SHAH ALAM: Himpunan Bantah GST yang di adakan Khamis lalu gagal, kata penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Lebih memalukan, himpunan yang bermula seawal jam 10 pagi itu dilihat
tersasar matlamat apabila pemimpin pembangkang melaungkan kata-kata
keramat mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar kini berdepan dengan hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan
memutuskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah atas dakwaan
meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun
lalu.
Walhal peserta himpunan itu seharusnya diberi input mengenai GST atau
cukai barangan dan perkhidmatan pada kemuncak acara itu, kata Atory.
Tambahnya, penat lelah peserta seharian berarak di jalan raya tidak
berbaloi apabila tiada seorang pun di kalangan pemimpin pembangkang
benar-benar fokus kepada isu GST.
"Hasilnya tiada apa, tujuan nak cakap hal Anwar sebenarnya tapi
menggunakan platform GST. Kalau nak bercakap hal Anwar sahaja mungkin
peserta tak dapat datang. Kena sebut GST, ini adalah agenda Anwar untuk
raih simpati rakyat.
"Supaya dapat simpati dari peserta supaya membela Anwar. Pada saya himpunan kali ini gagal, tidak ada apa-apa.
Semasa berucap di hadapan lebih 10,000 peserta Himpunan Bantah GST,
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dipetik memberi amaran kepada kerajaan
Persekutuan agar tidak 'menyentuh' Anwar.
Begitu juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendakwa
keadilan untuk Anwar seolah-olah tidak ada di negara ini akibat
kegagalan sistem perundangan negara.
Sementara Anwar sendiri menggunakan pentas itu untuk menyatakan
'kejantanannya' untuk menerima apa sahaja bentuk hukuman daripada
kerajaan Persekutuan atas tuduhan yang di hadapinya kini.
Dalam pada itu, Atory yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial,
Universiti Sains Malaysia itu menyatakan rasa terkilannya apabila
peserta yang menyertai himpunan itu gagal memahami maksud sebenar GST.
"Saya ingat perhimpunan kali ini gagal kerana sasaran peserta tidak
sebanyak yang mereka jangkakan, isu sebenarnya (GST) tidak difahami
dengan betul oleh peserta malah ia pun belum lagi dilaksanakan," kata
Atory.
Namun begitu, Atory yakin kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak tidak berdiam diri begitu sahaja kerana terdapat
inisiatif lanjutan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.
"Dengan perhimpunan ini, pada saya kerajaan akan cuba memperhalusi
perlaksanaan GST. Kita lihat Datuk Ahmad Maslan sendiri telah
mengumumkan menambah bilangan penceramah Umno di seluruh negara untuk
menerangkan GST kepada rakyat, itu satu langkah yang baik. Para
penceramah tersebut diberikan kursus," katanya lagi.
Parlimen sebelum ini meluluskan rang undang-undang pelaksanaan GST dan ia dijadulkan berkuat kuasa April 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan