ANISAH SHUKRY


Calon DAP bagi Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud selepas ucapannya di Majlis Makan Malam DAP di Sekolah Menengah San Min semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Mei, 2014. Calon DAP bagi Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud selepas ucapannya di Majlis Makan Malam DAP di Sekolah Menengah San Min semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.  



Barisan Nasional (BN) hari ini melarang ahlinya daripada berkempen menggunakan taktik memburukkan calon lawan kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP, Dyana Sofya Mod Daud, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita tidak mahu terlibat dengan taktik kotor. Kita takkan mencemarkan imej calon lain.

"Sebaliknya mahu promosikan calon kita sendiri,  Datuk Mah Siew Keong," kata Timbalan Presiden Umno itu pada sidang media di Teluk Intan hari ini.

"Semasa berkempen, apa sahaja isu negatif timbul, mereka tuduh kita dalang di sebaliknya. Jangan buat tuduhan tidak berasas," kata Muhyiddin memberi amaran.

Semalam, DAP membuat laporan polis mendakwa menemui poster Dyana berbikini diedarkan diseluruh kampung termasuk masjid di Changkat Jong.

Timbalan Pengarah Kempen DAP Teluk Intan, Zairil Khir Johari enggan menuding jari kepada mana-mana parti tetapi menggesa BN turut sama mengecam tindakan terbabit.

Muhyiddin berkata ia merupakan hak DAP untuk membuat laporan polis, tetapi beliau menambah bahawa parti tersebut sepatutnya meneliti semua fakta sebelum membuat apa-apa kenyataan.

"Saya nafikan kami ada apa-apa kaitan dengan kempen itu. Sejak hari pencalonan, saya sudah katakan kami tidak akan memburukkan calon lain atau integriti mereka. Saya punyai calon yang terhormat, yang bersih dan berpengalaman dan says ingin promosikannya," kata Muhyiddin.

Beliau setuju bahawa Mah merupakan 'underdog' dalam pilihan raya 31 Mei nanti, dan meletakkan kemungkinan kemenangan presiden Gerakan itu dalam 50-50.

DAP sedang cuba mengikis imej Cina mereka dan menawan pengundi Melayu di Teluk Intan dengan memilih Dyana, seorang profesional muda.

Namun gambar bikini yang sebenarnya komposit pelakon Filipino mungkin dapat menghalang usaha DAP untuk memenangi hati komuniti Melayu.

Dalam pilihan raya umum tahun lepas, Seah Leong Peng dari DAP mendapat hanya 25% daripada 23,000 pengundi Melayu dalam komuniti bandar tersebut.

Sejak pengumuman pencalonan Dyana, dia menjadi mangsa kempen memburuk-burukkan calon dalam usaha menghakis imej Melayunya.

Beberapa pemuda juga setakat ini cuba mengganggu Dyana semasa sesi bertemu pengundinya, tetapi lawannya Mah menolak dakwaan bahawa beliau adalah sebahagian daripadanya.

Tiada ulasan: