Naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata siasatan menyeluruh perlu dijalankan terhadap ugutan pemuda Umno membakar ibu pejabat DAP awal minggu ini.
Dalam kritikannya terhadap tindakan Pemuda Umno, Hishammuddin berkata kumpulan berkenaan seharusnya bertindak penuh kebijaksanaan dan lebih bertanggungjawab.
"Saya tak fikir ia sesuatu yang elok dan saya mahu siasatan dijalankan. Jangan bertindak secara emosi," katanya pada satu sidang media selepas menemui pengundi di Teluk Intan hari ini.
"Dalam situasi hari ini terutamanya apabila terdedah kepada media sosial, maklumat cepat tersebar makanya tindakan mengikut emosi tidak kena pada tempatnya."
Kira-kira 50 pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengadakan bantahan di hadapan ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pada Khamis sebelum menyerahkan memorandum kepada ahli strategik parti Dr Ong Kian Ming.
Mereka mengancam untuk membakar bangunan dan papan tanda parti turut dirosakkan.
Bantahan pemuda Umno itu diadakan ekoran perkataan Adun DAP RSN Rayer yang mengatakan "Umno celaka" di sidang DUN Pulau Pinang pada Selasa.
Hishammuddin memberi amaran adalah penting untuk semua bahagian mengawal emosi dan bertindak hanya mengikut fakta.
“Kematangan kepimpinan kita pada masa lalu yang merentasi bangsa, agama dan kedudukan membezakan kita dengan apa yang anda lihat di Hanoi, Bangkok di mana 28 terbunuh sebelum tentera mengambil alih.
“Mereka patut pertimbangkan semua ini. Pastikan apabila mereka mengambil tindakan, ia berdasarkan fakta. Jika kita tidak mengawal emosi kita, akhirnya negara yang akan bertambah teruk.
“Lihat apa jadi di Vietnam. Perlanggaran antara kapal China dan Vietnam membawa kepada kebakaran dan mayat bertaburan di jalanan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan perlu melihat kepada siapa dalang di sebalik bantahan Pemuda Umno yang berlaku.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada beliau percaya kempen menabur janji pemimpin BN di Teluk Intan sama seperti rasuah, Hishammuddin berkata, terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu.
Katanya, mereka yang tidak suka dengan taktik BN itu boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk membuktikan tindakan itu melanggar undang-undang.
“Di hujungnya, saya fikir pengundi sudah cukup matang untuk membuat keputusan siapa yang akan membawa pembangunan di kawasan ini.
“Bagi pihak saya, apa yang saya janjikan dengan penduduk di sini ialah hubungan saya dengan Mah kuat sejak sekian lama dan akan berterusan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan