Pemimpin Islam gagal membebaskan ekonomi dan kebergantungan hidup orang Islam kepada bukan Islam, kata Abdullah Zaik.
PETALING JAYA: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini menyelar pemimpin Islam di negara ini berikutan isu DNA khinzir yang telah dikesan dalam coklat Cadbury Dairy Milk.
Katanya kepada FMT, isu tersebut bukan sahaja menunjukkan kelemahan serta limitasi dalam penguatkuasaan syariat dalam sistem kerajaan malah merupakan kegagalan pemimpin Islam di negara ini.
“Mereka telah gagal membebaskan ekonomi dan kebergantungan hidup orang Islam daripada orang bukan Islam.
“Bagaimana nak menguatkuasakan halal dan haram jika ekonomi dan keperluan asas orang Islam dikeluarkan oleh orang bukan Islam,” katanya.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa DNA khinzir (porcine) telah dikesan dalam coklat susu kajang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.
Walaubagaimanapun, coklat susu Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan mempunyai DNA khinzir.
Tidak boleh disandarkan
Tambah Abdullah lagi, harapan tidak boleh disandarkan kepada pengeluar bukan Islam untuk jujur serta komited dengan syarat halal dan haram yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Beliau kemudian mengesyorkan agar umat Islam membina kekuatan ekonomi kendiri dimana pengeluarnya akan boleh dipastikan mengikut syarat halal dan haram.
“Cadangan ini kalau kita benar sensitif dengan halal dan haram.
“Tambahan pula, orang Islam akan komited dengan halal dan haram, bukan dari segi peraturan sahaja tetapi juga kerana takut kepada Allah serta memikirkan dosa dan pahala,” katanya.
Pihak pengeluar aitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, telah memberi jaminan akan menarik balik produk-produk terbabit dari pasaran serta-merta.
Kenyataan Cadbury dalam Facebooknya mengesahkan bahawa semua produk yang dihasilkan di Malaysia disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan